Resos! Resos! (Tambah semula sos?)
Posting pada:  05 Jan 2009 ( 978 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Kalau orang Melayu sendiri tidak hormat kepada Bahasa Melayu, bagaimana bangsa lain hendak menghormati Bahasa Melayu? Yang merosakkan sesuatu ialah sesuatu itu sendiri. Yang merosakkan nasyid adalah orang nasyid sendiri. Yang merosakkan MLM adalah orang MLM sendiri. Yang merosakkan 'motivasi' adalah orang 'motivasi' sendiri. Yang merosakkan dunia penulisan adalah penulis sendiri. Yang merosakkan Bahasa Melayu adalah orang Melayu sendiri. Setuju?

Kalau badan-badan yang bekait rapat dengan Bahasa Melayu buat tak tahu, maka ada pihak yang bermaharajalela merosakkan bahasa Melayu. Tak tahu mengapa badan-badan penting yang berkait rapat dengan Bahasa Melayu sentiasa senyap dan sunyi. Contohnya, DBP (Hishamuddin Rais menyebutnya sebagai Dewan Bahasa dan Petaka di tukartiub.blogspot.com, saya pula lebih suka menyebutnya sebagai DPB -- Dewan Perosak Bahasa) semakin senyap dan sepi lebih-lebih lagi dalam isu perjuangan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Sunyi bagai kuburan.

Kita sebenarnya tidak faham apa sebenarnya peranan DBP kepada bahasa. Adakah ia sama seperti peranan JAKIM terhadap halal dan haram? Pernah terdengar lawak suatu masa dulu, "JAKIM itu sendiri halal ke?"

Suatu masa dulu, pangkat-pangkat dalam polis ditukar secara terus dari bahasa Inggeris, misalnya: Commissioner diubah langsung menjadi Komisyener. Chief diubah terus kepada Cif. Yang sedihnya DBP menikus. Begitu juga badan-badan yang memperjuangkan Bahasa Melayu.

Di masa ini, di saat, Bahasa Melayu sendiri perlukan pembelaan, di mana DBP, Gapena, Pena, Pen, Pensel, Pembaris dan lain-lain.

Baru tadi saya terlihat satu lagi perkataan yang diambil terus dari bahasa asal. Saya rasa ia adalah penghinaan bahasa yang amat ketara. Resos? Mungkinkah ia diambil dari perkataan Resources? Resos? Adakah ia membawa maksud 'Sos Semula' -- 're' membawa maksud semula. Tambah sos semula. Bilik untuk tambah sos semula? Di sekolah ada bilik untuk tambah sos semula? Siapa yang tambah sos?

Jikalau ia bilik Resouces, mengapa menjadi Resos? Mengapa tidak yang selalu kita gunakan -- Sumber. Pusat Sumber. Dulu awal mulanya, disebut Kutub Khanah, Perpustakaan, Pusat Sumber, dan kini? Bilik Resos.

Kelakar? Memang kelakar. Inilah akibatnya terlalu meng'Inggeris'kan. Tak lama lagi segala rupa benda akan diambil terus dari bahasa Inggeris. Call menjadi kol. Friend menjadi fren. Bukankah kita ini terlalu bangga dengan Bahasa Inggeris. Jangan salahkan sesiapa jikalau negara Malaysia kelak menjadi negara termiskin di Asia Tenggara. Kini negara termiskin di Asia Tenggara ialah Filipina yang terlalu mengagungkan Bahasa Inggeris. Bukankah kita kini memang terlalu mengagungkan Bahasa Inggeris?

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jangan merungut bila gelap, pasang lampu teranglah ia

» Peribahasa Jawa «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu