Bila hati dilamun cinta
Posting pada:  25 Nov 2008 ( 1265 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Secara tiba-tiba teringat zaman remaja dan bacaan pada ketika itu. Suasana, keriangan, kedukaan, percintaan (cinta monyet), tiba-tiba datang kembali.


Buku klasik yang merentasi zaman, sehingga kini masih best-seller. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Merantau Ke Deli, Di Bawah Lindungan Kaabah. Mengapa dan bagaimana ia mampu bertahan sehingga hari ini?


Serta-merta juga terus ke Batu Caves, ke Crescent News, tempat saya membeli apa saja buku selama ini. Di sini saya mendapat potongan sehingga 25% berbanding membeli di kedai. Apa saja buku ada di sini kerana Crescent News adalah salah satu pengedar buku yang besar dan terutama, melebihi 37 tahun beroperasi. Saya mengenali salah seorang pengarah yang bernama Ibrahim sejak di Malayan Mansion lagi. Pada masa itu Crescent News menyewa tempat yang kecil dan sempit di tingkat atas Malayan Mansion. Tahu di mana Malayan Mansion? Di Jalan Masjid India, bertentangan tak jauh dari Mydin. Orang kata, di sini, di Jalan Masjid India, berhimpunnya jutawan-jutawan kaum Mamak, yang minum di cawan dan makan di pinggan.

Berbalik kepada buku-buku "Karya Agung" Hamka yang kekal best-seller sehingga hari ini. Apa rahsianya?

Bagi saya rahsianya ada mudah saja -- Abuya Hamka menulis dari hati. Itu saja rahsianya.

Zaman remaja dahulu, pada zaman serba tak kena itu -- apakah psikologi remaja ketika itu. Remaja suka 'dibuai' dengan kekecewaan, putus asa, simpati. Ingati kembali lagu-lagu tahun 80-an, walaupun berlindung di sebalik 'Rock' tetapi ia jiwang dan membuai jiwa remaja dengan lagu-lagu kecewa, patah hati, mengutuk diri sendiri. Apatah lagi balada seperti nyanyian Siti Fairuz, "Bila Ku Rindu Aku Tersebut Namamu." Pakar segala pakar menulis lirik yang membuai jiwa remaja ialah Mama Juwie.

Zaman remaja dibuai dengan kisah cinta tak kesampaian. Itulah kisah cinta murni di dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Kedua-dua memaparkan kisah cinta tragis yang tidak kesampaian. Manakala Merantau Ke Deli pula mengisahkan tentang kegagalan 'Satu nakhoda dua kapal'.

Kita dapat membayangkan betapa berhati-hatinya Abuya Hamka mencoretkan, menggambarkan percintaan Zainuddin dan Hayati. Seandainya tidak berhati-hati jadilah ia seperti novel-novel cinta picisan "Boys meet Gilrs" (meminjam istilah Mbakyu Ainon Mohd) yang berlambak di pasaran hari ini (baca pangkal, tengah, hujung dah tahu keseluruhan cerita).

Seakan tidak ada lagi cinta murni semurni percintaan Zainuddin dan Hayati di zaman ini. Apabila membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck itu kita (atau saya) di bawa ke zaman yang cinta dianggap sebagai anugerah Allah yang begitu besar. Rasa cinta dan rindu ada dalam setiap insan remaja, dewasa, cuma suasananya kini berbeza, amat sukar atau hampir tidak ada percintaan seperti Zainuddin dan Hayati.

Yang asli juga yang dikehendaki. Sepatah kata penyanyi terkenal Louis Amstrong, "Betapa banyak lukisan Mona Lisa di luar, namun begitu ramai yang sanggup berbaris untuk melihat lukisan Mona Lisa yang asli." Betapa banyak sekali novel cinta di pasaran, namun mengapa novel cinta karya Abuya Hamka yang klasik ini masih berterusan dicari, dibaca berulang-ulang kali sehingga hari ini?

Dalam apa saja bidang, bukan saja penulisan, ingat hanya satu ayat ini, "Buat dari hati."

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Bagaimana anda menguruskan MAT, itulah yang menentukan hidup anda. MAT: Masa, Akal, Tenaga

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu