Biotech atau IT? Mana Satu Bagi Lebih Publisiti?
Posting pada:  12 Mar 2006 ( 1223 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Lengkap dengan lagu yang disiarkan setiap hari, IT menjadi sebut-sebutan (sekadar sebut-sebutan) pada zaman menteri perdana keempat. Konon ceritanya, pada masa itu adalah zaman IT.

Berduyunlah lepasan SPM masuk ke Universiti mengambil jurusan IT. Mana-mana yang main agak-agak dan dengar-dengar berkata, "IT bagus, IT bagus..." tanpa mengetahu faedah dan arah tuju, hanya kerana hendak dipandang lebih pandai. Bayangkanlah menyebut IT dianggap pandai dan tahu.... Paling disalah ertikan pada masa itu adalah IT. Apa makna IT tak tahu, apa itu IT pun tak tahu. Belum lagi, mengapa IT, faedah IT dan sebagainya. Rasanya sampai kini masih disalah ertikan. Pelik atau tidak, IT itu adalah komputer. Website itu IT dan berbagai-bagai lagi kekeliruan.

Kesimpulannya ia adalah sekadar untuk publisiti. Pelaksanaannya? Gagal! Gagal kerana IT itu dianggap komputer, sedangkan komputer adalah alat untuk IT. Gagal kerana graduan IT hanya nganga tak tahu apa-apa. Bila ditanya apa yang dipelajari di Universiti, mereka mempelajari sejarah komputer. Ada belajar skrip? Hanya Visual Basic dan C++. Kalau kopi dan gula akhirnya untuk air kopi, VB dan C++ itu untuk dibawa ke mana, dijadikan apa? Gagal kerana sampai sudah bila bertanya apa itu IT tak ramai yang boleh menjawab dengan tepat. Website dikatakan IT, sedangkan website hanyalah alat untuk IT. Gagal kerana 'BYTE' diterjemahkan sebagai BAIT sedangkan sebenarnya BYTE ialah "By Eight".

Pada masa itu seorang pengacara TV meminta penerangan lebih lanjut dari jemputan mengenai apa itu IT dan MSC. "Kena terangkan, nanti orang kampung tak tahu..." Jangankan orang kampung, orang KL, PJ pun tak tahu apa itu IT dan MSC, termasuk saya. Yang saya tahu ia hanya penyedap mulut dan bahan publisiti. Tak percaya? Tanyalah kepada yang selalu menyebut IT, tentu jawapannya pelik dan berbeza-beza.

Bukan saya pandai, tapi cuba menerangkan sedikit: IT adalah Information Technology ? Teknologi Maklumat. Ada berbagai-bagai jenis teknologi di dunia ini, Teknologi Maklumat salah satunya. Maklumat yang diteknologikan. Sejak purbakala kita sentiasa memerlukan maklumat jadi cadangnya, maklumat itu diteknologikan dan disalurkan dengan pantas, terbuka menggunakan internet.

Sebagaimana perusahaan lain, maklumat juga diibaratkan sebagai perusahaan. Setiap perusahaan memerlukan teknologinya sendiri. Antara teknologi keperluan dalam maklumat ialah: multimedia, skrip, network dan entah apa-apa lagi. Itu yang perlu dipelajari di Universiti. Tapi akhirnya untuk apa? Nak disalurkan di mana? Kalau dulu kita berkomunikasi dengan surat, kita menghantar maklumat melalui surat. Tulis surat di atas kertas, masukkan sampul surat, pergi ke pejabat pos, berbaris beli setem dan masukkan surat yang lengkap bersetem ke dalam peti surat. Dengan adanya teknologi, maklumat menjadi cepat dihantar. Proses selepas maklumat diteknologikan hampir sama -- kita hendak menyampaikan maklumat tetapi bukan melalui surat biasa tetapi melalui surat elektronik (e-mel).

Dengan teknologi internet, maklumat cepat dihantar dari depan mata, tak payah ke pejabat pos. Bagaimana pula dengan lagu syirik "Keranamu Malaysia" -- ada bait, "Pakar IT, pakar ekonomi." Suatu hari nanti kalau terjumpa penulis liriknya, tanyalah, "Apa itu pakar IT?" Dan tanya sekali, "Kamu ni tak takut ke tulis lirik yang boleh membawa kepada syirik?" Tanyakan sekali, "Kamu tahu tak apa itu syirik? Kalau kamu tahu tak mungkin kamu akan menyebut Keranamu Malaysia sebaliknya KeranaMu Allah."

Kemudian kita ada MSC. Sampai sudah saya tak tahu apa sebenarnya fungsi dan hasil dari MSC. Menghasilkan software? Mana softwarenya? Hendak dibawa ke mana software itu? Mengapa tak dipedulikan TPM (Technology Park Malaysia) lagi sedangkan di dalamnya pusat perkembangan teknologi.

Habis cerita. Satu lagi kegagalan yang menelan belanja bilion ringgit. Masuklah menteri perdana kelima yang cuba mentadbir negara dengan senyuman manisnya sahaja. Zaman beliau terdengarlah satu perkataan baru iaitu Biotech. Gegak gempita satu negara bercakap pasal biotech. Sekali lagi kedengaran, "Nanti orang kampung tak tahu apa itu biotech." Orang KL, orang PJ pun 99% tak tahu apa itu biotech.

Jangan terkejut, sejak dahulukala, orang kampung dah mengamalkan biotech. Sekali lagi, hanya sebagai penyedap mulut dan kebanggaan. Bila tanya balik apa itu biotech masing-masing nganga dan memberi jawapan berbelit-belit. "Biotech la.. itu yang perdana menteri galakkan..." Itu bukan jawapan orang yang tahu.

Oleh kerana nak tahu sangat saya bertanya kepada warga Ukhwah.com, barulah saya mendapat jawapan yang tepat. Biotech adalah ringkasan Teknologi Biologi. Biologi yang diteknologikan. Apa itu biologi? Biologi terbahagi kepada 3 cabang utama: manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan. Selepas itu ada mikrobilogi dan sebagainya. Khabarnya mikrob itu akan dijadikan senjata yang boleh memusnahkan batu dan besi. Kalau biologi memang saya dah belajar seiring dengan kimia dan fizik.

Dengan adanya teknologi atau biologi yang diteknologikan, keadaan asal berubah menjadi keadaan yang lebih baik dan berfaedah. Eh, kalau begitu emak saya dan orang dahulu sudah lebih dulu mengamalkan biotech. Ubi dijadikan tapai, kacang soya dijadikan tempe. Jadi, apa yang heboh sangat, gegak gempita tak berpenghujung itu? Tanpa gegak gempita ayah saya sudah mengamalkan biotech membuat klon anak getah, anak rambutan.

Dari segi gegak gempita memang kita selalu menang tetapi bagaimana dari segi hasil dan arah tuju? Budaya kita. IT dan BIOTECH hanya bahan gegak gempita yang akan menelan belanja bilion ringgit.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Wang tidak bertambah atau berkurang; ia hanya bertukar tangan

» Dari Filem 'Wall Street' «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu