Mesej dari Israk Mikraj
Posting pada:  13 Jul 2008 ( 1152 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Berpeluang mendengar ceramah Isra' Mikraj. Antara intisari atau mesej yang terkandung di dalam Isra Mikraj adalah:


1. Susah senang hendaklah mengadu dan merujuk kepada Allah SWT. Peristiwa Isra' Mikraj dikatakan sebagai peristiwa untuk menghiburkan Rasulullah yang sedang berduka kehilangan isteri tersayang dan bapa saudaranya. Semasa berduka begitu, Allah dijadikan tempat untuk mengadu. Susah dan senang, Allah dijadikan tempat mengadu.

2. Sehingga kiamat, sentiasa ada yang percaya dan ada yang tidak percaya dengan peristiwa tersebut. Mereka yang tidak percaya bermakna mempertikaikan kandungan Al-Quran kerana peristiwa tersebut tertulis di dalam Al-Quran.

3. Mengapa orang percaya? Sangat mudah. Sebab Rasulullah tidak pernah berbohong sejak dari kecil. Itu satu lagi mesej. Untuk dipercayai, jangan berbohong. Di muka bumi ini, tidak ada yang berani mempercayai manusia yang berbohong.

4. Untuk menyatakan kebenaran adalah cabaran besar. Jangan anggap ia lancar dan tidak ada cabaran. Hanya dalam satu malam Rasulullah dibawa dari Masjidil Haram ke Al-Aqsa kemudian naik (Mikraj) ke Sidratul Muntaha (yang kedudukannya selepas langit ke 7. Di mana langit ke 7 itu? Tidak terjangkau oleh akal manusia dan sekali lagi sebagai ujian keimanan kita). Itu kebenarannya. Rasulullah menghadapi cabaran yang besar untuk memberitahu kepada umatnya akan kebenaran peristiwa tersebut.

5. Rasulullah dibedah oleh Jibrail A.S. sebelum Isra' Mikraj. Jantung, hati dan sudah tentu beberapa organ lain dikeluarkan dan dibersihkan oleh Jibrail. Sekali lagi kita diuji akan kebenaran peristiwa tersebut. Oleh kerana Rasulullah tidak pernah berbohong, sudah tentu kita mengakui ia adalah benar. Mesej lain -- untuk mengadap Allah hati kita mesti bersih. Sehari 5 kali kita mengadap Allah, bersihkan diri kita?

6. Dari peristiwa pembedahan itu juga kita tahu bahawa hati sebenarnya ada 2 iaitu hati perasaan dan hati fizikal. Kedua-duanya mesti bersih. Buktinya, Jibrail membedah dan mengeluarkan hati, jantung untuk dibersihkan. Kedua-duanya mesti dibersihkan. Hati perasaan mesti bersih begitu juga hati fizikal. Jadi, apa mesejnya apabila Rasulullah bersabda, "Di dalam anggota badan terdapat seketul daging yang mana jika daging itu elok, maka eloklah seluruh anggita badan." Hanya hati perasaan?

7. Mesej seterusnya: jangan sekali-kali ragu-ragu dengan sifat Maha Pemurah Allah SWT. Asalkan kita tidak berputus asa, InsyaAllah kita akan memperoleh apa saja kebaikan yang kita kehendaki. Percayalah, berusahalah dengan penuh keyakinan, tanpa berputus asa. Sebagai contohnya, Rasulullah SAW memohon dikurangkan solat dari 50 waktu kepada 5 waktu. Baginda tidak berputus asa, berulang-alik berjumpa Allah SWT sebanyak 9 kali barulah memperoleh apa yang dihajati itu. Sebagai bonus, solat 5 waktu itu telah mengekalkan nilai solat 50 waktu yang mula-mula diperintahkan.

8. Ketepikan kepentingan diri. Rasulullah SAW sepanjang peristiwa Isra' Mikraj hanya mementingkan umatnya (kita semua ini, sama ada Islam atau kafir). Setiap sesuatu yang diminta oleh Rasulullah dari Allah SWT adalah kerana umatnya. Bahkan perkataan terakhir yang keluar dari mulut Baginda sebelum wafat ialah, "Umatku... Umatku..." Mengikut Dato' Harussani, pada hari kiamat kelak, manusia pertama yang dibangkitkan ialah Rasulullah SAW. Baginda tidak mahu berganjak sebelum diberitahu di mana kedudukan umatnya. Begitulah sayangnya Rasulullah kepada umatnya. Adakah kita menyayangi Allah dan RAsulullah?

9. Semasa peristiwa besar Isra' dan Mikraj itu, jumlah penganut Islam hanyalah lingkungan 200 orang. Pada malam Isra' Mikraj, Allah SWT menghadiahkan, "70,000 umat Islam yang wajib masuk neraka diampuni, tanpa hisab." Rasulullah sekali lagi berdukacita kerana memikirkan umatnya. Nampakkah kita, umat Islam baru 200 orang pada masa itu, tetapi angka 70,000 itu seperti tidak mencukupi. Lihatlah bagaimana Rasulullah mengetepikan kepentingan dirinya dan amat mementingkan umatnya. Kerana memikirkan umatnya, Baginda tahu bahawa 70,000 itu tidak mencukupi. Kerana memikirkan kepentingan umatnya, Baginda menahan malu untuk meminta lagi dari Allah SWT. Setelah berulang kali meminta tanpa rasa putus asa, akhirnya Allah SWT menghadiahkan, "100,000 umat Islam yang bertaubat akan diampuni setiap malam Jumaat." Oleh kerana Allah SWT Maha Pemurah, ia ditambah lagi, "Setiap malam pada malam Ramadan, 100,000 umat Islam yang bertaubat diampuni. Jumlahnya berganda panda malam akhir Ramadan (malam Raya)." Inilah hadiah yang besar hasil usaha Rasulullah SAW yang berusaha tanpa putus asa.

10. Hanya jika kita mengetepikan kepentingan diri dan memberi keutamaan kepada orang lain, kita akan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. Percayalah, kerana sejarah membuktikan begitu. Itu juga mesej yang diperoleh dari Malam Ajaib itu. Berkat usaha Rasulullah yang mengetepikan kepentingan diri dan mengutamakan kepentingan umatnya, sekali lagi kita diberi hadiah yang amat besar -- kita, umat Muhammad diangkat menjadi sebaik-baik umat.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Anda takkan dapat melihat lautan jika tidak meninggalkan pelabuhan

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu