Rahsia jutawan di malam Ramadhan
Posting pada:  27 Sep 2008 ( 1369 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Semakin seseorang itu mengatakan tentang sesuatu, semakin ia tidak terlibat, tidak mempunyai. Tidak semua, sebahagian besarnya, begitulah. Contoh mudah: orang yang paling banyak bertanya tentang royalti buku, sampai sekarang belum lagi menulis buku. Orang yang sibuk dan bising nak beristeri dua sampai sudah tidak pernah menyempurnakan hasratnya itu. Yang senyap tiba-tiba sudah berpoligami.

Contoh paling mudah: orang yang selalu bercerita tentang duit, orang itu selalu tidak cukup duit, selalu sesak. Orang yang bercakap tentang jutawan, selalunya bukan jutawan dan mungkin juga tidak tahu berapa digit angka jutawan. Contohnya saya sendiri. Saya selalu bercakap tentang jutawan tetapi masih terlalu jauh untuk menjadi jutawan. Cuma untungnya saya ialah, kebanyakan buku yang saya tulis adalah kisah orang lain, kisah orang yang sememangnya jutawan, saya interview dan dijadikan buku. Bukan kisah saya. Saya pentingkan fakta mereka. Di dalam buku, yang paling penting ialah fakta, bukan penglipurlara.

Yang paling pasti, yang tak pernah bercerita pasal duit, pasal jutawan itulah jutawan sebenar, ini kerana jutawan tidak boleh dilihat pada tulisan atau cakap-cakap sebaliknya pada kehidupan yang empunya diri. Watak, perawakan, cahaya muka, gaya hidup adalah berbeza. Bukan pada usaha sahaja, bahkan pada hasil. Bukan pada aset sahaja tetapi mesti tahu dengan tepat liabiliti. Kalau aset RM1 juta, tetapi liabiliti RM900,000, jutawankah? Itulah pentingnya belajar dari fakta bukan belajar dari 'Tok selampit' pakar penglipurlara. Atau berasaskan semangat semata-mata.

Setiap tahun saya bersolat terawih bersama sekurang-kurangnya 2 orang jutawan. Saya tahu mereka adalah jutawan sejak dahulu lagi. Dan saya perhatikan, betapa 'simple'nya mereka. Malam tadi saya bertanya, "Mana kereta Dato'?" Beliau menjawab dengan selamba, "Parking sana, tepi tong sampah. Sat nak pi tengok masjid baru. Sat noo..." Katanya dalam loghat Utara.

Tahun lepas beliau merungut, keluar dari saf pertama, ke belakang. "Awat Dato'?" Saya bertanya. "Penin pala... entah apa minyak wangi orang itu pakai, saya penin." Saya sengih.

Beliau ialah Dato' Mohd Nor Azam. Nak dikata siapa? Saya tak tahu, banyak sangat 'bekas' atau kalau ikut bahasa Indon ialah 'mantan'. Bekas setiausaha akhbar Perdana Menteri, bekas pengerusi bank UMBC, bekas pengerusi TV3. Yang pasti ialah bekas jutawan kerana beliau kini sebenarnya 'multi-jutawan'. Sebagaimana biasa, beliau tidak pernah bercakap tentang wang dan jutawan sebaliknya suka bercerita tentang sejarah. "Saya teringin hendak menulis buku tentang sejarah Malaysia yang sebenar." Nak membaca tulisan beliau? Cari buku klasik "Aku Di Sebuah Pulau" terbitan DBP, kemudian baca bab "Hidup Ini Susah." Itulah tulisan beliau yang memenangi hadiah semasa mengajar dahulu. Dr. Bibah dalam cerita tersebut adalah isteri beliau sekarang, sudah berpuluh tahun berumah tangga.

Apa yang menarik sangat ialah, beliau tidak pernah membezakan pergaulan. Dengan siapa pun di buat sama rata, sama baik. Beliau tidak menunggu huluran tangan sebaliknya lebih kerap menghulurkan tangan terlebih dahulu untuk bersalam. Jika diperhatikan, selalunya manusia yang berasa tinggi martabatnya dari manusia lain enggan atau terpaksa hipokrit dalam bergaul dengan orang-orang yang dirasakan lebih rendah martabatnya. Tapi berbeza dengan Dato Mohd Nor Azam, multi-jutawan ini. Beliau boleh bergaul dengan siapa pun. Beliau mesra dengan semua orang. Beliau boleh duduk bersembang di warung. Beliau kenal hampir dengan semua orang. Ayat lazim setiap tahun, "Ni, hari Ahad ni mai rumah, ada buat makan-makan sikit." Itu jemputan beliau merujuk kepada "rumah terbuka Hari Raya."

Saya masih gagal untuk mendapat rahsia bagaimana beliau menjadi jutawan. Jawapan beliau sangat simple, "Tak dak rahsia apa..."

Jikalau anda pernah membaca "100 Richest Man in Malaysia," anda akan menemui seorang Islam yang pada masa itu dikhabarkan hartanya lingkungan RM300 juta. Namanya Haji Arif. Sudah lama bertegur sapa, bersalam, tetapi belum pernah berkesempatan hendak bertanya akan rahsia jutawan beliau.

Orangnya sangat simple. Selalunya begitulah. Yang melebih-lebih yang mabuk publisiti hanyalah 'cendawan' bukan jutawan.

Maka, pada suatu malam Ramadan, 3 malam lepas saya berkesempatan berjabat tangan dan bertanya apa yang saya teringin benar hendak tanya selama ini -- Rahsia jutawan.

Sebelum itu, beberapa malam sebelumnya kerap menegur beliau, "Apa khabar jutawan bertaqwa." Jawaban beliau sangat simple, "Ko ni..."

Suatu malam, sesudah selesai solat terawih, saya menunggu beliau di luar pintu. "Jutawan bertaqwa, sudah? Buat lapan saja?" Beliau menjawab, "Ko ni... tak sudah-sudah... Ini bukan siap, tapi ikut sunah, buat lapan dalam masjid, lebihnya sambung di rumah."

Saya memberanikan diri, "Tuan Haji jutawan bertaqwa, I dont want your money, I want your secret." Sengih. Beliau menjawab, "What secret. No secret at all. Mana ada rahsia apa." Senyum memanjang Haji Arif.

"Saya hendak sama 100 peratus seperti Tuan Haji. Kaya-raya, sihat, segak dan bertaqwa." Ada unsur-unsur mengampu.

"Ko ni..." Sambil meletakkan tangan di belakang leher saya dan mencekik.

"Tolong, saya sangat perlukan rahsia Tuan Haji."

"Tak ada apa rahsia. Ko nak apa?"

"Saya perlukan rahsia jutawan." Mesti dinyatakan dengan tepat sama ada keinginan atau keperluan.

Haji Arif sengih dan menjawab, "Dekat dengan Allah. Itu saja."

"Sudah, saya dah buat." Saya menjawab.

"Sudah? Alhamdulillah." Kata Haji Arif.

"Astaghfirlah...." Saya berightifar segera kerana perasan sudah dekat dengan Allah SWT, walhal jauhnya berjuta-juta tahun.

"Itu saja rahsianya. Dekat dengan Allah. Kamu akan memperoleh berbagai-bagai kekayaan di dunia dan akhirat. Siapa yang bagi kekayaan kalau bukan Allah. Bolehkah kita mendapat, kalau kita jauh dengan Allah?'" Haji Arif menyoal.

Saya diam sahaja, kerana itulah mutiara dan rahsia jutawan yang amat berharga dari seorang multi-jutawan. Dekat dengan Allah, rahsia segala rahsia.

"Beginilah," Kata Haji Arif sambil sekali lagi mecekik belakang leher saya. "Datang ke sekolah pengajian Darul Taalim. Saya ada di situ setiap hari. Tapi kamu kena bawa satu proposal ringkas, satu helai pun tak apa tentang bisnes apa yang kamu nak buat dan apa kamu nak buat dengan duit satu juta. Saya nak tengok sejauh mana pemikiran kamu."

Boleh sangat. InsyaAllah saya akan berkunjung ke Darul Taalim untuk membawa kertas cadangan tersebut.

Dari situ jika difikirkan, sudah mendapat satu lagi rahsia penting: Kebanyakan jutawan, multi-jutawan sebenar tidak pernah 'membina kewangan' sebaliknya 'membina bisnes'. Motif mereka adalah menbina bisnes dan bisnes tersebut dapat membantu manusia (salah satu cabang mendekatkan diri pada Allah -- membantu manusia). Bahkan sebahagian besarnya tidak pernah bercita-cita menjadi jutawan. Cita-cita mereka menjadi usahawan yang berjaya, mempunyai bisnes yang berjaya dan memberi faedah kepada seramai mungkin manusia. Mereka bercita-cita menjadi 'matahari' yang memberi sinar kepada seramai manusia.

Buktikan sendiri -- jikalau kita bercita-cita untuk menjadi jutawan, kemungkinan besar kita akan berusaha 'membina kewangan', 'mengejar wang'. Sejak zaman dulu lagi tidak ada orang yang berjaya apabila 'membina kewangan'. Dari zaman purba sudah berbilion manusia yang tersungkur akibat 'mengejar wang'. Buka mata, buka telinga, buka mulut (hanya untuk bertanya, bukan memandai), untuk membuktikan bahawa mereka yang telah berjaya menjadi jutawan, multi-jutawan adalah mereka yang tidak pernah bercita-cita menjadi jutawan sebaliknya bercita-cita menjadi 'matahari' melalaui bisnes. Buktikan sendiri.

Ramadan ini, saya mendapat rahsia yang paling besar untuk menjadi jutawan di dunia dan akhirat. Bukan hanya untuk menjadi jutawan di dunia dan akhirat, bahkan itu sebenarnya kemestian. Kita orang Islam, mesti dekat dengan Allah SWT, bukan jauh dari Allah SWT. Bukan mudah tetapi tidak mustahil. Peluang untuk dekat dengan Allah SWT sentiasa terbuka.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Saya tak menjual jam sebaliknya yang menjual kemewahan

» Pengerusi Rolex «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu