Baru kini mendapat istilah yang tepat
Posting pada:  07 Sep 2008 ( 1069 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sejak dari kecil lagi mendengar perkataan, "Kerana Allah." Namun saya (bukan orang lain) masih kabur lagi makna yang tepat untuknya.

Saya bertanya kepada mereka yang tahu. Jawapannya hampir tepat, "Buat hanya kerana Allah, bukan kerana orang lain." Ia masih tetap kabur (bagi saya). Saya hendakkan jawapan yang paling pasti. Bila melakukan sesuatu, "Mesti kerana Allah," saya hendakkan bagaimana sebenarnya cara yang tepat "mesti kerana Allah." Adakah perkataan "kerana" itu mesti diganti dengan "sebab"? Kerana dan sebab hampir sama maknanya.

Satu demi satu saya memperoleh makna yang tepat atau hampir tepat. Sebagai contohnya perkataan taqwa yang selalu sangat disama ertikan dengan takut. "Taqwa kepada Allah SWT" adakah bersamaan dengan "Takut kepada Allah SWT"? Tentu tidak sama sekali. Takut adalah takut, taqwa adalah taqwa. Akhirnya pada suatu hari saya mendapat jawapan yang tepat, apabila mendengar makna sebenarnya melalui khutbah Jumaat. Makna taqwa sebenarnya ialah, "Berhati-hati. Bagaimana menggambarkan berhati-hati? Secara mudah menggambarkan taqwa ialah bagaimana anda berjalan pada jalan yang banyak duri, berkaki ayam. Itulah gambaran atau makna taqwa sebenarnya." Mudah? Tapi, malang sekali hendak mencari yang asas begini, memang susah. Malang sekali, kita disogokkan dengan berbagai-bagai gambaran Islam seperti Islam globalisasi, Islam itu ini, Islam Kontemperari, tapi yang paling asas di antara yang paling asas seperti saf jemaah yang lurus dan rapat, saf dewasa dan kanak-kanak tidak boleh bercampur, diabaikan.

Makna taqwa pun selalu tidak tepat, sudah bising hendak kontemperori dan sebagainya. Tak perlulah melalut yang bukan-bukan, Islam hanya ada satu sahaja iaitu Ahli Sunah Wal Jemaah, dan ia sentiasa kontemperori. Ia sentiasa "Tamadun mengikut Islam" bukan "Islam mengikut tamadun". Saya pun tak tahu apa lagi yang tak kena dengan islam yang sedia ada. Adakah dalam otak mereka, Islam yang sedia ada ini membawa kemunduran? Baca balik sejarah. Manusia atau agama yang menjadi penyebab kemundurun? Adakah kita mahu Islam seperti, "Suaminya orang besar OIC (Oo... I See) tapi isterinya tidak menutup aurat"? Atau kita mahu Islam yang lebih kurang sama seperti caca-marba dalam "Akademi Nasyid"? Atau seperti sebuah parti Melayu yang kononnya pembela Islam tetapi Asar, Maghrib terus saja bersidang seolah-olah sidang lebih penting dari solat. Atau dianggap tidak ada solat pada waktu Asar dengan Maghrib. Atau mungkin sekali menyangka, agenda "Ketuanan Melayu" (Siapa sebenarnya yang menjahanamkan ketuanan Melayu?) lebih utama dari berhenti seketika untuk solat.

Pada suatu malam, saya juga mendapat gambaran yang tepat tentang penerimaan wahyu pertama Rasulullah. Selama ini, gambaran yang ditanamkan sejak kita kecil lagi, sejak bersekolah rendah atau tadika: Jibrail A.S. datang serta-merta menyuruh Rasulullah membaca. Rasulullah tidak tahu lalu dipeluk hingga sesak nafas dan dicampak. Berkali-kali hingga Rasulullah kelemasan dan akhirnya ikut membaca, "Iqra". Itu gamabrannya yang ditanam di dalam fikiran kita.

Suatu malam saya mendengar ceramah bukan dari Mufti glemer, atau Mufti lalang atau Mufti gila publisiti, tetapi dari orang berilmu tanpa gelaran Dr. di depan namanya. Beliau dari Pusat Islam. Katanya, Jibrail a.s. memeluk dengan lembut sebagai dorongan, bukan seksaan. Dalilnya: ia adalah sebagai teladan apabila kita mendidik anak-anak kita atau murid kita hendaklah dengan lembut. Adalah mengarut jikalau tidak tahu tetapi berkasar dan memaksa. Makin tidak tahu. Jikalau dengan lembut dan galakan, pasti lebih pantas dan berjaya. Dalil seterusnya: adakah Allah SWT itu zalim? Rasulullah tidak tahu tetapi dipaksa, dicampak. Adakah itu perintah Allah SWT kepada Jibrail? Dalil yang paling padu: Untuk apa? Apa tujuannya Jibrail berkasar, memeluk dan mencampakkan Rasulullah? Apa motifnya?

Jadi, kini, barulah saya tahu atau hampir tahu makna sebenar, "Kerana Allah." Perkataan "kerana" itu gantikan dengan "sebab." Itu saja. Atau lebih tepat lagi, "Kerana Allah dah suruh begitu." Misalnya, kita mendengar Ustaz berkata, "Rukun Islam hendaklah dilaksanakan kerana Allah." Maka serta-merta kita terjemahkan, "Sebab Allah dah suruh begitu," atau "Kerana Allah dah suruh begitu." Tak ada dakwa-dakwi dan soal-jawab sebab memang Allah dah suruh. Nak kita membantah suruhan dan larangan Allah? Kita melaksanakan "Kerana Allah yang mengeluarkan perintah." Tepat?

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu bagi dirimu sendiri. (Al-Isra : 7)

» Firman Allah «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu