Abang Leman tumbang
Posting pada:  22 Sep 2008 ( 1093 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: "Sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita..." Itu lirik lagu "Suratan Atau Kebetulan" nyanyian Kenny, Remmy dan Martin yang amat popular pada tahun 1986 hinggalah kini. Ada kebenarannya dan ada kaitannya dengan Abang Leman. Sengaja saya sebut Abang Leman supaya mudah diingat dan dikaitkan dengan Lehman Brothers.

Yang tak diduga dan disangka memang selalu terjadi. Kita sangkakan begini, begitu yang mendatang. Kita jangkakan A, yang datang B.

Kita baru saja dikejutkan dengan kejatuhan Lehman Brothers, "financial house" atau "investment bank" yang bukan berusia 15 tahun tetapi sudah berusia 158 tahun dan telah pun menjadi sebahagian dari sejarah. Lehman Brothers jatuh bankrap. Seluruh dunia terkejut dan tergempar. Mengapa? Kerana ia Made in America. Kalau ia di Afrika atau di Malaysia tanah airku tercinta ini, tidak akan ada sesiapa terkejut.

Kita pun tidak tahu mengapa ekonomi dunia dikaitkan dengan ekonomi Amerika. Tapi benarkah? Dulu mungkin ya tetapi kini rasanya tidak. Negara-negara Eropah, Asia buat tak tahu dengan ekonomi Amerika. Nampaknya hanya kita yang beria-ia mengatakan ekonomi Malaysia ada kaitan langsung dengan Amerika. Mungkinkah kita tak pandai mengurus ekonomi lalu kita mengaitkan masalah ekonomi di Malaysia dengan ekonomi Amerika. Yang paling pelik sekali, diri sendiri tak tahu hendak menguruskan ekonomi lalu dilepaskan beban dan dikata bahawa DSAI punca masalah ekonomi Malaysia. Kelakar tak? Siapa yang hendak diperbodohkan?

Seterusnya bukan saja Lehman Brothers yang tumbang; Meryll Lynch pun gegar dan mungkin bankrap. Begitu juga dengan AIA dan AIG, gergasi dalam bidang insurans.

Ramai yang berkata begini, "Daripada menghabiskan trilion atau bilion USD untuk perang dan menyerang negara yang tak berdosa, lebih baik Bush gunakan untuk menyelamatkan ekonomi negaranya." Sampai sekarang orang tertanya-tanya, "Kenapa Bush serang negara luar?" Kenapa? Apa sebabnya? Dan sebagaimana biasa kita tertanya-tanya, "Mana perginya Osama ben Laden? Wujud ke tidak dia ni?" Yang pasti, beramai mengatakan: Amerika dah kena karma, ia menghancurkan negara orang, kini ekonomi negara dia hampir lumpuh. Tak lama lagi lumpuh.

Kita mencari pengajaran di sebalik tumbangnya syarikat kewangan gergasi yang sudah menjadi sebahagian dari sejarah. Pengajarannya mudah: Tidak ada istilah stabil di muka bumi ini. Jangan sekali-kali menganggap bisnes dan kehidupan diri sudah stabil. Jikalau menganggap stabil, tunggulah kehancurannya. Apabila menganggap stabil akan terhenti dan tertinggal.

Apabila mula perasan stabil, selalu ingat Abang Leman atau Lehman Brothers. Alangkah yang telah kukuh dan stabil pun boleh tumbang, inikan pula saya yang masih terlalu baru. Ingat begitu sentiasa.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Orang yang bodoh itu semakin bodoh kalau dia tidak tahu menjaga dan mengawal kebodohannya.

» MSO: Mohd Sayuti Omar «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu