'Mengapa' punca kemunduran
Posting pada:  19 Jan 2009 ( 1186 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Anak sulung saya, Edika Armansur marah-marah apabila pemain pujaan dan idolanya, Kaka akan dibeli oleh Manchester City. Itu khabar yang sekarang sedang menggegar dunia bola sepak. Dikhabarkan inilah penghijrahan termahal dalam sejarah bola sepak -- bernilai 243 juta pound. Manchester City kini dimiliki oleh Sheikh Arab dan dikatakan kelab yang terkaya di dunia. Sheikh Arab ini lebih berminat menggunakan wang sebanyak itu membeli pemain ternama dunia, Kaka dari AC Milan, berbanding digunakan untuk membantu rakyat Palestin.

Edika meminati Kaka dan AC Milan sejak darjah 6 lagi, sampaikan namanya diubah menjadi Edika_Kaka. Bahkan rakan-rakan kolej memanggilnya Kaka. Bahkan boleh sedikit sebanyak faham sepatah dua bahasa Itali. Contoh fanatik. Menurut pendapatnya, Kaka tidak akan berhijrah kerana pemain-pemain AC Milan amat mementingkan kesetiaan walaupun bayaran mereka lebih rendah berbanding dengan pemain-pemain superstar lain. Menurut Edika lagi, jikalau Kaka memikirkan wang semata-mata sudah lama dia meninggalkan AC Milan.

Begitulah dunia bola sepak. Suatu malam saya menonton bola bersama Syahril Inteam. Katanya, "Di Eropah, bola sepak bukan lagi sukan tetapi sudah dianggap Ad-din, agama."

Isunya di sini, apabila anak saya marah-marah, saya akan mengatakan "Itu 'mengapa', cari 'bagaimana' cara mengatasinya."

"Bodoh Arab ini, ada duit asyik beli pemain saja." Katanya lagi. Mungkin tidak sedar, emak Edika adalah keturunan Arab dan Edika, Ezika adalah keturunan JaRab (Jawa + Arab).

Sekali lagi saya berkata, "Itu 'mengapa', cari 'bagaimana' baru betul. Tak guna berjela-jela mengatakan pasal 'mengapa'. Hanya menyakitkan diri sahaja. Cari 'bagaimana'." Salah satu cara mengatasi adalah dengan berusaha menghalang menghijrahan tersebut di dalam forum rasmi AC MIlan, "The Red and Blacks Forum". Nickname di dalam forum tersebut: Edika_Kaka.

Sehari dua ini, Edika 'mengamuk' di forum rasmi AC Milan (forum.acmilan-online.com). Susah sungguh kalau sudah fanatik. Pernah saya bertanya, "Kenapa tak ada orang yang fanatik minat abah?"

Begitulah. Di sekeliling kita ini hanya penuh dengan 'mengapa' sahaja. Jikalau hanya turutkan dan berterusan mencari 'mengapa', pasti hidup kita berterusan mundur. 'Mengapa' adalah pembuka dan hendaklah serta-merta diikuti dengan 'Bagaimana'. Kalau hanya memikirkan dan berterusan bercakap dan mencari 'mengapa', tak jauh atau lebih kurang sama dengan 'pakar motivasi' atau 'seminar motivasi' yang sepanjang masa hanya membebel tentang 'mengapa' tanpa memberitahu 'bagaimana'. "Kita mesti bertindak dengan lebih positif" Katanya dengan suara sekuat kilang papan. Itu "mengapa" bukan "bagaimana". "Mengapa" akan hanya menyebabkan diri mundur, terus mundur kerana seolah-olah ia mengutuk diri sendiri atau melemahkan diri sendiri atau kata-kata orang yang sudah tidak ada daya. Atau lebih ringkas lagi kata-kata orang yang enggan bertindak.

Anak bongsu saya pula, Ezika Armansur memberitahu baru sahaja menghadiri ceramah tentang Palestin di sekolah. Kata Ezika, penceramah memberitahu, anak muda di Palestin mati kerana mempertahankan negara, anak muda di Malaysia mati kerana merempit, dan berbagai-bagai lagi perbandingan antara anak muda Malaysia dengan anak muda Palestin. Termasuk juga, bayi di Palestin dihargai tetapi bayi di Malaysia dibuang. Saya bertanya, "Apa mesejnya? Adakah menyuruh kita bersyukur." Kalau yang berceramah orang UMNO sudah pasti menghendaki kita bersyukur di bawah pemerintahan parti yang ada sekarang sambil membandingkan keburukan-keburukan negara lain.

"Itu adalah 'mengapa'. Mana dia punya 'bagaimana'?" Saya bertanya. Tidak ada jawapan. Saya suka mengesyorkan 'bagaimana' yang paling mudah. Daripada mendengar ceramah yang membebel begitu dan tak ada faedah kerana hanya 'mengapa', lebih baik dikerah keseluruhan anak murid meminta derma (atau meminta sedekah) dari rumah ke rumah, kompleks ke kompleks, bangunan ke bangunan, sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Bandar Utama, Sungai Pencala untuk disalurkan ke Palestin (menggunakan saluran yang betul). Itu 'bagaimana' sebenar.

Sana-sini kedengaran mengutuk sekeras-kerasnya penjajahan Israel dan penghapusan etnik di bumi Palestin. Forum sana sini. Itu semua 'mengapa'. Bahkan dikatakan sebagai musim penting mencari publisti berasaskan penderitaan rakyat Palestin. Bukalah TV, selaklah akhbar, anda akan melihat ratusan 'mengapa' dan pencarian publisiti . Hampir semua berkokok tetapi kokok berbentuk 'mengapa' tidak ada 'bagaimana'.

Apa yang perlu dilakukan itulah yang penting. Itulah sebvenarnya 'bagaimana'. Kalau setakat melaung, mengutuk, retorik, kanak-kanak Tadika pun boleh buat. Dari berkumpul melaung-laung lebih baik berkumpul solat hajat berdoa sungguh-sungguh dan bertebaran mengutip derma untuk disalurkan ke Palestin. Itu sebenarnya 'bagaimana'.




Daripada mengutuk Israel dan Amerika, lebih baik menggunakan masa tersebut untuk mendesak supaya dihapuskan Al-Fatah dan manaikkan Hamas. Ini kerana pada pendapat cendiakiawan, hanya Hamas dan Hizbullah sahaja yang mampu membenteras Israel. Bukan pertubuhan boneka bernama Al-Fatah. Segala masalah kronik di Palestin adalah berpunca dari pertubuhan Al-Fatah.

Ada orang bertanya kepada saya mengapa Allah tak hapuskan saja bangsa Israel dan ranapkan negara mereka. Saya pun bingung nak menjawab, nasib baik dapat idea spontan -- "Soalan yang sama, mengapa Allah tidak mahu menghapuskan syaitan dan iblis agar aman dunia ini dan tidak ada rasuah dan pembaziran. Punca keruntuhan tamadun adalah rasuah dan pembaziran. Saya tak kata Allah tidak boleh hapuskan syaitan, cuma saya kata Allah tidak hapuskan syaitan dan iblis."

Mengapa Allah tidak menghapuskan Israel atau seperti kebanyakan sms yang diterima sehari dua ini: "Ya Allah hantarlah burung Ababil, turunkan bola api sebagaimana Engkau musnahkan tentera Abrahah." Mengapa? Soalan yang sama, mengapa suatu masa dulu, Bosnia diranapkan. Di mana pertolongan Allah kepada umat Islam Bosnia? Bukan Allah tidak menurunkan pertolongan tetapi lihatlah sendiri Islam jenis apakah Bosnia itu? Islam keturunan? Khabar yang kedengaran, sampai Malaysia barulah mereka belajar membaca "Bismillah." Di sebelah bank di Taman Tun Dr Ismail, pada masa itu, kelihatan seorang seorang sedang menyimen kedai, mukanya muka Islam. Saya bertanya, dari mana. Sambil menghisap rokok dia menjawab, "Bosnia." Saya bertanya, "Tak puasa?" Dia hanya sengih.

Jadi, menjawab soalan mengapa Allah tidak memusnahkan Israel, maka kenalah kita melihat ke dalam Palestin itu sendiri terutamanya kumpulan Fatah. Lebih dari itu, "Dunia ini pentas." Sebelum ia berlaku ke atas Malaysia, apakah tindakan kita sekarang?

Ada seorang lagi yang agak bebal mengkhabarkan khabar angin berbunyi begini, "Indonesia menghantar 2000 orang ke Palestin." Sebelum habis bercakap, saya sudah memotong. "Cukuplah. Orang dah muak dengan cerita-cerita karut begitu. Nak buat apa ke Palestin? Nak elak-elak peluru macam The Matrix? Saya ingat mereka tak ke Palestin tetapi ke Malaysia, sebagai pendatang haram. Bukan setakat dua ribu. Juta." Ia lebih kurang sama dengan seorang guru silat yang sudah 'menapouse' kononnya nak menghantar ahli silat ke Lubnan semasa perang Lubnan-Israel tempoh hari. Nak buat apa? Nak elak-elak peluru seperti The Matrix? Mengapa masih ramai lagi manusia-manusia yang boleh diperdaya dan suka memperdaya di bumi Malaysia ini?

Kedengaran juga, "Israel ini punyalah kejam, Nabi mereka sendiri pun dibelah." Ia merujuk kepada Nabi Zakaria yang dibelah ketika menyorok di dalam pokok. Soalnya, kenyataan itu adalah "mengapa". Kita mahukan "Bagaimana" kerana sudah tidak sanggup melihat kanak-kanak dan orang awam terus-menerus meningkat jumlah kematiannya dan hidup dalam penderitaan.

Bagi pendapat saya yang berasaskan "mengapa" ini juga ialah begini: Obama akan menerajui Amerika pada 20 Januari 2009 ini. Israel laknatullah sudah tahu Obama akan membuat polisi baru. Jadi sementara ada "hari-hari terakhir seorang Presiden" Bush yang juga laknatullah, serangan dilepaskan habis-habisan. Pada 20 Januari nanti akan diadakan gencatan senjata sesudah menawan sebahagian lagi tanah Palestin. Kini, Israel sudah menguasai 80 peratus tanah Palestin.

Begitulah di sekeliling kita hanya dipenuhi dengan "Mengapa" sahaja. Bahkan kita sendiri terikut-ikut hanya bercakap, "Mengapa" sahaja. Mungkin kita terikut-ikut akibat mendengar "Pakar Motivasi" membebel. Mungkin buku-buku yang kita baca hanya mementingkan "mengapa" sahaja. Bahkan pemimpin-pemimpin kita lebih galak menyebut "mengapa" daripada "bagaimana." Akibatnya? Jikalau kita terus mengamalkan "Mengapa" dan tidak disusuli dengan "Bagaimana" pasti, dijamin, kita akan terus mundur.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Hina besi kerana karat, hina kucing kerana kurap, hina manusia kerana melarat

» Peribahasa Melayu «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu