Tindakan berkata benar. Tindakan tak pandai berbohong
Posting pada:  09 Sep 2008 ( 1082 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Melalui kata-kata, seseorang boleh berbohong. Tetapi tindakan tidak boleh dan tidak pernah berbohong. Dalam berkata-kata, seseorang boleh berbohong dengan mengatakan "ya" jikalau "tidak" atau "menafikan" jikalau "benar."

Sejarah manusia penuh dengan pembohongan, penipuan, tetapi tindakan akan membuktikan bahawa ia bohong atau penipuan atau kebenaran. Tindakan sentiasa benar. Tindakan sentiasa selari dengan kebenaran. Contoh mudah: Jikalau dia menafikan mencuri ayam, tetapi tindakannya menggelabah, matanya memandang lain, anggota badannya bergerak atau sedang terlihat dia menjinjing ayam, maka tindakan itu mengiyakan, atau menolak pembohongannya.

Apabila DSAI menggunakan strategi tertentu atau mengatakan tentang peralihan kuasa atau kerajaan baru mulai pada 16 September 2008 yang sangat dinanti-nantikan, maka dari hulu ke hilir, timur ke barat, utara ke selatan, ramai puak-puak yang menafikan mengatakan ia sebagai dongeng. Ketuanya, pemudanya, pemudinya, medianya mengatakan "Tidak" dan "menafikan." Adakah ia kata-kata benar? Adakah ia benar-benar "tidak"? Adakah ia benar-benar "Tidak akan terjadi"?

Dengan mudah kita boleh mengetahui sama ada ia pembohongan atau kata-kata benar. Adakah ia benar-benar "Tidak" atau "Ya". Adakah penyebutan "Tidak" itu untuk menutupi, "Ya"? Kita lihat pada tindakannya. Kalau ia bukan pembohongan, kita lihat tindakannya kerana tindakan tidak pernah berbohong.

Tindakan yang amat pelik ialah membawa 41 Ahli Parlimen ke negara Taiwan atas alasan belajar pertanian di negara yang bukan negara pertanian. Lawatan sambil belajar kononnya, di bulan puasa sehingga melepasi tarikh keramat 16 September 2008. Maka, manusia yang paling bodoh sekali pun tahu bahawa "tindakan sentiasa benar". Tindakan membawa keluar negara Ahli Parlimen tersebut adalah bukti pembohongan pada kata-kata "tidak" dan "penafian." Kalau benar "tidak" apa perlunya tergesa-gesa ke luar negara itu? Logikkah MP yang tidak ada kena mengena dengan porfolio pertanian itu ke Taiwan yang bukan negara pertanian, belajar tentang pertanian? Siapa agaknya yang hendak diperbodohkan?

Kalau benar kerajaan baru tidak akan terjadi, apa perlunya tindakan tersebut? Kalau benar tidak terjadi pastinya tidak akan ada tindakan tergesa-gesa itu. Kalau benar ia "tidak" tentulah tidak akan ada "Aku janji" dan lawatan sambil belajar ke Taiwan yang agak pelik itu. Tindakan sentiasa betul. Tindakan tidak pernah berbohong.

Kita terkejut dalam pelik apabila sekali lagi salah seorang mengatakan, "Lawatan ini adalah atas pembiayaan sendiri." Wow!

Musim banjir, ribut, harga barang melambung, musim tak tentu arah, bukankah lebih baik digunakan kesempatan yang ada untuk mendekati rakyat? Lihat sendiri penderitaan rakyat, bukan melancong ke Taiwan.

Manusia boleh ditipu dengan kata-kata tetapi manusia tidak boleh ditipu dengan tindakan.

Lagi satu: mengapa riuh rendah mengatakan, "Tidak boleh membentuk kerajaan baru." Seolah-olah negara ini adalah negara yang tidak demokrasi. Siapa yang mengatakan tak boleh? Siapa yang berkuasa di dalam negara demokrasi? Rakyat! Mengapa ada yang menghalang? Adakah memilih kerajaan baru merupakan satu kesalahan undang-undang? Kuasa rakyat tidak boleh dihalang. Ia sama dengan kedai yang bersebelahan. Kalau pelanggan sudah tidak suka dengan kedai di sebelah, mereka akan pergi ke kedai sebelah lagi. Siapa yang boleh menghalang? Bahkan kerana pelangganlah wujudnya kedai-kedai tersebut. Suka hati pelanggan nak berbelanja di kedai mana sekali pun.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu bagi dirimu sendiri. (Al-Isra : 7)

» Firman Allah «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu