Antara permainan badminton dengan pilihanraya
Posting pada:  19 Jan 2009 ( 1121 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Suatu masa dahulu, Razif Sidek pernah berkata lebih kurang maksudnya begini, "Apabila pihak lawan berturut-turut mendapat tambahan mata, ia akan menjejaskan tumpuan dan permainan kita. Jadi, jangan sampai pihak lawan mendapat mata berturut-turut."

Razif Sidek dan pasangannya Jalani Sidek memang berjasa pada negara. Tapi alangkah peliknya, manusia yang berjasa begini tidak mendapat anugerah Datuk atau Dato'. Mengapa? Bahkan rasanya abang mereka Misbun Sidek, mendapat anugerah Datuk kerana hendak mengimbangi seorang pemain bandminton yang tiba-tiba mendapat Datuk. Jasa? Perlukah jasa untuk mendapat Datuk atau Dato'? Bahkan ramai yang mengatakan gelaran tersebut pun sudah kurang atau tidak bernilai. Bayangkanlah -- Shah Rukh Khan pun mendapat Datuk... Bahkan cara pemberian (bukan penganugerahan) itu pun seperti 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'. Maksudnya -- seolah-olah penerima seperti enggan menerima atau lebih suka jikalau tidak diberi gelaran tersebut.

Kalau begitu Jackie Chan pun perlu mendapat Datuk atau Dato' sebab Police Story 3 penggambarannya di Kuala Lumpur. Sean Connery pun. Kalau begitu Danial Craig pun perlu diberi Datuk atau Dato' sebab filemnya ditayangkan di Malaysia. Sidney Sheldon pun, sebab pernah berutus surat dengan saya orang Malaysia dan menyebut nama Malaysia dalam bukunya Doomsday Conspiracy.

Razif Sidek orang kaya. Rumahnya tidak jauh dari depan Balai Islam (atau Masjid Al-Ghufran) Taman Tun Dr. Ismail. Rumah banglo, dengan kereta-kereta mewah di laman rumah. Di Kuala Lumpur, rumahnya tidak jauh dari rumah saya. Di Banting juga, rumahnya jadi penanda untuk masuk ke kampung saya. Beliau mampu mengekalkan kekayaannya kerana jodohnya adalah dengan orang kaya juga. Apabila kaya bertemu kaya, tidak akan terjadi kejutan budaya. Biasanya, orang kaya kembali papa kedana adalah kerana kejutan budaya. Juga disebabkan pasangan hidup yang terbeliak kerana kejutan budaya.

Apa yang ingin saya kaitkan ialah permainan badminton dengan plihanraya di Malaysia ini. Apabila Pakatan Rakyat berterusan menang, berturut-turut dalam PRU 12 dan 2 pilihanraya kecil, bahkan menang besar, pasti kemenangan seterusnya akan memihak kepada Pakatan Rakyat. Ia menjadikan BN hilang tumpuan dan menggelabah. Sama seperti permainan badminton apabila menerima kekalahan berturut-turut. Kekalahan itu akan mengganggu fokus dan menjadikan gelabah. Apabila gelabah, banyak perkara buruk akan terjadi. Jadi, ramalan Pakatan Rakyat akan menguasai bukan lagi ramalan.

Lebih menjadikan BN gelabah ialah apabila pengundi Cina pun mengundi PAS di zon Bandar, Kuala Terengganu. Di Klang, pada PRU 12, pengundi India mengundi PAS. Ini tentu menjadikan 'permainan badminton' BN semakin tidak tentu arah.

Jikalau anda mengikuti perkembangan permainan bergu Razif dan Jalani suatu masa dulu, apabila berturut-turut mereka dikalahkan, atau mata lawan mereka meningkat, mereka berdua akan kelihatan 'bertelagah'. Pertelagahan akan menambahkan lagi gelabah. Bahkan jikalau mereka tidak sefahaman sebelum masuk ke gelanggang, mereka menempah kegagalan. Sefahaman itu penting bagi mengekalkan fokus dan menghadapi segala rupa cabaran.

Ingatlah, 'permainan' ini bukan sahaja untuk badminton, parti, bahkan untuk kehidupan dan bisnes.

Ingatlah juga, apabila dalaman retak, amat mudahlah luaran menawan. Ingatlah punca kekalahan sementara peperangan Uhud -- tidak sefahaman, tamak, engkar, menyebabkan pasukan pemanah turun dari bukit dan mengejar harta peninggalan perang. Musuh dengan mudah menyerang dan menawan apabila dalaman tidak fokus atau mula menggelabah. Ini terjadi bukan sahaja dalam peperangan bahkan di dalam parti, bisnes dan kehidupan.

Maka kedengaranlah, "Kita mesti memperkasakan parti kita." Itu "mengapa". Yang penting ialah "bagaimana" hendak memperkasakannya. Dari "bagaimana" barulah tahu apa tindakan. Sana sini terdengar laungan, "perubahan" tanpa memberitahu "bagaimana" tindakan untuk melakukan perubahan tersebut. Dah jadi seperti "pakar motivasi" yang hanya tahu menyebut "mengapa" tetapi tidak menjelaskan "bagaimana".

Fikirlah sendiri, apabila kita terlalu memikirkan kedudukan kita, tidak mungkin kita memikirkan perkara lain. Katalah saya seorang ketua kampung. Di bawah saya ada beberapa orang yang sedang cuba merampas kedudukan saya kerana jawatan saya adalah terbuka, bukan seperti Sultan. Apa yang akan saya lakukan? Sepanjang masa saya memikirkan cara un tuk mempertahankan jawatan saya, sehinggakan tidak ada ruiang di dalam otak saya untuk memikirkan bagaimana melaksanakan tugas saya.

Di dalam NLP selalu disebut, "Apabila kita melakukan apa yang selalu dilakukan, kita akan mendapat apa yang kita selalu dapat." Setuju? Cara BN (atau lebih tepat UMNO) berkempen sejak dulu kini dan selamanya adalah cara yang tidak disukai oleh rakyat. Menghentam parti lawan melalui ceramah dan media, kemudian dengan selamba memberitahu sidang akhbar, "Cara kita berkempen tidak menghentam parti lawan, sebaliknya kita pergi ke akar umbi," adalah cara lama yang tidak disukai rakyat. Pembangunan "serta-merta" dan bantuan datang mencurah-curah sudah tidak disukai lagi. Dewan yang telah dirasmikan 10 tahun dahulu dirasmikan semula sama seperti UIA telah dirasmikan oleh Dato' Seri Anwar dahulu, dirasmikan semula oleh Mahathir dengan menambah huruf M dihujung UIA, tidak lagi disukai rakyat. Rakyat telah tahu ia adalah helah.

Inilah yang perlu perubahan, tetapi apabila berubah ia telah terlewat. Sokongan pelbagai golongan terutama golongan muda yang akan mara ke depan dengan penuh tenaga telah beralih kepada kepada Pakatan Rakyat kecuali sebahagian golongan muda di salah sebuah universiti di Shah Alam.

Adakah BN sedang meniti, "Hari-hari terakhir sebuah parti politik"? Sama-sama kita tunggu, InsyaAllah, janji Allah sentiasa ditunaikan -- kebenaran pasti akan muncul.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Adalah mustahil untuk menyukakan dan memenuhi kehendak semua orang

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu