Saya suka buku ini: RAHSIA BISNES MAMAK
Posting pada:  13 Sep 2008 ( 1926 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sekarang ini, apabila disebut bisnes mamak, apa yang terbayang di fikiran? Apa 'branding' untuk bisnes kaum mamak? Restoran! Itulah yang terpancar di fikiran: restoran yang menghidangkan roti canai, teh tarik dan masakan mamak. Begitu 'branding' atau 'positioning' hingga suatu masa dulu seorang wartawan menulis, "Apalah Malaysia tanpa teh tarik dan roti canai."


Klik di sini untuk lebih lanjut >>

Mengapa ia 'branding' begitu? Kerana ia sudah lama, bahkan sejak dari tahun 60-an lagi. Contohnya, Restoran Tawaqal yang saya jadikan setting untuk buku "Rahsia Ajaib Untuk Berjaya" di Banting sudah mula beroperasi sejak 1964. Saingannya adalah, Restoran Tawaqal diambil alih oleh anak-anak dan cucu pengasas, namun agak mengecewakan kerana kebanyakan resipinya berubah. Rojak Banting yang unik dan istimewa itu tidak lagi sama rasanya.

Akan tetapi, Cendol Banting yang juga diasaskan pada tahun 60-an dahulu oleh kaum Mamak masih kekal rasanya walaupun yang original tidak ada lagi. Yang original ialah terselit di kaki lima di depan kedai buku Selamat Store dan satu lagi di kedai kain depan pasar lama. Menjadi kewajipan bagi mereka yang turun ke Banting untuk menghirup cendol mamak atau Cendol Banting itu, pada sekitar tahun 60-an hingga 80-an.

Namun sebenarnya, galaknya Restoran Mamak hanyalah sejak akhir-akhir ini. Sana-sini restoran mamak. Ia terjadi sejak dari pertengahan 90-an. Sebelum ini memang banyak restoran mamak tetapi ia benar-benar menonjol dan besar-besar belaka sejak dari tahun 90-an itu. Lebih menonjol lagi apabila salah satu restoran tersebut telah disenaraikan di BSKL sebagai lambang atau pembuka laluan bahawa Restoran Mamak telah memasuki era baru.

Bisnes kaum Mamak ada pelbagai dan kebanyakannya sudah sama tua dengan sejarah Malaysia. Namum yang lebih menonjol ialah bisnes restoran kerana ia merata.

Bisnes mamak pertama yang saya kenal ialah Barkath Store, berpengkalan di Pulau Pinang. Bisnes kumpulan ini adaah pengimport dan pengedar. Gula-gula Hacks, minuman Sunquick (yang juga sudah setua sejarah) adalah produk awal edaran kumpulan ini.

Selang di antaranya ialah syarikat penerbitan dan juga percetakan bernama Sinaran Bros. (slogannya: Tak kunjung padam) yang juga berpengkalan di Pulau Pinang. Karya pertama Datuk Lat berjudul "Tiga Sekawan" diterbitkan oleh Sinaran Bros. pada tahun 1964.

Menyebut tentang buku dan majalah, nampaknya kita mesti mengakui bahawa pengedaran buku dan majalah di Malaysia ini telah lama diterokai dan dikuasai oleh kaum mamak. Ini salah satu bisnes mamak yang telah bertapak sejak sekian lama. Nama-nama terkenal seperti Crescent News, S.A. Abdul Majid, Mehraj Agency dan suatu masa dahulu Mentakab Agency, sudah lama bertapak dalam bidang pengedaran buku dan majalah.

Kenal dengan Tan Sri SOK Ubaidullah? Beliau juga adalah pelopor bisnes mamak. Bisnes beliau ialah pelancongan dan perjalanan. Belaiu menjadi multi-jutawan dengan menjalankan bisnes tersebut sejak berpuluh tahun dahulu. Yang membantu beliau menjadi jutawan adalah pelaburan tanah di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Suatu hari beliau berkata, "Penduduk bertambah sekali ganda setiap 30 tahun, tetapi tanah tak bertambah." Ubaidullah juga membuka rahsia bisnes beliau yang rasanya digunapakai oleh usahawan-usahawan mamak, "Mendalam bukan melebar."

Jadi apakah rahsia bisnes kaum mamak ini? Kalau restoran rahsianya mudah saja iaitu servis. Orang boleh lupakan harga tetapi tidak boleh lupakan servis. Hampir 'secepat kilat' pesanan kita boleh sampai di depan mata. Bandingkan dengan restoran tomyam yang kadang-kadang mengambil masa 1/2 jam untuk minuman botol sampai di depan mata.

Bagaimana ia boleh terjadi? Kerana ramainya pekerja. Saya pernah bertanya kepada pengusaha restoran Melayu mengapa servisnya lambat sekali. Jawapannya mudah: "Tak ada pekerja." "Mengapa tak ada pekerja." "Tak mampu nak bayar gaji."

Ia sama saja dengan teka-teki sepanjang zaman "Telur atau ayam terlebih dahulu?" Dari mana datangnya gaji? Dari jualan. Dari mana datangnya jualan? Dari pengunjung yang ramai. Bolehkah pengunjung datang kalau servisnya teruk? Bagaimana supaya servis pantas dan bagus? Pekerja yang ramai. Dari mana dapat membayar gaji? Dari jualan yang banyak berterusan kerana servis yang bagus bersebab dari pekerja yang ramai. Jadi, bukan fikirkan "Tak mampu hendak membayar gaji" sebaliknya fikirkan, "Bagaimana menambah dan melariskan jualan."

Jadi, sekali lagi, apa sebenarnya rahsia bisnes mamak? Jika anda serius hendak mengetahuinya kerana anda akan memulakan atau meneruskan bisnes, semestinya anda mendapatkan buku RAHSIA BISNES MAMAK karya penulis terkenal Zamri Mohamad bersama rakannya Muhammad Faisal Sharbudin. Di dalam buku ini anda akan menemui pelbagai rahsia kejayaan bisnes kaum mamak. Anda boleh menggunakan rahsia tersebut dengan segera untuk memulakan dan meneruskan bisnes anda.

Saya suka penulisan Zamri Mohamad. Beliau menulis berdasarkan kajian bukan berasaskan dengar-dengar dan menceduk di sana sini. Penulisan beliau tidak menipu pembaca sebaliknya memandaikan pembaca. Bagaimana yang dikatakan 'menipu pembaca'? Ingat perkataan ini: Hampas atau habuk. Menulis buku dengan mencilok menceduk di sana sini, bukan berdasarkan kajian sendiri kemudian dengan bangganya mengatakan ia adalah idea dan kajiannya sendiri di dalam dan luar negara. Selepas itu tulisan yang penuh dengan 'habuk', untuk melakukan terpaksa mencari publisiti yang memualkan. Pembaca tertipu dengan publisiti dan membeli 'habuk' tersebut.

Sudah tentu berbeza dengan buku-buku karya Zamri Mohamad yang ditulis berdasarkan kajian mendalam. Anda mesti mendapatkan buku ini sekarang kerana anda tidak akan mendapat 'habuk', sebaliknya ilmu yang sangat berharga.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Mengapa, kalau ia percuma, tidak dihargai?

» Kang Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu