Bisnes berasaskan nafsu
Posting pada:  31 Aug 2008 ( 896 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Esok, pesta makanan dan minuman akan bermula, menggantikan sebagaimana sepatutnya: pesta ibadat. Diam tak diam, bagai sekelip mata, Ramadhan datang lagi. Lama-kelamaan, tidak mustahil, Ramadhan hanya ritual, jikalau roh Ramadhan tidak dihayati.

Esok juga bermulanya bisnes berdasarkan nafsu makan, nafsu membeli. Bazaar Ramadhan diwujudkan untuk memenuhi nafsu makan dan membeli, bukan untuk 'sekadar berbuka puasa'. Berbuka puasa sebenarnya adalah dengan makanan yang paling ringkas sekali. Belum pernah ada orang Islam di Malaysia yang mati kerana berbuka puasa ala kadar. Yang ada adalah orang yang makin tidak sihat, makin gemuk, makin bertambah kolesterol kerana makan berlebihan di waktu berbuka puasa.

Tapi benarkah makan berlebihan? Makan tetap seperti biasa. Itulah maksud sebenar nafsu makan dan minum. Perut tengah kosong, melihat makanan yang pelbagai dengan aroma yang enak, didorong lagi dengan nafsu membeli, semuanya dilihat sedap. Akhirnya membeli. Tak mengapa membeli kalau untuk dimakan, tetapi selalunya membeli hanya untuk memenuhi nafsu makan ketika perut sedang kosong. Waktu perut kosong semua nampak sedap. Ini ditambah lagi dengan beraneka juadah pelik-pelik belaka yang tidak kelihatan pada 11 bulan lain, selain pada satu bulan sahaja iaitu bulan Ramadhan. Kenapa? Kerana penjual sudah tahu, apa saja makanan yang dijual di bulan Ramadhan pasti laku dan laris kerana mereka membeli bukan untuk makan, sebaliknya untuk dibuang. Mereka membeli bukan untuk berbuka puasa sebaliknya kerana memenuhi nafsu makan di kala perut tengah lapar.

Di masjid-masjid juga, terutama masjid di sekitar Kuala Lumpur akan berlaku pembaziran dan kesilapan dalam bersedekah. Tak tahu bagaimana masjid sekitar Petaling Jaya yang kini di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Makanan disediakan untuk menjamu selera berbuka puasa. Bukan makanan sebaliknya adalah hidangan yang enak-enak belaka. Bukan untuk berbuka puasa sebaliknya untuk menjamu selera.

Cuba fikirkan, perlukah pembaziran majlis berbuka puasa setiap petang begitu sedang dalam masa yang sama ramai umat Islam (dalam dan luar negara) yang terkial-kial untuk mendapatkan makanan bagi berbuka puasa. Bukankah dalam bersedekah hendaklah mengutamakan orang-orang yang miskin dan tidak mampu. Miskinkah kalau datang berbuka puasa di masjid dengan Mercedes model terbaru? Di sesetengah masjid di Kuala Lumpur ini, peruntukan untuk 'kesilapan bersedekah' begitu mencecah sehingga RM2,000 setiap petang.

Sebenarnya, penjual di Bazaar Ramadhan itu hanya meneruskan tradisi 'Bisnes berasaskan nafsu'.

Bisnes berasaskan nafsu telah sekian lama berada di muka bumi ini. Nafsu manusia sentiasa meningkat dan mendadak. Manusia sentiasa mahukan yang baru dan lebih baik.

Inilah yang perlu dipelajari oleh usahawan dalam menyediakan produk. Sesekali perlu berjalan-jalan melihat-lihat Sony Center, Panasonic, Nokia, BMW dan sebagainya.

Sebagai contohnya: anda masuk ke bilik pameran Sony anda akan melihat TV plasma yang besar dan cantik sekali gambarnya. Berdetak dalam hati, "Laku ke?" Itulah silapnya kita, apabila kita ragu-ragu, maka yang negatif sahaja yang akan diperoleh. "Laku ke" akan mendorong kepada "tak laku." Memang laku sebab ia dibuat berasaskan nafsu manusia. Manusia sentiasa mahukan yang lebih baik, lebih gah. Kalau setakat hendak melihat TV, sudah pasti TV di rumah yang ada sekarang ini sudah mencukupi tetapi oleh kerana adanya nafsu, maka di hati mula berangan-angan untuk membeli TV plasma. Jadi, "Laku ke tak?"

Begitu juga kebijaksanaan pengeluar telefon bimbit. Kalau setakat untuk bercakap-cakap, telefon yang ada sekarang sudah mencukupi tetapi mengapa sentiasa ada model baru? Mengapa, suatu masa dulu dalam pertengahan 90-an, harga telefon sudah merudum, ia kini kembali mahal-mahal belaka? Ia semata-mata berasaskan nafsu.

Pengeluar aksesori komputer pun begitu. Nafsu manusia tak dapat dibendung. Manusia sentiasa mahukan yang lebioh pantas, yang lebih cantik. Kalau untuk buat kerja, processor, graphic card, monitor yang ada sekarang sudah mencukupi, tetapi mengapa sentiasa ada yang baru yang lebih gah. Dulu kita menyangka Pentium 4 sudah cukup hebat, tetapi mengapa keluar pula C2D, Quad dan entah apa-apa lagi? Semata-mata untuk memenuhi nafsu manusia.

Begitu juga dengan pengeluar kereta. Kalau untuk 'menyambung kaki' kereta yang ada sekarang sudah mencukupi tetapi mengapa perlu sentiasa ada model baru?

Kita kaum usahawan perlu sentiasa bijak dalam usaha kita memenuhi nafsu semula jadi manusia, barulah kita sentiasa maju di depan seperti Sony, Nokia, Mercedes dan sebagainya. Pendidikan percuma sentiasa berada di depan mata.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Anda memperolehi apa yang difokus. Bila anda memfokus pada masalah anda akan memperolehi masalah yang lebih besar. Fokus pada penyelesaian!

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu