Pejuang yang pergi; pejuang yang tinggal
Posting pada:  05 Sep 2008 ( 1000 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Update ini pukul 3.48, baru saja pulang dari Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara yang bersempadan dengan Taman Tun Dr. Ismail, Damansara dan Seksyen 17. Pukul 3 petang tadi, jenazah pejuang bernama A. Samad Ismail sudah selamat disemadikan. Ramailah kaum kerabat, sahabat handai, peminat, anak muridnya yang turut sama menghantar dan mendoakan Allahyarham A.Samad Ismail di tanah perkuburan tersebut. Bersemadilah Tan Sri A Samad Ismail di sempadan alam dunia dengan alam akhirat.



Saya salah seorang peminat Allahyarham. Buku-buku beliau menjadi teman saya semasa bersekolah menengah dahulu. Harap masih ada lagi buku-buku karya beliau di perpustakaan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting.

Antara buku beliau yang memaparkan tentang perjuangan yang berkisar tentang dunia kewartawanan, persuratkhabaran ialah, "Patah Sayap Terbang Jua" "Tembok Tidak Tinggi" "Hud" "Sutinah" "Menimba yang Jernih."

Saya duduk sebelah betul-betul dengan seorang lagi Samad iaitu Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said. Ada kerisauan apabila melihat susuk tubuh beliau yang begitu susut dan kurus sekali. Sakitkah beliau? Semoga Allah menyembuhkan dan melindungi, jikalau beliau sakit.

Darinya saya bertanya, "Arwah Pak Samad ini pengasas Asas 50?" Asas 50 (Angkatan Sasterawan tahun 50-an) adalah persatuan penulis yang berjuang dengan menggunakan platform penulisan. Pada masa itu penulisan digunakan untuk memperjuangkan kemerdekaan, bahasa, bangsa, negara. Pada masa itulah benar-benar terjadi "mata pena lebih tajam dari mata pedang", "lidah lebih tajam dari belati". Tahu belati? Ia sejenis pisau. Betapa hebatnya mereka, dengan tulisan mereka berjuang. Jikalau anda ke Taman Tun Dr Ismail jangan tertanya-tanya dengan nama-nama jalan, "Siapa Rahim Kajai? Burhanuddin Helmi? Wan Kadir? Za'aba?" Mereka adalah tokoh kewartawanan dan penulis yang menggunakan penulisan sebagai landasan pejuangan. Nama-nama mereka diabadikan sebagai nama jalan di Taman Tun Dr Ismail.

"Arwah ini adalah yang menumbuhkan Asas 50" Jawab Dato' A Samad Said. Maksud beliau, A. Samad Ismail adalah yang menyemarakkan perjuangan "Asas 50".

"Dato' pula?" Saya bertanya lagi.

"Saya ekor-ekornya sahaja." Begitu halus bahasa sasterawan negara.

Banyak sekali jasa arwah A. Samad Ismail. Banyak juga liku-liku pahit yang terpaksa beliau lalui. Pernah keluar masuk penjara kerana pendiriannya menentang penjajah. Atas alasan "fahaman kominis" beliau juga pernah dimasukkan penjara sedangkan sebenarnya, Parti Komunis Malaya adalah salah satu dari 13 parti yang berjuang menuntut kemerdekaan. Hanya 'branding' penjajah sahaja yang menjadikan 'komunis itu jahat'.

Bukahkah memang itu tujuan hidup di dunia ini? Menjaga 3 hubungan yang penting iaitu, "Hubungan dengan Allah; Hubungan dengan manusia; Hubungan dengan alam sekitar." Sesama manusia kita hendaklah meninggalkan bakti dan jasa tanpa meminta sebarang balasan, sama seperti A. Samad Ismail.

Sekitar awal tahun 90-an kerap terserempak dengan Tan Sri A. Samad Ismail di sekitar Seksyen 14 (Jaya Supermarket), sebab beliau tinggal di seksyen 16. Pertengahan tahun 90-an, beliau juga kerap muncul di kaca TV.

Seperti biasa selepas pengebumian tokoh, wartawan akan mencari sahabat-sahabat atau kenalan tokoh bagi mendapatkan cerita lebih lanjut. Saya sempat mendengar kata-kata A. Kadir Jasin, seorang lagi tokoh kewartawanan ditemuramah. A. Kadir Jasin begitu merendah diri, "Kalau dikatakan kenalan itu meletakkan saya terlalu tinggi tarafnya dengan arwah. Anak murid yang paling sesuai. Arwah ini banyak sangat mengajar saya dan saya anggap sebagai guru yang agung."

Seterusnya beliau dengan nada yang lembut memberitahu, "Beliau bukan saja seorang wartawan. Kewartawanan hanyalah landasan untuk perjuangan beliau." Di akhirnya, saya masih tak faham apa sebenar maksud Datuk A. Kadir Jasin, "Beliau adalah yang terakhir di antara yang terakhir dalam angkatannya."

Banyak tokoh-tokoh yang ditemuramah oleh pelbagai-bagai media. Tentulah saya tidak melepaskan peluang untuk mendengar kata-kata mereka tentang Tan Sri A. Samad Ismail yang telah menjadi arwah.

Bersemadilah A. Samad Ismail. Semoga rohnya di dalam peliharaan dan lindungan Allah SWT selamanya. Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti, namun tidak mungkin akan sama dengan yang patah dan hilang.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Punca utama membazir, membuang masa (bersamaan dengan membuang nyawa) ialah, 'mengutamakan yang remeh dan meremehkan yang utama'.

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu