Amat mudah, amat remeh, kerana itu diabaikan
Posting pada:  30 Aug 2008 ( 1121 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Teringat suatu masa dulu, semasa duduk bersembang dengan Anis Kasan, orang besar dalam syarikat MLM Revell. Juga dikatakan, disahkan, beliau dan isterinya, Saadah Badrus adalah usahawan No. 1 dalam Revell. Beliau menyebut tentang istimewanya ucapan, "Terima kasih."

"Terima kasih" dianggap kecil dan remeh. Tetapi ingat bahawa sejak dahulu kala diperkatakan bahawa, "Perkara kecil membawa perubahan besar." Contoh mudah ialah ketika memasang jubin. Hanya pekerja yang berilmu dan berpengalaman sahaja dibenarkan memasang jubin. Ia ada kaitan tepat dengan "perkara kecil membawa perubahan besar." Senget sikit saja pada permulaan pemasangan, di hujung sana, sengetntya menjadi besar dan jelas kelihatan. Contoh lagi, kalau sehari bangun tidur 1/2 jam lebih awal, berapa jumlah jam dalam seminggu, sebulan, setahun dan seumur hidup? Perkara kecil membawa perubahan besar.

Teringat saya, suatu masa dulu dalam perlumbaan F1, seorang pelumba berhenti dan turun dari keretanya, memberitahu tidak dapat meneruskan perlumbaan disebabkan kerosakan pada keretanya. Kerosakan tersebut berpunca dari skru kecil yang berharga lebih kurang RM1 sahaja.

Suatu hari di Kelab Tropicana, Gan Ah Seng, perunding kejayaan yang terkenal tetapi amat 'low profile' menceritakan kepada saya bagaimana rakannya yang membeli kereta S320 (pada masa itu hargannya ialah RM750,000. Gan Ah Seng antara orang yang terawal memiliki S280 baru), suatu hari keretanya mati di jalan. Punca mati hanyalah kerana penapis petrol yang berharga amat rendah. Benda yang amat rendah harganya mampu mematikan kereta yang berharga 3/4 juta ringgit. Perkara kecil membawa perubahan besar.

Berbalik kepada kata-kata jutawan MLM, Encik Anis Kasan dan isterinya Saadah Badrus yang sudah lebih 15 tahun berkecimpung di dalam MLM tentang "Terima kasih." Memang itulah masa yang perlu diambil untuk menjdai jutawan, antara 10 hingga 15 tahun. Kalau kurang dari itu, ia hanya penglipurlara.

Menurut Encik Anis Kasan, "Terima kasih adalah remeh dan sentiasa dipandang remeh, kerana itu tidak ramai yang mengucapkan. Tetapi, hasilnya, impak dari mengucapkan terima kasih amat besar. Salah satu impaknya ialah dapat menjalin kasih sayang sesama manusia." Apabila terima kasih diucapkan, kita umpama telah menerima kasih seseorang. Konsep "memberi dan menerima" terjadi di sini. Apabila "memberi dan menerima kasih" diucapkan, ia dapat menjalin kasih sayang sesama manusia. Apabila kerap diucapkan ia akan berterusan, bersambung-sambung, "kasih". Ia menjadi: kasih, kasih, kasih, kasih.... dan berterusan tanpa penghujung menghasilkan rasa kasih sayang berterusan dan berpanjangan.

Begitulah pendapat bernas Encik Anis Kasan dan isterinya Saadah Badrus. Perniagaan mereka yang besar kini diteruskan oleh anak-anak mereka.

Untuk melanjutkan, cara untuk mengucapkan terima kasih sebenar adalah:

1. Ucapkan terima kasih dengan ikhlas dan benar-benar berniat mengucapkan terima kasih.

2. Ucapan terima kasih bukan hanya di bibir semata-mata semestinya datang dari hati.

3. Semua bangsa di Malaysia ini lebih menggemari perkataan, "Terima kasih" berbanding dengan, "Thank you" atau "Thanks".

4. Jangan terasa hati jikalau penerima "terima kasih" itu seperti endah tak endah.

5. Ucapkan terima kasih pada tempat yang tidak memerlukan terima kasih. Kiranya, "siapa yang terlebih dahulu mengucapkan." Contoh, anda yang menolonh tetapi anda yang mengucapkan terima kasih. Mengapa? Anda berterima kasih kerana dia sudi menerima pertolongan anda.

6. Ini yang penting sekali: jangan berasa segan dan malu dalam mengucakpan terima kasih. Ucapkan dengan riang. Perlukah malu apabila hendak memberi?

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kadang-kadang buku itu yang memilih orang untuk membacanya.

» Dari filem Hurricane «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu