3 Zul dalam sehari
Posting pada:  11 Feb 2009 ( 1117 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Masih ingat lagu evergreen ini? "Sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan, atau sekadar satu kebetulan...."

Percayalah, dalam hidup ini sering berlaku kebetulan. Jangan tanya mengapa, bagaimana, sebaliknya, cari hikmah di sebaliknya. Bahkan tak perlu cari hikmah di sebaliknya kerana hikmah selalunya tidak datang serta-merta. Sesekali kita terdengar hikmah serta-merta contohnya, terlambat 5 minit (bukan sengaja) tiba-tiba di depan pokok besar tumbang. Tepat 5 minit sebelumnya, sepatutnya kita berada tepat di tempat pokok besar itu tumbang. Cerita karut? Terlalu kebetulan? Jangan kata karut, di Malaysia dan seluruh muka bumi ini lebih ramai yang berusaha menjahanamkan bumi, berbanding memperelokkan bumi.

Secara kebetulan (tapi saya lebih percaya suratan) saya berinteraksi dan teringat dengan 3 orang Zul. Dua darinya bernama Zulkifli dan seorang lagi nicknamenya "Syahid_Zul." Nama sebenarnya tidak diketahui.

Pertama, Zulkifli Ismail, sahabat yang dikenali melalui laman RazziArmansur.com ini. Lama sudah berkenalan dengannya, namun tak pernah bertemu sebab macam cerita Charlie's Angel -- tak pernah bertemu atau mengenali Charlie. Zul bertanya saya berapa lama masa yang diambil untuk berhenti merokok menggunakan kaedah yang boleh didownload (atau muat turun, load = muat, down = turun) dari laman RazziArmansur.com ini. Saya menjawab senang saja: "Sehabis rokok di dalam kotak." Katalah rokok di dalam kotak ada 10, maka dalam masa kurang dari 5 hari sudah boleh bebas dari cengkaman benda kecil tak bernyawa yang mampu memenjarakan manusia sepanjang hayat. Siapa lebih pandai? Rokok atau manusia. Rokok tak ada otak tetapi berkuasa memenjarakan manusia. Mana ada manusia yang memenjarakan rokok? Manusia menyintai rokok. Jadi rokok lebih berkuasa dari manusia.

Menyedari manusia yang telah ketagih rokok akan berkekalan menghisap rokok melainkan berhenti merokok serta-merta, kerajaan sentiasa menaikkan harga rokok. Pada peringkat dikuasai oleh rokok, bahkan rokok berharga RM10 sebatang pun tetap dibeli. Sebab itu segala ruipa kempen berhenti merokok hanya sekadar 'cover line' sebab jikalau ramai yang berhenti merokok pendapatan negara berkurang dengan banyaknya. Apa susah, tak payah kempen, tutup saja kilang rokok, haramkan import rokok, gantikan tanaman tembakau dengan buah-buahan (cadangan Zig Ziglar dalam seminarnya berjudul "Goal"), habis cerita.

Serta-merta orang akan berhenti merokok secara paksa begitu. Tak payah kempen yang membazir ratusan juta itu. Lebih dari itu, lebih baik ratusan juta ringgit itu dibelikan sejenis koyok yang mampu mengurangkan ketagih dan dibahagi-bahagikan secara percuma kepada orang ramai yang hendak berhenti merokok. Habis cerita.

Asas berhenti merokok adalah menghilangkan ketagih. Asasnya ada dalam latihan peperangan, "Jikalau kita tidak membunuh, kita akan dibunuh." Jikalau kita tidak menguasai rasa ketagih, kita akan dikuasai. Asasnya ialah mengurang dan kemudian melenyapkan rasa ketagih. Lenyap saja ketagih bermakna telah bebas dari penguasaan rokok. Lenyap saja ketagih bermakna memasuki dunia penuh kebebasan. Lenyap saja ketagih bermakna mengembalikan maruah sebagai manusia kerana selama ini manusia berakal telah dikuasai oleh benda kecil, tidak bernyawa, tidak ada otak.

Bagaimana cara menghilangkan ketagih? Melewatkan 30 minit sahaja dengan gandaan 1 jam. Bagaimana? Apabila sampai masa merokok, oleh kerana telah dikuasai oleh rokok, maka tanpa perlu berfikir apa, tangan pasti akan mencapai rokok untuk dinyalakan sambil memasukkan ratusan jenis racun ke dalam badan. Setuju? Walau saat itu gempa bumi, asalkan ada ruang bergerak, pasti akan mencapai rokok untuk dinyalakan dan merosakkan diri sendiri. Setuju? Sekarang, bagaimana kalau dilewatkan sekejap sahaja, hanya 30 minit sahaja. Tipu diri sendiri dengan mengatakan, "Kejap saja lagi, 30 minit lagi saya akan merosakkan organ-organ penting dalam badan." Sampai masa 30 minit itu, tipu lagi, "Kejap, kejap lagi, 30 minit saja lagi aku akan masukkan ratusan racun ke dalam diri saya." Anda sudah melewatkan sejam. Wow! Anda sudah berjaya! Bagaimana kalau terus menipu lagi? Sampai masa sejam itu, tipu lagi, "Kejap saja lagi, kejap lagi saya akan bunuh diri." (Memasukkan racun ke dalam diri bersamaan dengan membunuh diri. Cuma bezanya perlahan-lahan bukan mati serta-merta).

Begitulah, dari 30 minit, meningkat 1 jam. Lepas 1 jam meningkat 2 jam. Hisaplah rokok seperti biasa sesudah 2 jam itu dengan disertakan perasaan bersalah kerana sedang berusaha membunuh diri sendiri. Lepas itu gandakan 4 jam, 8 jam, begitulah seterusnya. Habis rokok dalam kotak itu, bermakna anda sudah tidak ketagih lagi. Kalau masih ketagih, minum air putih banyak-banyak. Ia lebih bagus kerana memasukkan oksigen (H2O) ke dalam badan berbanding ratusan jenis racun.

Maka, saya mengucapkan "Tahniah" kepada Zul kerana sudah ada kemahuan yang kukuh. "Saya cuba, Kang" Katanya melalui SMS. Saya menjawab, "Mana boleh main cuba-cuba, kena konkrit, muktamad dan optimis." "OK, Kang, saya dah nekad" Jawab Zul lagi.

Selepas itu saya meminta Zul supapa mengajak kawan-kawan lain berhenti menghisap rokok. "Tapi saya kena berhenti merokok terlebih dahulu baru boleh mengajak orang lain." Itu idea sebenarnya. Itu juga punca kejayaan sebenarnya iaitu mengajak orang lain. Tak mungkin boleh mengajak orang lain sebelum diri sendiri berhenti menghisap rokok. Persamaannya? Tak mungkin kita boleh mengajar orang sebelum kita belajar terlebih dahulu.

Belajar terlebih dahulu ini telah dibuktikan oleh Prof DiRaja Ungku Aziz pada suatu masa dahulu. Beliau dijemput ke dalam forum TV untuk berbincang mengenai Teknologi Maklumat. Sebelum datang ke forum tersebut, beliau telah mengkaji (belajar) terlebih dahulu. Dari situ beliau bertemu dengan perkataaqn BYTE. BYTE tidak boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu - BAIT kerana BYTE adalah ringkasan "BY EIGHT" atau "DHARAB 8". Moralnya: kalau nak mengajar kena belajar terlebih dahulu. Kalau nak mengajak orang berhenti merokok, kenalah berhenti merokok terlebih dahulu.

-------

Zul kedua ialah Syahid_Zul. Saya tak tahu nama sebenarnya dan berkenalan denganya di laman keramat Ukhwah.com. Warga Ukhwah.com yang telah lama menghilang: http://www.ukhwah.com/user.php?op=userinfo&uname=syahid_zul kemana gerangannya? Masih berada di Jepun?

Suatu hari saya terbaca kata-kata beliau yang sememangnya tepat dan boleh dijadikan renungan. Jangan hanya merenungnya, bahkan mesti bertindak. Setakat merenung tak sampai ke mana -- sama saja dengan berjalan, melihat, mentafsir. Tindakan amat penting. Tanpa tindakan, umat Islam seluruh dunia akan sentiasa dipijak-pijak.

Kata Syahid_Zul, "Jangan terlalu banyak impian, bimbang nanti menenggelamkan impian utama."

Saya mengakui, memang kita ini sebenarnya terlalu banyak impian, hingga kadang-kadang kita terlupa dengan impian sebenar kita kerana telah tenggelam dengan impian-impian baru. Sebab itu, apabila telah 10 tahun, kita menyemak kembali, sudah berapa banyak impian kita tercapai, jawapannya amat mengecewakan -- mungkin hanya 1 atau 0. Itu pun bukan impian utama. Impian utama telah lesap kerana ditenggelamkan dengan impian-impian baru. Bahkan impian-impian baru itu tenggelam, ditenggelamkan oleh impian-impian yang lebih baru. Seterusnya, impian-impian yang lebih baru ini tenggelam lagi ditenggelamkan oleh impian terkini. Baru lagi, impian pagi tadi.

Lebih dari itu cukupkah berimpian? Kerana itulah saya tak setuju apabila seorang penceramah Cina mengatakan, "Dare To Dream." Takkan setakat itu sahaja. Setakat "mimpi" semua orang berani dan setiap hari bermimpi, berimpian. Beranikah bertindak melaksanakan impian? Kita bukan lagi berada di zaman "berfikir positif", kononnya semua boleh terjadi dengan sendirinya asalkan bermimpi. Rasulullah tidak hanya berimpian hendak menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Baginda bertindak selepas berimpian, bercita-cita. Bukan hanya, "Berfikir Positif". Bukan hanya menggunakan mental, bahkan menggunakan fizikal. Kalaulah Baginda hanya, "Dare To Dream" kita bukan Islam hari ini.

Tapi bagaimana dengan kita ini sebagaimana biasanya, memang terkenal dengan sikap tamak? Semua hendak dibuat serentak dan mahukan hasil yang banyak serta-merta.

Jangan diamalkan. Jikalau masih lagi hendak bersikap tamak, semua hendak dibuat serentak dalam satu-satu masa, gunakan jenaka yang selalu disebut dalam ceramah NLP, "Bagaimana cara akan makan gajah?" Jawabnya, "Sedikit demi sedikit, sesuap demi sesuap." Kalau zaman dahulu, disesuaikan dengan soalan sesuai dengan zamannya, "Bagaimana cara anda menggali kolam?" Jawapannya, "Mendalam, hingga bertemu air." Kalau kolam ini belum siap, kemudian menggali kolam yang lain pula, maka kita tidak akan menemui air. Mendalam terlebih dahulu.

Kita boleh berimpian, tidak ada siapa yang melarang, namun yang paling utama ialah mencapai impian yang utama terlebih dahulu. Sesudah tercapai barulah pergi ke impian berikutnya. Bukannya impian A belum tercapai sudah ada impian B, C, D hingga Z.

Boleh banyak impian tetapi hendaklah mencapai impian tersebut satu demi satu, bukan banyak-banyak impian tetapi hanya impian.

--------

Zul yang ketiga pula ialah Zulkifli Sohor. Beliau adalah usahawan MLM yang berjaya. Bagaimana mengukur kejayaan MLM? Mudah sekali. Bukan melihat pencapaian peribadi tetapi melihat ke bawah -- berapa orangkah yang telah berjaya melebihi atau setaraf dengan kita. Kalau kita mempunyai wang dan harta lebih RM1 juta tetapi yang di bawah sana hanya berbuih mulut bercakap pasal "jutawan" hari-hari tanpa henti, itu bukan kejayaan namanya. Itu penindasan dan mementingkan diri sendiri.

Kalau kita ini diibaratkan ayah, bolehkah kita dikatakan berjaya jikalau anak-anak kita ini tak solat, penagih dadah, kaki pau, selekeh dan sebagainya?

Tahun 1998 saya bertemu Zulkifli Sohor di Sun Complex Kuala Lumpur untuk interview. Dari interview tersebut saya belajar satu analogi yang amat penting dan telah diamalkan sejak berzaman. Tidak pernah gagal untuk mereka yang mahu mengikutinya. Mudah sahaja. Menurut Zul, "Kita ada 2 kaki, duit ada 4 kaki. Hukum alam menyatakan yang 2 kaki tetap kalah apabila kejar-mengejar dengan yang berkaki empat. Maknanya kalau kita kejar duit, kita hanya dapat penat. Tunggu, apabila kita berusaha gigih membantu orang lain dan melupakan soal duit, masanya akan sampai kita dikejar duit. Berbalik kepada hukum alam tadi, mampukah kita yang dua kaki ini menang apabila kita dikejar duit yang 4 kaki? Mana satu pilihan kita? Mengejar duit atau dikejar duit?"

Memang tepat! Tepat sekali pendirian Zul. Pada masa itu, 1998 itu Zul memang miskin. Kereta pun tak ada. Apa yang ada? DETERMINATION! Zul berusaha dengan gigih untuk membantu orang lain sihat dan memperoleh kekayaan kerana Zul percaya, suatu masa nanti dia akan dikejar duit dan tak akan terdaya melarikan diri dari duit.

Apa landasan Zul? Sudah pasti MLM. Syarikatnya? Syarikat yang benar-benar menjalankan sistem MLM, sudah melepasi 10 -- 30 tahun beroperasi di bumi Malaysia, berasaskan produk dan bertujuan melahirkan usahawan, bukannya 'katak'. Ada 10 syarikat utama dan sebahagiannya sudah pun disenaraikan di bursa saham. Antaranya, Amway, Cosway, Shaklee, CNI, Zhulian, Revell, Hai-O, Gamat Emas, HPA, apa lagi? Lupa. Apa yang utama ialah, syarikat tersebut mesti membina usahawan bukan membina "tukang palu gong" atau "pemain kompang" atau "tukang ketuk tong kosong".

Sepuluh tahun kemudian, berkat KEGIGIHAN dan KETABAHAN Zul berniaga, beliau menjadi manusia yang berjaya. Ukuran kejayaan seperti yang disebut tadi -- diukur dari berapa ramai orang yang dibimbingnya telah berjaya berubah ke arah kehidupan yang lebih baik. Kejayaan Rasulullah SAW diukur dari berapa ramai yang telah menerima dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup.

Semuanya terjadi secara kebetulan. Atau saya lebih suka menyebutnya suratan. Seorang Cikgu yang kuat bergurau dari Pontian, namanya Cikgu Wawa atau menggelarkan dirinya Wawa Chubby telah menghubungi saya melalui YM. Agak lama juga perbualan tanpa suara itu sambil menerima dan memberi nasihat. Dia menyebut nama syarikat MLM yang diceburinya. Serta-merta saya menyebut nama Zulkifli Sohor. Serta merta Cikgu Wawa memberitahu dalam terkejut, "Rumah dia berpagar kereta mewah. Atau kereta mewah dijadikan pagar rumah." Maksudnya, dari orang yang tak mampu membeli kereta 10 tahun dahulu kini mempunyai 4 kereta mewah seperti Mercedes S350.

Semalam saya dapat menghubungi Zul. Panjang ceritanya. Sambil mengucapkan tahniah dan mengajaknya bersyukur, kami mengimbau kenangan silam untuk dijadikan sempadan. Di akhir perbualan, Zul meminta saya menulis kisah hidupnya untuk dijadikan panduan usahawan-usahawan di dalam kumpulannya. InsyaAllah jikalau saya kelapangan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Hina besi kerana karat, hina kucing kerana kurap, hina manusia kerana melarat

» Peribahasa Melayu «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu