Jangan kerap menyerang dengan strategi yang sama
Posting pada:  10 Feb 2009 ( 1164 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sun Tzu berkata, "Memerangi satu-satu musuh dengan kerap, bermakna mengajar strategi peperangan kepadanya." Atau, mungkin kita boleh permudahkan, "Jangan kerap menyerang dengan strategi yang sama, kelak musuh dapat membaca langkah kita."

Tepat sekali. Kita ambil contoh yang sangat mudah: apabila kerap kita menonton drama atau filem Melayu, kita sudah boleh mengagak dengan tepat apa penghujungnya? Siapa yang mengajar kita mengagak atau ramalan tersebut? Filem atau drama Melayu itu sendiri. Bahkan, jikalau anda 'kaki' tak boleh 'miss' drama dan filem Melayu, anda bahkan boleh meneka babak seterusnya. Bahkan mungkin anda boleh meneka dialog seterusnya. Begitulah contoh maksud Sun Tzu.

Jangan berterusan menyerang dengan strategi yang sama. Gerak langkah kita mudah dibaca dan dipatahkan. "Mereka buat begini, kita elak begini. Mereka serang sini, kita serang hendap di sini." Mudah kan?

Contoh lagi: Apabila kita berulang-ulang mendengar satu-satu lagu, kita sudah boleh mengagak rentak dan lirik berikutnya. Begitulah juga, apabila kita berulang-ulang mendengar lagu dalam satu album, kita sudah boleh mengagak dengan tepat apa lagu berikutnya apabila kita telah mendengar sampai penghujung sesebuah lagi. Siapa yang mengajar kita meramal lagu berikutnya? Lagu itu sendiri yang mengajar. Mudah sekali.

Kata-kata Sun Tzu, pakar peperangan itu bukan sahaja untuk peperangan. ia untuk semua -- kehidupan, politik dan sudah tentu bisnes.

Setuju atau tidak, setiap hari dalam bidang kita ini, kita sentiasa berperang. Kita enggan berperang, tetapi siapakah yang mula mengangkat senjata? Adakah kita hanya mendiamkan diri? Memang sebaik-baik kemenangan adalah "peperangan yang dielakkan," namun jika kita berterusan diserang, adakah kita hanya bertahan sahaja? Bagaimana jikalau sudah tidak mampu bertahan lagi? Redha? Inilah masalahnya, kalau ilmu hanya sejengkal tetapi bercakap soal "redha".

Sila nyatakan di manakah di muka bumi ini, bisnes yang tidak ada persaingan? Bahkan bisnes buat keranda Cina yang lengang itu pun ada persaingannya. Semakin 'panas' sesuatu bisnes itu, semakin sengit persaingannya. Persaingan amat penting dalam bisnes. Tanpa persaingan, bisnes akan mundur. Jikalau anda hendak melihat persaingan yang sihat, lihatlah pada persaingan restoran makanan segera yang paling 'panas' di Malaysia ini -- KFC dan McD. Sebelah-menyebelah. Persaingan sihat, membuatkan kedua-duanya sama-sama maju. Mereka tetap bersaing, berperang tetapi dengan cara yang sihat. Bolehkan kita usahawan Melayu mencontohinya?

Apa definasi 'sihat' di dalam persaingan? Persaingan yang tidak merosakkan salah satu atau kedua-duanya, sebaliknya menguntungkan kedua-duanya dan pihak ketiga yang amat penting iaitu pengguna. Apabila bisnes bersaing sengit, yang untung adalah pengguna. Tak percaya, pergilah ke Kompleks Pertama Kuala Lumpur itu,

Persaingan adalah peperangan. Mahu tidak mahu, saban hari anda berhadapan dengan persaingan dalam apa saja bidang. Mahu tidak mahu anda mesti menggunakan strategi apabila 'berperang'. Ia bukan strategi jikalau telah diketahui oleh pihak lawan.

Dan ingatlah, tidak ada orang yang 'berperang' dengan matlamat untuk kalah. Adakah Rasulullah SAW berperang dengan musuh Islam dan golongan munafiq dengan tujuan hendak kalah?

Sentiasa ingat, setiap hari kita 'berperang' atau setiap hari kita berhadapan dengan pesaing. Menyerah kalah sebelum berjuang mati-matian bukan matlamat kita. Dan, sudah tentu jikalau hendak menang mesti ada strategi. Di mana hendak belajar strtaegi peperangan? Ikuti langkah Imam Ghazali -- kita keluar mencari ilmu, bukan ilmu mendatangi kita. Melebihi segalanya, bukan setakat berjalan, melihat, mentafsir, tetapi melaksanakan apa yang telah dilihat, ditafsir tersebut. Jangan amalkan berjalan, melihat, mentafsir tanpa bertindak kerana itulah sebenarnya punca kemunduran umat Islam. Bahkan punca umat Islam di seluruh dunia dipijak-pijak.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Hina besi kerana karat, hina kucing kerana kurap, hina manusia kerana melarat

» Peribahasa Melayu «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu