Jangan begitu -- Kita hanya berkongsi
Posting pada:  20 Mar 2009 ( 1194 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Dari belakang ke depan, dari tepi ke tengah, utara, selatan, timur, barat, atas, bawah -- kita berkongsi. Setuju? Kita tidak pernah monopoli dalam apa saja bidang, kuasa, perkara. Kita berkongsi bersama makhluk-makhluk lain -- jin, malaikat, syaitan, haiwan, tumbuh-tumbuhan. Setuju? Di Malaysia ini, kita berkongsi pula dengan manusia-manusia kaum pendatang yang nampaknya tidak pernah susut bahkan makin bertambah sejak tahun 70-an. Namakan, apa bangsa yang tidak ada di Malaysia ini -- dari yang berkulit putih hinggalah yang hitam legam -- semua jenis pendatang (haram dan 'halal') ada di Malaysia ini.

Dalam bisnes terutamanya, tidak ada monopoli. Jangan terus percaya cakap saya ini, tapi pastikan terlebih dahulu kebenarannya. Perhatikan sekeliling anda kemudian sahkan sendiri -- tidak ada satu pun bisnes yang monopoli. Semakin 'hot' bisnes tersebut, semakin sengit persaingannya. Contohnya MLM -- tidak kurang dari 400 syarikat MLM bersaing dengan sengit. Tapi kebanyakannya bukan bersaing dengan sihat, melainkan bersaing dengan 'tidak berapa sihat' -- menggunakan dongeng, penglipur lara, pembohongan, kelentong. Begitulah, bukan sahaja MLM yang dicemari dengan perkara keji tersebut. Banyak bidang lain yang dongengnya mengatasi realiti.

Bahkan, bisnes yang tidak berapa 'hot' seperti kedai keranda Cina pun ada penandingnya. Begitu juga dengan kedai buat batu nisan, pun ada penandingnya. Orang tak pandang 'hot' pada kedai gunting tradisi tetapi ia keperluan dan tetap tidak akan ada monopoli. Tetap ada pesaing. Jangan bersenang-lenang jikalau hari ini seperti sedang monopoli. Esok lusa timbul pesaing di tepi, bagaimana? Kata bijak pandai, "Gali telaga sebelum kehausan." Jangan fikir akan kekal monopoli. Kita sentiasa berkongsi; jadi tidak ada monopoli. Tidak mungkin ada, atau tidak mungkin kekal monopoli.

Begitulah cerita yang terjadi di tempat saya. Kedai gunting tradisi tempat saya bergunting selalu, sudah berpuluh tahun monopoli. Apabila monopoli, tidak perlu risau sebab, "Pelanggan tidak akan ada tempat lain yang nak dituju. Di sinilah tempatnya. Aku buat macam mana sekalipun, tetap orang datang ke mari, sebab tidak ada tempat lain nak bergunting." Benar sekali. Kedainya penuh. Tidak akan ada dalam satu-satu masa, kurang dari 6 orang menunggu duduk di kusyen. Sesekali, saya mengesyorkan supaya menambah seorang dua lagi pekerja, sebelum adanya pesaing. Kelak dah terlambat jikalau sudah ada pesaing baru nak bersaing. Tapi, manusia yang sedang dalam keadaan selesa selalunya tidak mahu memikirkan masa depan. Maka sebagaimana manusia lain, jawapan kepada syor saya mudah saja -- mencari "tak boleh" berbanding mencari "boleh." Mencari alasan berbanding mencari penyelesaian.

Apa yang sepatutnya terjadi, kini terjadi. Tidak ada monopoli -- maka terdirilah kedai gunting berhampiran. Bukan satu tetapi beberapa. Pelanggan sudah berkurang. Saya pun tidak lagi menjadi pelanggan tetapnya. Saya bergunting di kedai gunting "RM15, 15 minit," di Tesco Damansara. Dekat saja dengan kedai gunting tradisional yang saya sebutkan tadi. Ada juga bunyi, "Kedai Cina tu." Jawapan atau soalan saya amat mudah, "Kalau Cina kenapa?" Tak ada jawapan. Kalau menjawab, ingin saya menambah, "Selama ini sibuk kayakan Cina, tapi kamu tak sibuk pula sebab kayakan India. Pakai Maxis kan? Ada Astro kan? Tau siapa taukenya?"

Apabila bersaing, bermakna kita berkongsi pasaran. Itu saja. Sebaik-baik bersaing ialah bersaing dengan sihat walafiat. Ada contoh? Mudah saja -- pergilah ke kompleks-kompleks, saksikan bagaimana persaingan restoran makanan segera. Sebelah menyebelah. Saya rasa, restoran segera adalah contoh persaingan yang sihat walafiat. Persaingan yang walafiat dikatakan sebagai persaingan yang menguntungkan kedua-dua pihak dan pengguna. Kedua-dua pihak yang bersaing makin maju dan pengguna mendapat untung. Mudah saja.

Hypermarket pun boleh dijadikan contoh persaingan yang sihat walafiat. Masing-masing berdekatan dan masing-masing maju jaya. Tak ada yang tutup sebaliknya makin maju berkat persaingan yang sihat. Tidak jauh dari rumah saya ada Jusco, Cold Storage, Tesco. Dulu ada Giant tetapi Giant telah menjauh sikit ke Kota Damansara. Masing-masing makin bertambah maju.

Saya amat bersyukur dengan adanya syarikat MLM Bumiputera yang semakin maju di Utara Semenanjung. Namun pihak pengurusan perlulah sentiasa monitor dan memberi nasihat kepada usahawan-usahawan supaya berniaga dengan jujur dan tidak dicemari dengan dongeng, penglipur lara. Jikalau pihak pengurusan alpa, bimbang kelak ia tidak terkawal lagi dan boleh menumbangkan syarikat itu sendiri. Jangan kata dah stabil sebab Lehman Brother yang dah 158 tahun pun boleh tumbang. Jadi beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Salah satu penyakit usahawan MLM ialah hendak menumbangkan. Janganlah begitu, tak perlu tumbang menumbangkan kerana, "Jikalau kita hendak menenggelamkan kapal orang lain, kapal kita tidak terjaga menjadikan kapal kita tenggelam." Sama-sama belayar, berkongsi lautan kerana lautan itu amat luas! Sentiasa ada ruang untuk kita. Jangan hendak monopoli kerana tidak ada istilah monopoli di dalam bisnes.

Sering kedengaran, "Kita akan tumbangkan syarikat-syarikat kafir dan naikkan ekonomi Melayu." Biasa mendengar begitu? Jangan dicuba-cuba. Rasulullah tak ajar begitu. Kita berkongsi sama ekonomi. Sedar atau tidak, ekonomi Melayu sekurang-kurangnya 50 tahun ketinggalan dari ekonomi bangsa lain? Terlawankah kita, sedangkan kita baru setahun jagung. Terlawankah kita, jikalau hanya baru-baru ini saja kita kenal bisnes sedangkan bangsa lain bukan lagi kenal bisnes tetapi bisnes telah menjadi budaya mereka.

Bukankah lebih selamat jikalau mengatakan begini: "Kita bisnes ini untuk sama-sama menaikkan ekonomi orang Melayu, supaya tidak ketinggalan jauh. Kita bukan nak menumbangkan sesiapa tetapi hendak berkongsi pasaran dan ekonomi. Apa yang kita lakukan sekarang ini adalah cetusan, semoga 20, 30, 50 tahun nanti ekonomi kita tidak lagi terpinggir di bawah." Bukankah itu lebih selamat?

Syukur Alhamdulilah, syarikat tersebut sedang menggunakan sistem perkongsian Mudharabah untuk membina restoran ayam goreng seperti KFC. Sesiapa yang mempunyai wang RM1.5 juta boleh memohon perkongsian tersebut. Namun bagi pendapat saya, ada sedikit kesilapan. Maksudnya, bukan wang semata-mata. Komitmen adalah keutamaan. Seingat saya, jikalau anda mempunyai wang yang banyak, tak semestinya anda boleh membeli francais McDonald. Tidak semudah itu -- anda melabur, kemudian duduk di rumah main-main dengan kucing. Bukan begitu. Melainkan anda mempunyai komitmen, boleh bekerja di dapur, di lantai, di depan, di belakang barulah anda dipertimbangkan untuk membeli francais McDonald. Mengapa? Kerana komitmen adalah tunggak kejayaan. Seandainya francais yang dibeli berjuta ringgit itu gagal, nama siapa yang busuk? Sudah tentu nama McDonald! Soalan yang sama, pernahkah anda melihat outlet McDonald yang gagal? Dipindahkan pernah, tetapi gagal belum ada.

Namun, sudah mula kedengaran, pelabur yang hendak membuka cawangan restoran ayam goreng itu berkata dengan angkuh, "Kita akan tumbangkan KFC!" Jangan, jangan begitu. KFC di Malaysia sudah berusia 35 tahun. Dananya amat kukuh, pekerjanya beribu-ribu, sedangkan kita baru semalam bermula. KFC telah membudayakan rakyat Malaysia -- ayam goreng menjadi makanan utama sedangkan sebelum ini, budaya kita ialah ayam menjadi lauk. Siapakah yang membudayakan begitu? KFC. Berapa lama masa yang diambil untuk membudayakan? Lebih 30 tahun. Jadi, kukuh atau tidak KFC?

Mengapa hendak menumbangkan sedangkan boleh berkata begini, "Kita nak berkongsi pasaran ayam goreng di Malaysia ini. Pasarannya amat luas." Itu lebih bagus, lebih selamat. Rasulullah yang bisnes trading, import-eksport, tidak pernah mengajar untuk menumbangkan pesaing, sebaliknya berkongsi pasaran dengan pedagang-pedagang, terutamanya pedagang dari China yang berdagang di Syam. Rezeki Allah terlampau banyak. Berkongsilah dengan seramai mana manusia pun, rezeki tersebut bukan sahaja cukup, bahkan berlebih dan sentiasa bertambah. Tak perlu nak menumbangkan untuk mendapatkan rezeki tersebut.

Kembali pada KFC. Sudahkah anda melihat iklan terkini KFC? Jiran baru pindah dan sama-sama makan KFC di laman sebagai menyambut jiran yang baru datang. Adakah anda perasan sesuatu? Pakaian jiran baru itu? Perasankah anda? Jiran baru itu berkopiah dan berjubah. Apa 'branding' apabila terlihat kopiah dan jubah? Islam! Bijak atau tidak secara halus iklan tersebut menunjukkan KFC adalah halal dan 'makanan Islamik'. Jadi, mana-mana syarikat yang 'Islamik' kononnya hendak monopoli pasaran ayam goreng, hendak menumbangkan KFC sudah kena 'jentik' secara halus. Kerana itu, penting sekali supaya menghindari niat hendak 'menumbangkan' kerana bimbang nanti kita yang tumbang. Niatkan, usahakan hanya satu saja, "Hendak berkongsi pasaran." Sekaligus juga iklan KFC tersebut menangkis riuh rendah, "boikot" yang mana KFC turut tersenarai dalam senarai boikot. "Orang Islam" pun makan KFC, tak memboikot.

Apa jadi dengan ubat gigi yang menunjukkan taring dan mengatakan, "Ubat gigi lain mengandungi bahan-bahan haram"? Baru setahun jagung nak melawan syarikat pengeluar ubat gigi yang sudah berusia 100 tahun. Dengan amat mudah, menjentik, "Colgate sememangnya halal." Habis cerita. Sekali jentik.

Berbalik semula kepada syarikat MLM. Pada awal tahun 90-an, ada sebuah syarikat MLM Bumiputera yang begitu terkenal tetapi umurnya pendek. Pejabatnya seingat saya Jalan Kampung Pandan. Kebetulan saya kenal dengan pengasasnya. Dengan megahnya, beliau berkata kepada saya, "Bagi saya 6 tahun, ekonomi Malaysia dikuasai oleh orang Melayu." Enam bulan kemudian, syarikatnya tutup. Tak sampai 6 tahun pun syarikatnya, hanya sekadar 6 bulan sahaja. Jangan nak menumbangkan sesiapa pun. Kita berkongsi.

Satu lagi syarikat MLM, bukan pada tahun 90-an tetapi selepas melinium. Syarikat ini sentiasa berdegar-degar mengatakan "Ekonomi Ummah." Itu sekadar penglipur lara dan untuk menarik minat. Sebahagian usahawan syarikat tersebut selalu cakap besar -- tak lama lagi tumbanglah ekonomi bangsa lain di Malaysia ini -- yang naik ialah ekonomi Islam, ekonomi ummah. Sekarang ini, ekonomi ummah entah ke mana, ekonomi Islam pun entah ke mana -- syarikat itu kini menjadi 'kubur tak bertanda'.

Jadi, kesimpulannya, marilah kita sama-sama menyedari bahawa Allah menyediakan rezeki yang amat banyak, lebih dari cukup bahkan berlebih-lebih untuk siapa sahaja yang mahu mengambilnya. Tanpa perlu menumbangkan sesiapa pun, rezeki tersebut boleh kita miliki dengan banyaknya. Niatkan, usahakan hanya satu sahaja, "Hendak berkongs," kerana kita sememangnya berkongsi apa saja kurniaan Allah SWT.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jangan merungut bila gelap, pasang lampu teranglah ia

» Peribahasa Jawa «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu