Yang pergi dan yang wajib menentang
Posting pada:  25 Jan 2009 ( 1079 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Wartawan TV3 di sebelah saya berkata, "Ingatkan perempuan," sementara menunggu jenazah Sasterawan Negara Arenawati disemadikan di dalam liang lahad. Hari ini, kita kehilangan seorang lagi sasterawan negara. Al-Fatihah untuk Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau nama penanya Arenawati.





Anak Arenawati (tengah) sedang diinterbiu oleh media-media penting. SN A. Samad Said juga sedang diinterbiu oleh pelbagai media.


Apabila mendengar berita kematiannya, terus saya ke Tanah Perkuburan Kiara. Apabila mendengar namanya, serta-merta saya teringat buku tulisan beliau yang popular, "Rontok." Memang banyak buku tulisan Allahyarham tetapi judul buku tersebut pertama kali terpancar di fikiran saya apabila disebut nama Arenawati. "Rontok" adalah bahasa Jawa yang bermaksud, "Gugur atau Berguguran." Rambutnya rontok -- rambutnya berguguran. Saya ingat-ingat lupa akan cerita buku tersebut yang jikalau tidak silap saya ia pernah dijadikan teks sekolah menengah. Ceritanya, kalau tak silap adalah mengenai dua beradik yang menemui pelbagai masalah besar ketika dalam perjalanan.

Saya mengingatkan diri saya sendiri dan rakan-rakan penulis supaya sekurang-kurangnya ada satu buku yang mana, jikalau menyebut nama anda, buku itu terus terpancar di fikiran. Satu sudah mencukupi, tetapi jikalau ada lebih dari satu, amatlah baik.

Saya juga mengingatkan kepada diri saya sendiri dan rakan penulis lain bahawa, apabila jasad kita dimasukkan ke dalam liang lahad, tulisan bercetak kita itu kekal entah berapa puluh atau beratus tahun lagi. Bagaimana kalau apa yang kita tulis adalah kebaikan? Bagaimana jikalau apa yang kita tulis adalah 'buku angin' yang hanya menghasilkan maki hamun? Dan ingatlah, apa saja yang dibaca, kekal tersimpan di dalam fikiran. Dan mestilah ingat, sebahagian manusia yang membacanya akan mempraktikkan. Saham kita akan sentiasa berterusan, sekalipun kita telah dimasukkan ke liang lahad. Saham baik atau saham tak baik? Ini pesanan untuk diri saya sendiri yang sering terlupa.

Al-Fatihah untuk Arenawati.

Di atas tanah perkuburan, sekali lagi saya bertemu dengan seorang lagi Saterawan Negara, A. Samad Said. Kali terakhir bertemu di tempat yang sama ialah pada bulan Ramadhan tahun 2008, ketika pengkebumian tokoh wartawan dan pejuang -- A. Samad Ismail.

Datuk A. Samad Said sedang berbincang bersama beberapa orang, sesudah diinterbiu dan sementara menunggu jenazah dimasukkan ke liang lahad dan dikambus. Pokok perbincangan mereka serta-merta dapat saya tangkap -- penentangan PPSMI. Jikalau bukan orang Melayu yang menentang, siapa yang akan menentangnya? Walaupun penentangannya tidak sehebat penentangan Malayan Union, namun ia adalah maruah bangsa Melayu. Bahkan kaum Cina dan India pun tidak setuju dengan PPSMI. A. Samad Said berkata dan segera dipersetujui, "Layakkah disebut sebagai pemimpin Melayu jikalau tidak menyukai dan mendaulatkan Bahasa Melayu?"

Perbincangan penuh ilmiah itu berterusan mengenai demo yang akan diadakan di depan SOGO pada 31.1.2009, Hari Sabtu. Ia seperti 10 tahun lalu, tahun 1998, permulaan Reformasi, harinya sama, tempatnya sama, bahkan waktunya pun sama. Pasti akan saya hadir bagi menunjukkan saya juga anti-PSSMI sejak ia mula diperkenalkan, sambil mengimbau kenangan lalu. Zaman PAS berarak di Masjid India, permulaan menentang PSSMI, saya ikut sama berarak.

"Saya tidak diberitahu," Kata A. Samad Said. "Ada dipaparkan pada blog Puan Ainon," kata salah seorang dari mereka, merujuk kepada Universitipts.com.

"Khabarnya," Kata salah seorang dari mereka, "Buku-buku yang bernilai jutaan ringgit untuk PSSMI sudah dicetak, kerana itu tuntutan untuk mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu ditangguhkan sehingga 2010." Jadi tepatlah, keseluruhan masalah yang dicipta adalah kerana WANG. Berubah (secara paksa) dari Bahasa Melayu kepada Inggeris adalah kerana wang; perubahan kembali dari Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu juga kerana wang.

Al-Fatihah untuk Arenawati.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Untuk melancarkan kapal besar, anda perlukan pelabuhan yang besar

» Conrad Hilton «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu