Bukan tak faham tapi tak nak faham
Posting pada:  30 Mar 2009 ( 1186 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Suatu masa dulu, semasa Pasar Seni masih lagi 'hot' dan menjadi tumpuan ramai, begitu juga jirannya, Dayabumi yang menjadi tempat lepak utama, saya menempah lukisan batik untuk dijadikan hiasan dinding, untuk dihadiahkan kepada kawan yang baru berpindah ke ofis baru.

Memang salah saya kerana saya membeli lukisan batik yang telah siap dan meminta seorang perempuan yang membuka gerai melukis batik menuliskan kata-kata perangsang. Dengan hukum akal, dia tentunya tahu, semestinya menggunakan dakwat warna putih barulah kontras dengan warna tanah batik itu.

Memang silap saya. Sepatutnya, saya meminta melukis batik pada kain kosong sambil menyertakan tulisan tersebut, bukan menuliskan kata-kata pada batik yang telah siap. Salah saya 100 peratus? Tidak, sebab saya tidak tahu. Bagaimana dengan perempuan yang tahu itu? Serasa seumur hidupnya adalah mencanting batik, tentu dia tahu dan boleh memberi cadangan, sebagaimana selalunya pekedai Cina, memberi cadangan jikalau pelanggannya tidak tahu. Tak percaya? Pergilah ke kedai Sengsei (Kedai ubat Cina), tanyalah cara menyedapkan sup, pasti mereka akan mengesyorkan sejenis ubi hiris yang diberi nama Fok Coi.

Sepatutnya perempuan pencanting batik yang kononnya tauke kedai itu memberitahu saya, "Tak boleh begini. Apa kata kalau saya lukiskan batik sekali dengan tulisan yang dikehendaki?" Tetapi rasanya, di kepalanya hanya ada 'duit' maka dia hendak saja menulis pada batik yang telah siap.

Selang 3 hari kemudian anda boleh meneka apa yang terjadi. Tulisannya kembang, menggunakan warna emas pada tanah yang berwarna oren. Kiranya ia bukan tulisan sebaliknya kotoran melekat pada lukisan batik. Itu boleh saya maafkan kerana sebahagiannya adalah kesalahan saya sendiri. Yang tidak boleh saya maafkan ialah mulut perempuan yang mukanya seburuk tulisan itu. Peguam yang terdesak duit pun tidak begitu mulutnya. Bukan dia meminta maaf dan menawarkan diskaun sebaliknya membuktikan bahawa tindakannya betul dan saya yang salah.

Saya menghulurkan wang sambil dalam hati memaki hamun. Oleh kerana manusia memang suka 'jamak' maka saya buat andaian kesemua peniaga Melayu di Pasar Seni itu perlu ditarbiyah, perlu dihantar kursus pengurusan. Tidak tahukah untuk belajar pengurusan bisnes sehingga ijazah memakan masa sekala 4.5 hingga 5 tahun?

Teori jurugambar dengan kedai gambar saya selama ini memang betul dan berlaku di mana-mana. Pandai mengambil gambar, mahir tentang kamera tetapi apabila membuka kedai gambar terpaksa tutup. Atau apabila menjadikan fotografi itu sebagai bisnes, memang gagal -- sebab hanya mahir tentang gambar dan kamera, tidak tahu apa-apa tentang bisnes. Tak semestinya tukang masak yang sedap masakannya (atau Chef betul, bukan yang menyangka dirinya Chef) akan berjaya apabila membuka kedai makan. Begitulah seterusnya. Kena pandai membezakan antara kemahiran mengendalikan dengan kemahiran mengurus.

Apa punca utama? Punca utama ialah komunikasi. Sesiapa pun, lebih-lebih lagi yang terlibat di dalam bisnes mesti mempunyai kemahiran komunikasi. Bahkan jikalau kita tinggal sendirian di dalam gua sekalipun kita perlu kemahiran komunikasi sebab sepanjang hari kita berkomunikasi dengan orang lain atau dengan diri sendiri.

Komunikasi adalah amalan harian. Nokia, Ericsson, YM, IRC, Skyppe, Celcom, TM, Maxis dicipta dan dibina kerana manusia memang berkomunikasi setiap hari. Dan setiap hari juga manusia akan tersilap komunikasi. Selagi enggan belajar tentang komunikasi selagi itulah sentiasa 'silap komunikasi'. Selagi perasan semua yang dilakukan sentiasa betul, tidak ada salah dan cacat-celanya, selagi itulah akan sentiasa ada 'silap komunikasi'.

Mungkin betul mungkin salah, ini pendapat dan pandangan saya sendiri setelah melalui pengalaman. Kebanyakan yang tersilap komunikasi adalah kaum perempuan. Apa puncanya? Sedang saya perhatikan. Mengapa lebih ramai kaum perempuan yang tersilap komunikasi berbanding lelaki? Pun sedang saya perhatikan. Mungkin teori lama yang menyebut, "Perempuan banyak mulut" boleh digunakan. Kalau dalam YM boleh diubah, "Perempuan banyak jari". Oleh sebab banyak mulut dan perlu dilepaskan segera, kerana itulah telinga dan fikiran tidak berapa mendengar apa yang diperkatakan, sebaliknya, tumpuan hanyalah kepada mulut -- apa yang hendak saya ucapkan selepas ini. Telinga dan otaknya tersumbat kerana sibuk memikirkan apa yang perlu saya katakan. Apa nak dikata, sejak dari mula lagi sudah set bagaimana telinga dan otak hendaklah ditutup rapat, utamakan mulut sendiri.

Itu teori saya sendiri, tidak semestinya betul.

Jangan letakkan perempuan sebegini di bahagian depan. Habis jahanam binses anda jikalau pekerja anda enggan mendengar kehendak pelanggan. Jangan terpedaya dengan istilah 'terpelajar' kerana kebanyakannya (yang terlibat dalam kajian saya) adalah lepasan universiti. Tapi, kalau lepasan universiti itu kira terpelajarkah? Terdidik dan terpelajar adalah dua perkara berbeza. Dan tidak semestinya lepasan universiti itu terpelajar. 'Pernah belajar' adalah istilah paling sesuai.

Kita akan mencari puncanya. Apa punca yang menyebabakan begitu. Apa punca yang menyebabkan kesilapan paling besar, paling utama, paling wahid di dalam komunikasi iaitu, "Lain yang kita cakap, lain pula pemahamannya." Hatta kita bercakap dengan cara yang paling datar sekalipun, masih kekal, silap penerimaan. Jadi, tak payahlah digunakan teori, "Kalau bercakap dengan orang tertentu, gunakan cara tertentu." Tak payah gunakan cara tertentu dengan orang yang anda sangka 'terpelajar' itu. Bahkan bagaimana datar dan rendahnya nilai cara kita bercakap, paling ringkas, paling mudah, masih lagi salah pemahaman. Saya tak maksudkan semua, tetapi sebahagian besar adalah begitu.

Contoh paling mudah ialah tentang PSMI. Ramai yang tersalah faham menyangka, semuanya akan diubah. Istilah dan sebutannya kekal, cuma cara pembelajarannya dikembalikan ke dalam Bahasa Melayu. Hanya Sains dan Matematik sahaja. Yang tak faham atau salah pemahaman memekak berkata pentingnya Bahasa Inggeris, bahasa kemajuan. Apabila diminta bukti bahawa bahasa Inggeris bahasa kemajuan, dibelit pula ke arah lain. Memang penting sebab itu ada mata pelajaran Inggeris. Istilah, sebutan tidak berubah. Oksigen masih lagi Oksigen. Karbon Dioksaid masih lagi karbon dioksaid, bukan ditukar kepada nama tikus, kambing atau belacan. Angka 1 hingga 0 tetap sama tidak berubah apa. Cuma mengapa, sejak berpuluh tahun ramai pula bijak pandai yang terhasil dari pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu, tiba-tiba ditukar: darab menjadi times, bahagi menjadi divide. Kenapa? Adakah dengan menukar kepada Bahasa Inggeris, 20 tahun lagi lebih ramai doktor Melayu yang terhasil berbanding 20 tahun lepas? Sesudah 8 tahun dilaksanakan (tinggal 12 tahun), bukankah sudah jelas kelihatan, kemerosotan pelajar-pelajar Melayu, Cina, India kesan dari PSMI? Hendakkan bukti apa lagi?

Kembali kepada topik kita, "Lain yang kita cakap, lain pula pemahamannya" walaupun menggunakan cara penyampaian yang paling mudah dan mendatar. Sebagai contohnya, suatu masa dulu saya pernah bercerita tentang, "No perfect crime" dan "Modus operandi". Dengan cara yang paling mudah saya menerangkan walau bagaimana sekalipun tersusunnya jenayah tersebut, pasti ada kesilapan yang dilakukan. Lebih tepat lagi, "Setiap penjenayah meninggalkan kesan, walau setitik." Modus operandi pula membawa maksud kebiasaan. Jikalau pencuri itu masuk melalui tingkap, di mana-mana sekalipun dia mencuri akan melalui tingkap. Suatu hari tak lama selepas itu, bertanyalah orang itu kepada saya tentang laman web dan dia cuba mengenakan saya kembali dengan kata-kata saya masa lalu. Cuma yang lucunya tidak ada kaitan dengan kata-kata saya cuma masalah pemahamannya. "Kang dulu kata setiap penjenayah meninggalkan kesan." Apa kaitan laman web dengan penjenayah yang meninggalkan kesan? Alangkah sia-sianya usaha saya menerangkan tentang "No perfect crime" dan "modus operandi".

Satu lagi contoh, "Jangan dibuat walaupun sudah tak cukup makan," difahami sebagai, "Buatlah ia kerana sudah tidak cukup makan." Jadi, siapa kata komunikasi itu mudah? Bercakap memang mudah, tetapi komunikasi bukan mudah.

"Burung yang sejenis akan terbang bersama" pernah juga tersalah pemahaman. "Tak nak saya, nanti jadi, burung sejenis terbang bersama," padahal perkara tersebut sama-sekali tidak boleh dikaitkan dengan peribahasa tersebut.

Apa pula pandangan anda apabila kita memberi pesanan, "Keluar lebih awal, takut nanti jalan ke LCCT sesak," dijawabnya, "Ini bukan kali pertama naik Air Asia." Kita pesan lain, penerimaannya lain pula. Siapa kata komunikasi itu mudah?

Di atas tadi hanya contoh sahaja. Walaupun contoh, ia berlaku di mana-mana saja, pada bila-bila masa.

Apa puncanya? Ada satu punca iaitu "enggan". Mengapa terjadi enggan? Kerana:

1. Sama ada berasa dirinya lebih tinggi dari kita
2. Atau memang kedudukan kita lebih rendah darinya.

Kedua-duanya itu boleh menyebabkan keegoaan yang agak tinggi. Apabila terjadi keegoan, terjadilah "enggan" -- enggan membuka telinga dan otaknya bagi memahami cakap kita yang paling 'simple' tidak berbelit, datar dan mudah. Baginya, tak perlu mendengar dan memahami kata-kata kita memandangkan kedudukannya yang lebih tinggi dari kita. Atau dalam hatinya berkata, "Siapa kamu hendak saya dengar? Kamu perlu dengar cakap saya, bukan saya dengar cakap kamu."

Bagaimana hendak menguji sama ada benar orang yang sedang berkomunikasi dengan kita itu mempunyai keegoan yang tinggi atau kita tersalah sangka? Mudah sekali, puji orang lain di depannya. Jikalau dia 'melenting' dan cuba mengatasi seolah-olah dia yang layak dipuji atau anda tidak perlu memuji sesiapa, sahlah dia seorang yang ego. Gunakan indirect. Contohnya, "Gambar yang dia ambil itu cantik sekali, tak ada siapa yang boleh lawan nampaknya. Macam mana dia buat?" Tunggu, kalau dia 'melenting' bermakna keegoannya memang tinggi.

Itu "mengapa". Kita cari "bagaimana" mengatasinya?

1. Cara paling mudah ialah menghindari bercakap atau berkomunikasi dengan manusia seumpamanya. Bimbang nanti mesej tidak sampai bahkan disalah ertikan. Sabda Rasulullah, "Silence is Golden."

2. Atau, jikalau terpaksa juga berkomunikasi, sentiasa menyoal kembali, "Apa pendapat kamu." Sebelum dia membuka mulut atau mengangguk, pintas, "Sebelum mengangguk atau setuju, saya nak pendapat kamu, pro dan kontra mengenai perkara yang saya sebut tadi."

Itu bagi kita. Bagi yang wayar di dalam otaknya bersimpang-siur, apa yang masuk melalui telinga atau mata tidak tahu masuk ke wayar mana hingga salah pemahaman:

1. Berhenti dari perasan bahawa komunikasi kita ini terbaik dan penerimaan, persepsi kita selama ini betul. Hentikannya serta-merta dan buka buku-buku tentang komunikasi, baca dan amalkan.

2. Supaya wayar di dalam otak tidak bersimpang siur dan apabila orang berkata A jangan disalah ertikan sebagai A+, segeralah berhenti menganggap orang lain lebih rendah kedudukannya atau diri sendiri lebih tinggi kedudukan hingga menghasilkan pemahaman yang lucu, kelakar dan gagal.

Komunikasi amalan harian. Jadi, ingatlah, jangan sampai salah faham atau tidak berusaha untuk memahami. Jangan salah faham sampai mengatakan bahawa katak berbunyi kerana memanggil hujan. Sejak bila pula hujan akan datang setelah dipanggil katak? Fahamilah bahawa katak berbunyi kerana menjangka hujan akan turun, seperti kita manusia yang sudah boleh menjangka bila hujan akan turun.


[b]Salah satu buku laris mendidik bagaimana cara berkomunikasi, ditulis oleh orang yang berpengalaman dalam bidangnya. Untuk lebih banyak lagi buku mengenai komunikasi, klik: di sini

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jangan dibunuh angsa bertelur emas

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu