Bubur lambuk untuk Raja
Posting pada:  15 Sep 2008 ( 1209 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sehari, lebih 5,000 bungkus bubur lambuk diedarkan secara percuma di Masjid Kg Baru, Kuala Lumpur setiap hari, sepanjang bulan Ramadan. Satu jumlah yang terlalu banyak. Semoga mereka yang bersedekah wang dan bahan-bahan untuk membuat bubur lambuk itu semakin bertambah berkat dan memperoleh pahala berganda-ganda.


Mereka berbaris di dalam dan di luar masjid untuk mendapatkan Bubur Lambuk Masjid Kg Baru. Dari dalam, mereka yang selesai solat Asar, dari luar, mereka yang tidak sempat solat berjemaah.

Saya kurang minat dengan bubur lambuk, tetapi pada suatu hari, saya ke Masjid Kg Baru setelah sekian lama mendengar perkhabaran bahawa setiap petang manusia berbaris panjang untuk mendapatkan bubur lambuk. Tujuan saya untuk melihat sendiri akan perkhabaran itu. Kalau saya suka bubur lambuk, saya boleh mengambilnya setiap petang dari Masjid Al-Ghufran yang amat mewah itu -- anggaran untuk belanja berbuka puasa dan makan-makan selepas terawih sebanyak RM2,600 sehari! Wow!!

Memang selama ini mengambil bubur lambuk dari Masjid Al-Ghufran atau At-Taqwa, bukan untuk dimakan tetapi untuk dibahagi-bahagikan kepada jiran-jiran.

Sampai di masjid Kampung Baru, saya memberi tahu anak bongsu saya yang sentiasa mengikut saja ke mana saya pergi, "Di sinilah dulu, 10 tahun dulu, abah sama-sama berhimpun buat demo Reformasi. Di sinilah abah kena belasah dan dikejar. Di sinilah abah melihat kawan-kawan kena belasah. Selepas Sogo, solat Maghrib di sini dan di sinilah tempat berhimpun." Masih terngiang-ngiang lagi bergema laungan "Reformasi!" di jalan besar di hadapan masjid bersejarah ini.

Memang tepat sebagaimana yang didengar selama ini. Cuma yang tidak benar ialah orang beratur sejak dari pukul 2 petang. Itu tidak benar kerana pembahagian bubur lambuk bermula selepas solat Asar.

Buat pertama kalinya, saya merasai Bubur Lambuk Masjid Kampung Baru. Memang sedap dan berbeza. Sambil makan sambil mendoakan semoga mereka yang menyediakan bubur tersebut mendapat rahmat dan pahala berganda dari Allah SWT.

Tidak jauh dari masjid tersebut ternampak pembahagian bubur lambuk percuma. Satu di Kampung Baru dan satu lagi berhampiran Pasar Chow Kit. Dalam hati terus memohon pada Allah SWT semoga suatu hari nanti saya atau rakan-rakan saya akan memberi seperti itu. Bahkan semoga hati kita sentiasa terbuka untuk menjadi manusia yang memberi, bukan hanya menerima.

Apa yang diperoleh dari kisah bubur lambuk Masjid Kampung Baru itu? Ada pengajarannya yang boleh dikaitkan dengan bisnes: "Apabila nama telah kukuh, menderulah orang untuk mendapatkan." Nama yang kukuh itu dikaitkan dengan nama yang terkenal. Untuk membina nama bukan sekejap. Ia memakan masa. Bukan baru tahun lepas Bubur Lambuk Masjid Kampung Baru diperkenalkan. Ia sudah terlalu lama dan telah menjadi tradisi. Ia telah mencipta jenama atau 'branding'.

Walau apapun produk anda, suatu hari ia boleh menjadi terkenal dan laris apabila ia sudah lama berada di pasaran -- sudah mencipta jenama atau 'branding'. Namun, sepanjang masa anda mesti ingat kepada Bubur Lambuk Masjid Kampung Baru. Hanya yang terbaik dan berkualiti sahaja akan mencipta nama dan 'branding'. Jangan sampai 'Raja' tertipu. Siapakah 'Raja'? Mereka adalah pengguna. Jika produk kita tidak sebaik mungkin, tidak berkualiti, 'Raja' akan tertipu dan produk atau servis kita tidak akan terkenal atau 'branding'.

Ia mestilah dalam satu pakej barulah boleh terkenal. Bubur Lambuk Masjid Kampung Baru datang dalam satu pakej: sedap, bahkan luar biasa, berkualiti tinggi menggunakan bahan berkualiti dan dimasak dengan kepakaran, menggunakan resipi turun-temurun. Dengan pakej tersebut, barulah boleh terkenal.

Bayangkan kalau produk kita tidak seperti Bubur Lambuk Masjid Kampung Baru. 'Raja' berasa tertipu bahkan marah. Sudah pasti produk tersebut bukan saja tidak terkenal bahkan dibenci dan diburuk-burukkan. Satu 'Raja' yang berpuas hati akan menarik 10 lagi 'Raja'. Satu 'Raja' yang tidak berpuas hati akan menolak 10 lagi 'Raja'.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Ubah kesengsaraan jadi kekuatan

» Dari filem New Police Story «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu