Banyak duit baru, duit besar, petanda apakah ia?
Posting pada:  20 Jan 2009 ( 1051 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Seminggu dua ini ada sedikit kelainan apabila mengeluarkan wang menggunakan mesin ATM. Kebanyakannya duit baru, keras dan 'berbau' duit. Memang duit baru dicetak. Sedap bau duit itu -- lebih sedap dari bau buku yang baru dihantar oleh pencetak.

Kebimbangannya ada -- bimbang wang dicetak dengan lebih banyak lagi bagi mengatasi masalah ekonomi. Mencetak wang baru bagi mengatasi masalah ekonomi adalah penyelesaian sementara sahaja. Ia pernah dilakukan di luar negara. Mungkin juga pernah dilakukan di negara kita nan tercinta ini. Pakar ekonomi mana pun setuju bahawa impaknya memang buruk jikalau menyelesaikan masalah ekonomi dengan mencetak wang baru. Negara boleh bankrap!

"Wang tidak bertambah atau berkurang, hanya bertukar tangan. Ajaib!" Demikian kata Gordon Gekko dalam filem Wall Street. Ia filem Hollywood, setiap dialog yang dituturkan adalah fakta dan ada impak.

Mencetak wang baru untuk mengatasi masalah ekonomi akan menyebabkan kembali ke zaman Jepun -- wang banyak, nilainya kecil, negara menjadi miskin, ekonomi akan terus merudum.

Begitulah pentingnya "Hukum Jumlah dan Nilai" yang saya catatkan di dalam buku "Apa Yang Diajar Di Akademi Jutawan." Saya tidak tahu sudah berapa kali buku ini diulang cetak. Urusan PTS PRO untuk mengulang cetaknya.

Apa yang dimaksudkan di sini, jikalau tidak mementingkan nilai, hanya mementingkan jumlah, semua orang boleh menjadi jutawan tetapi "jutawan miskin". Contoh dan cara yang paling mudah: Tukarkan wang RM500 di Money Changer berhampiran kepada duit Indonesia atau Bangla. Ia akan menjadi lebih 1 juta rupiah atau 1 juta taka. Pada sebutannya, anda telah menjadi jutawan kerana memiliki wang berjumlah 1 juta, tetapi pada nilainya, ia hanya RM500 sahaja. Kerana itu penting sekali mengetahui "Hukum Jumlah dan Nilai." Nilai ditentukan oleh inflasi. Jangan terpedaya dengan cakap-cakap bahawa inflasi di Malaysia ini rendah. Memang tinggi inflasi di Malaysia ini. Dan inflasi pula ditentukan oleh pelbagai keadaan termasuklah adanya "permintaan dan penawaran." Di hadapan anda ada 10 orang yang berduit dan sangat lapar. Anda membawa sepinggan nasi dengan lauk yang enak bernilai RM7, misalnya. Sekarang, 10 orang di depan anda berebut-rebut hendak nasi tersebut. Bagaimana cara untuk mendapatkan nasi tersebut? Oleh kerana mereka berduit mereka berlawan-lawan menawarkan harga yang tinggi. Itu permintaan. Penawaran pula, jikalau anda bersabar tidak terus ghairan, nasi tersebut boleh meningkat menjadi RM70 bahkan RM700. Ingat, mereka berduit dan sangat memerlukan nasi tersebut. Begitulah contoh bagaimana terjadinya inflasi.

Ini pula adalah pendapat saya sendiri. Boleh jadi benar atau salah. Tidak semestinya betul. Tiga kali telah terjadi masalah kemelesetan, kelembapan atau ekonomi merudum di Malaysia -- 1986, 1998, 2008. Jikalau diperhatikan, sebelum terjadi masalah atau kejatuhan ekonomi tersebut, kebanyakan orang berbelanja dengan duit besar. Pada tahun 1986 dan 1998, masih ada lagi wang kertas RM1000 atau tandanya pada masa itu ialah $1000. Juga wang kertas RM500. Wang kertas RM100 pun bersepah. Kebanyakan orang berbelanja dengan menghulukan wang kertas RM100 dan RM50. Jarang sekali menggunakan wang kertas RM10 atau RM5, apatah lagi RM2 dan RM1. Entah kebetulan atau entah mengapa, tak lama selepas keghairahan orang ramai menggunakan wang besar, ekonomi Malaysia menjadi tunggang-langgang, merudum, meleset, kelembapan, krisis.

Sebelum terjadi krisis ekonomi tahun hujung tahun 2008 atau awal 2009 pula, diperhatikan lebih ramai yang berbelanja menggunakan duit besar. Duit yang paling besar digunakan ialah RM50 kerana sejak tahun 2006 atau lebih awal lagi memang sukar untuk melihat wang kertas RM100. Sudah jadi seperti orang kahwin 4, "Kadang-kadang baru kita dengar sekali." Kadang-kadang baru terlihat atau menerima wang kertas RM100. Tidak ada siapa yang tahu mengapa ia semakin berkurang di pasaran. Adakah ia salah satu usaha untuk menghapuskannya dan menjadikan RM50 wang kertas yang paling besar? Kita tidak tahu.

Ini teori saya sendiri. Jangan terus percaya. Lain kali jikalau terlihat ramai yang menggunakan wang besar untuk berbelanja, bersedialah untuk menghadapi krisis ekonomi.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Saya tak mahu ia terus kekal sebagai impian sahaja

» Tony Fernandez «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu