Robin Hood 2008
Posting pada:  30 Sep 2008 ( 1023 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Ditakdirkan, setelah anda berusaha gigih, anda menjadi kaya-raya, melimpah-ruah, berlebih-lebih wang anda, pada suatu hari kelak, anda hendak bersedekah jariah, berhati-hati. Bimbang nanti sedekah anda itu membawa keburukan.

Sekian lama Robin Hood menjadi ikon penderma yang budiman, tetapi sebenarnya caranya salah, menyebabkan malamatnya tak sampai.

Niatnya betul tetapi caranya salah menyebabkan matlamatnya tak kesampaian. Dalam bersedekah, ketiga-tiganya berjalan serentak: Niat mestilah betul, cara atau pelaksanaannya betul barulah matlamat tercapai.

Matlamat Robin Hood adalah hendak membantu orang miskin. Niat Robin Hood memang mulia. Tetapi caranya tidak betul iaitu merompak orang kaya yang tidak membayar cukai. Wang rompakan diberikan kepada orang miskin. Cara atau pelaksanaannya salah menyebabkan pencapaian matlamat pun terbabas.

Berhati-hati, jangan seperti Robin Hood. Jikalau hendak membantu, menderma, bersedekah -- niat, pelaksanaan, mestilah betul dan selari. Tersilap cara dan pelaksanaan, matlamatnya kelak tidak kesampaian, atau lebih teruk lagi jika ia membawa mudarat.

Seperkara lagi, selalu terjadi salah faham tentang sedekah jariah. Kita diajar, apa saja yang kita sedekahkan, selagi ia digunakan oleh orang ramai selagi itulah kita memperoleh pahala kebajikan. Itu yang diajar. Kita membina jambatan selagi jambatan itu digunakan orang selagi itulah kita memperoleh pahala. Kalau misalnya, Edison itu orang Islam, sampai hari ini beliau memperoleh pahala kerana mencipta filamen mentol.

Tetapi ada sedikit salah faham. Apabila menyebut tentang sedekah jariah, pahala kekal berpanjangan, hampir semua orang mengatakan mendirikan masjid adalah sebaik-baik pilihan. Memang betul sekali, tetapi selain mendirikan masjid ada banyak lagi sedekah jariah yang mengalirkan pahala kekal. Contohnya: mewakafkan tanah untuk perkuburan, sekolah (bukan sekadar sekolah agama dan tahfiz sahaja). Ada satu lagi yang telah diajar oleh sahabat saya iaitu bersedekah, membantu, sponsor pelajar tahfiz, InsyaAllah pahala akan berpanjangan dan kekal kerana pelajar tahfiz akan berterusan membaca dan kemudian mengajar orang lain menghafaz al-Quran -- sepanjang masa, mungkin dengan sedikit bantuan dari kita tadi, pembacaan al-Quran akan berterusan. Bukankah itu mendatangkan pahala yang berpanjangan?

Tetapi, sepanjang yang kita tahu jika bersedekah, amal jariah kerana mengharapkan pahala adalah perbuatan yang sia-sia. Seperti tidak ada keikhlasan -- memberi kerana mengharapkan pahala. Sebaik-baiknya lupakan tentang pahala dan balasan sebaliknya katakan sahaja, "Sebab Allah dah suruh."

Kisah yang akan saya ceritakan ini adalah dipadankan dari kisah benar dan mungkin akan atau telah berlaku di tempat anda sendiri, atau akan terus berlaku di mana-mana sahaja. Saya tidak perlu memberitahu di mana kisah ini berlaku. Anggap saja sebagai kisah umum.

Jarak antara Masjid India dengan Masjid Jamek memang dekat. Adalah disahkan, membina masjid berdekatan tidak dibenarkan dalam Islam kecuali bersebab. Sebab kedua-dua masjid tersebut dibina berdekatan mungkin berlainan mahzab. Hanya kemungkinan sahaja, tak semestinya saya betul. Mungkin Masjid India mengamalkan Mahzab Hambali, ada perbezaan sedikit dalam solat. Contohnya, azan solat Asar lebih lewat dari kita Mahzab Syafie. Duduk antara dua sujud bagi Mahzab Hambali mestilah secepat mungkin -- sekilas mata pedang.

Kemungkinan kedua adalah melimpah. Jemaah melimpah, penuh sesak terutama hari Jumaat kerana itu dibina satu lagi masjid.

Alkisahnya, ada seorang hartawan yang makan di pinggan, minum di cawan telah mewakafkan tanah yang bernilai berjuta ringgit. Ditambah dengan sejumlah jutaan ringgit lagi untuk membina masjid di atas tanah tersebut. Itu wasiatnya. Cuma masalahnya, masjid yang akan dibina itu berhampiran dengan masjid yang sedia ada. Lebih dari itu tidak ada sebab untuk membina satu lagi masjid yang berhampiran. Tambahan pula impak di belakang hari: memecah belahkan masyarakat. Kebaikan yang yang diniatkan, keburukan penghasilan matlamatnya, kerana cara dan pelaksanaan yang tersilap. Seperti Robin Hood.

Mengapa hanya fokus kepada masjid? Tidak ada salahnya. Tetapi jikalau saya yang dikurniakan harta dan 'hati emas' begitu, wasiat saya akan menjadi begini: "Tanah seluas sekian-sekian di sekian-sekian, lot nombor sekian-sekian, ditambah dengan wang sejumlah sekian-sekian hendaklah digunakan untuk mendirikan masjid di kawasan yang MEMERLUKAN masjid. Dengan kata lain, jika perlu tanah tersebut hendaklah dijual, hasil penjualan tanah tersebut ditambah dengan jumlah wang peruntukan hendaklah digunakan untuk membina masjid yang sangat diperlukan, misalnya di Kemboja, Selatan Thai, atau di mana-mana di muka bumi malaysia yang MEMERLUKAN masjid."

Tapi beliau bukan saya. Kini masjid tersebut telah terbina. Dan ia berhampiran dengan masjid yang lama yang masih lapang selapang-lapangnya. Kedua-duanya berjalan serentak. Kedua-duanya telah digunakan untuk sembahyang Jumaat, terawih, Hari Raya. Jemaah sekarang terbahagi dua. Impak jangka panjang pula?

Sudah seperti kedai pula. Masjid baru mahu menarik lebih ramai 'pelanggan'. Papan tanda, banner, bunting digantung di sana-sini untuk menarik 'pelanggan' dan seperti menggalakkan orang ramai 'meninggalkan' masjid lama berhijran ke masjid baru.

Sekarang, fikirkan sendiri kaitan antara NIAT, CARA PELAKSANAAN dan PENCAPAIAN MATLAMAT. Kita hendaklah belajar dari kesilapan Robin Hood.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Mengapa, kalau ia percuma, tidak dihargai?

» Kang Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu