Dari Rumah Kenal Penghuni
Posting pada:  12 Apr 2006 ( 5850 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Benarkah begitu? Tak seratus peratus benar tetapi boleh diguna pakai ? sesekali. Pada zaman dahulu, ada seorang Islam (bukan Islam Hadhari) yang sedang mencari-cari rumah sewa. Seorang Yahudi menawarkan rumah yang kosong. Setelah memeriksa dan berkenan, orang Islam itu pun bertanyakan harga. "Mengapa rumah ini lebih mahal sewanya berbanding yang lain." "Sebab bila kamu menduduki rumah ini, kamu berjiran dengan ulama terkenal."

Dari cerita tadi, terbukti, jiran boleh menaikkan atau menjatuhkan imej dan kedudukan jiran lain. Mungkinkah ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kebahagiaan seorang lelaki ada empat: (1) Isteri yang solehah (2) Rumah yang lapang (3) Kenderaan yang bagus (4) Jiran yang baik."

Petang Maulidur Rasul, tak ada apa nak dibuat, dengan kamera digital hadiah dari INTEAM saya berpusing-pusing di Sungai Pencala, kampungku yang sudah tak berapa hijau. Tujuannya hendak mengambil gambar pemandangan dari atas bukit.

Memang sudah semakin hilang unsur-unsur kampung di Sungai Pencala ini lebih-lebih lagi terbina Pencala Link dan Terowong Pencala yang semakin menghilangkan identiti kampung. Dan semakin terhimpit dihimpit oleh bandar-bandar besar di sekelilingnya seperti Taman Tun Dr Ismail, Bandar Utama, Damansara Perdana, Mutiara Damansara, Seri Hartamas dan entah apa-apa lagi. Tujuan saya berubah. Dari gambar pemandangan saya mengubah mengambil gambar-gambar rumah-rumah cantik milik orang-rang kaya dan ternama di Sungai Pencala. Saya pun tak berapa faham mengapa semakin ramai jutawan, orang kaya, orang-orang besar memilih untuk membina rumah di Sungai Pencala.

Tujuan saya mengambil gambar banglo (dan istana) mereka adalah untuk inspirasi saya. "Kalau mereka boleh, saya 100 kali boleh." Kalau pun 100 itu tak terhasil, bagaimana kalau 50 atau 10? Inilah gambar-gambar yang saya ambil. Harap tunggu sampai habis loading.


Rumah Dato Nor Azam, bekas Chairman TV3, Bank UMBC, Datuk Keramat Holding. Orangnya baik dan sentiasa mesra bila bertemu di masjid. Biasa lepak dengan beliau di kedai kopi depan masjid, sekali dua. Tapi bila beliau menjemput datang ke rumah, bila ada function, selalu mengelak.... Tanyalah penduduk kampung ini betapa mesranya Dato' Nor Azam.


Rumah Dato' Abol Hassan. Sesekali saya terpaksa naik ke bukit ini untuk menghantar atau mengambil anak sulung saya yang lepak di sini bersama anak beliau. Mereka sama satu kelas


Rumah Haji Arif yang besar, rimbun dan redup. Jutawan ini pernah tersiar di dalam "100 Most Riches In Malaysia." Khabarnya harta beliau bejumlah RM300 juta. Tolonglah hulur sejuta dua... Selalu bersimpang di masjid tetapi jarang bercakap. Hanya sekali bertemu di Jusco sambil saya buat lawak, "Lain rasanya bersalam dengan jutawan." Beliau gelak besar. Gelak tak cukup... hulurlah... Bukan luak pun...


Tak tahu rumah siapa ni, tapi memang reka bentuknya sangat cantik, menyebabkan air liur saya meleleh....


Rumah Dato Osman Abdul, bekas setiausaha politik Menteri Perdana Keempat, bekas wakil rakyat Pendang selepas kematian Yang Berbahagia Allahyarham Ustaz Dato Fadzil Noor. Menyesal tak sudah... kenapalah saya tak menjadi setiausaha politik


Masih ingat cerita bagaimana seorang usahawan tiba-tiba seperti dipukau memandu keretanya menuju ke PJ Hilton, naik ke tingkat atas dan terjun ke bawah. Inilah rumahnya. Rumah ini diamanahkan, supaya didiami oleh anak-anak yatim tapi selepas itu didiami beramai-ramai oleh Rufaqa'. Sekarang ini dah kembali kosong mungkin Rufaqa' kena halau sebab tak bayar sewa.


Masih ingat Tan Sri Arshad Ayub? Dia yang pernah menjulang nama ITM suatu masa dulu. Ini bukan rumahnya tapi tempat membuat batik. Azlea Batik, milik anak beliau.


Ini rumah Mohd Fauzi (MOFAZ). Di atas bukit dan hampir menguasai sebahagian Sungai Pencala (sebelah depan). Di bawah rumah ini ialah Wisma Mofaz yang baru saja siap.


Ini rumah Pahamin Rejab (yang pernah menjadi KEtua Pewngarah JPJ dan dikaitkan dengan AirAsia) yang masih dalam pembinaan. Empat buah rumah (istana) dibuat serentak untuk anak dan menantu. Di atas tapak rumah inilah dulu saya dan rakan-rakan, sekitar tahun 1999 menubuhkan Kelab IT yang bertahan selama setahun.


Ini tak tahu rumah siapa tapi reka bentuknya unik dan halamannya sangat luas. Namanya Villa Aida. Nun di atas sana ialah rumah Abol Hassan dan Dato Tobrani


Kawasan perumahan baru di atas bukit. Di sinilah dulu, saya kerap membawa anak-anak saya bermain dicelah-celah batu besar. Kadang-kadang baring di atas batu melihat bentuk-bentuk awan di langit


Rumah ini terletak di tepi highway Pencala Link. Khabarnya rumah bekas jurutera DBKL.... Wow!"


Restoran Puteri / Dayang sudah lama wujud di Taman Tun Dr Ismail dan Brickfield. Kini dibuat besar-besaran di sini. Tapi agaknya Mc Donald tak berapa setuju sebab syarat utama restoran ialah, "Lokasi, Lokasi, Lokasi."


Rumah jutawan dan dermawan Haji Hassan Mokhtar yang baik hati. Pernah menderma untuk Ukhwah.com. Rumah ini pernah digunakan oleh Inteam dan Jummah untuk penggambaran video klip. Di tingkat atas sekali ialah surau. Hazamin Inteam berkata, "Ana dapat surau itu pun jadilah..." Semasa masih bersekolah rendah anak sulung saya kerap ke sini sebab sama satu kelas dengan anak beliau


Rumah Dollah yang masih dalam pembinaan, tuan punya syarikat hosting dan IT FIVIO.COM yang menjadi sponsor server co-location untuk Ukhwah.com dan semua Portal di bawah Hanan Network. Bila ditanya, Dollah akan menjawab, "Rumah bapak aku la Kang..." Lokasinya di depan rumah Haji Hassan Mokhtar


Rumah Herr (Encik) Karin. Orang Jerman. Sekali dua nampak solat Jumaat. Tak tahulah, orang kata ada anak perempuan nama Maya Karin. Saya tak ambil tahu sebab yang saya minat ialah reka bentuk dan lokasi rumah ini di tepi hutan


Sudah lama banglo ini di sini. Tak tahu siapa pemiliknya. Nampak cantik, redup dan rimbun. Sesuai agaknya untuk penggambaran filem seram.


Rumah Prof Dr. Abdullah, Dekan Fakuliti Law UIA, kini dibiarkan kosong. Setelah meninggalkan Sungai Pencala untuk menyertai Yayasan Terengganu rumah ini digunakan sebagai Tadika. Kini Tadika tersebut telah tutup dan rumah berharga ini kosong. Kalau taknak, saya ambil...


Rumah penulis kontroversi Razzi Armansur.... Opppssss... hanya angan-angan. Inilah bentuk rumah yang saya idamkan, simple dan optimum -- setiap ruang digunakan. Yang utama halamannya mesti luas untuk function seperti pelancaran buku baru, meraikan sahabat-sahabat Ukhwah.com misalnya. Saya sangat berkenan dengan rumah ini, kerana itu bila menghantar anak ke sekolah Agama, pasti akan melalui depan rumah ini sambil bertanya kepada anak saya, "Rumah siapa ni Zik?" Ezika akan menjawab, "Abah...."

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Untuk menjadi pengurus yang bagus mestilah sentiasa dikelilingi oleh pekerja-pekerja yang juga bagus

» Kang Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu