Rumah api dah sepi...
Posting pada:  29 Sep 2008 ( 1076 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Apabila sampai masanya datang, ia tetap datang. Lusa, Hari Raya. Ia datang lagi dan terus datang sehingga hari kiamat. Datang tetap datang, yang membezakannya ialah suasana dan sambutannya.

Sesungguhnya, suasana dan sambutannya itu adalah bergantung kepada perasaan dan fokus kita. Semakin kita menanti-nantikannya semakin kita excited, semakin seronok. Tapi, berapa ramai yang menantikan Hari Raya? Dan berapa ramai pula yang sudah menganggap Hari Raya tak ubah seperti hari biasa. Bahkan sudah ramai yang mengatakan, "Puasa sebenarnya yang menyebabkan Hari Raya itu masih menyeronokkan." Bayangkan Hari Raya tanpa didahului dengan puasa selama 30 hari?

Persamaannya? Jikalau kita menanti-nantikan ketibaan Ramadan, sepanjang kita menjalani ibadan puasa begitu berbeza nikmatnya. Kita pecahkan lagi -- bagaimana perasaan anda apabila sampai waktu berbuka puasa? Mengapa ada perasaan keriangan itu selain ia adalah anugerah Allah SWT? Kerana ia dinanti-nantikan terutama semasa usia kanak-kanak. Ia menjadi fokus. Kita membayangkan nikmat dapat minuman dan makanan sesudah berlapar dahaga selama lebih kurang 14 jam. Waktu gegembiraan orang yang berpuasa ada 3: apabila berbuka puasa, apabila tiba Hari Raya, apabila bertemu Allah SWT kelak. Jikalau kita tidak mengalami 2 waktu kegembiraan yang awal itu, pasti ada yang tidak kena dengan puasa kita. Adakah benar kita berpuasa atau berpuasa sekadar ritual?

Banyak pengajaran yang boleh kita peroleh. Seandainya sesuatu itu tidak dinantikan, tidak mengujakan (bahasa apa lah ni.. ) kita tidak akan beria-ia untuk mendapatkannya. Kita tidak akan fokus kepada apa yang dikehendaki. Semestinya kita mengisi keghairahan terhadap apa yang kita kehendaki barulah nanti mendatangkan fokus. Kita mendapat apa yang menjadi fokus.

Suasana sudah mula lengang. Rumah api dah sepi. Portal Komuniti Ukhwah.com yang saya asaskan 5 tahun lalu pun sudah mula sepi, tidak seperti hari-hari biasa yang bagaikan pasar borong. Laman web RazziArmansur.com pun dah mula kurang pengunjung. Ini saya lihat dari statistik harian. Jangan kedekut dengan ilmu. Saya tahu ramai taiko-taiko yang masuk ke dalam ini mendapatkan panduan dan ilmu. Syukurlah jika itu yang terjadi kerana cita-cita saya hendak menjadi seperti Mbakyu Ainon Mohd hampir tercapai -- saban hari menyampaikan ilmu. Ilmu bukan milik kita, jadi mengapa kedekut? Ilmu milik Allah SWT, kita hanya menyampaikan sahaja melalui mulut atau jari, atau kedua-duanya. Tapi saya lebih selesa menggunakan jari.

Mengapa "Rumah api dah sepi"? Teringat suatu masa dulu, sekitar tahun 1998, 1999 selalu 'chatting' di laman yang menggunakan java chat. Seorang kenalan menggunakan nickname, "Rumah api dah sepi," pada suatu malam merujuk kepada logo browser yang popular pada masa itu dan kini: Netscape. Saya rasa begitu setia dengan Netscape kerana sehingga kini saya masih menggunakan Netscape.

Maksud sahabat tadi ialah, sudah sepi, kebanyakan chatter sudah balik kampung tidak memasuki laman chating tersebut. Rumah api sudah sepi. Sama seperti keadaan sekarang, sudah sepi, ramai yang sudah meninggalkan Kuala Lumpur.

Chat pun nampaknya mengalami evolusi. Mula-mula dahulu parachat atau selalu disebut java chat. Selepas itu seluruh dunia mabuk IRC (Internet Relay Chat). Kemudian, IRC semakin sepi dan kini lebih ramai menggunakan YM untuk berinteraksi.

Pernah dengar AnjungCafe.com? Itulah contoh javachat. Anjungcafe.com wujud sejak tahun 1996. Pada masa itu menggunakan java chat. AnjungCafe masih kukuh sehingga kini. Begitu juga dengan Kampungchat.com yang terus bertahan sehingga kini. Pada masa itu saya gemar 'lepak' di Warung Atok yang juga menggunakan javachat (Takkan jawa hilang di dunia )

Jadi, kesimpulannya: semakin kita berasa seronok, ghairah, semakin kita memfokus kepada matlamat. Sejak dari zaman purba, sudah disahkan, kita mendapat apa yang menjadi fokus.

Bahkan buku "Rahsia Ajaib untuk Berjaya" adalah mengenai pentingnya dan cara sebenar memfokus.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Walau ribut dan taufan melanda, matahari masih kekal di tempatnya

» Dari filem 'Ah Long Pte Ltd' «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu