Pesta Buku datang lagi!
Posting pada:  09 Apr 2008 ( 1037 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Yang ditunggu telah tiba. Inilah ujian sebenar untuk penulis, penerbit dan pengedar buku. Bagi penulis, adakah buku mereka dihampiri, dibelek dan dibeli? Bagi penerbit, adakah gerai mereka dikunjungi menjadi seperti pasar borong atau sesepi kuburan? Bagi pengedar, adakah buku edaran mereka mendatangkan keuntungan?

Tahun ini juga ujian untuk PTS. Gerai PTS berada di seberang sungai. Jika mengikut keadaan biasa, sesudah meronda dewan utama, pengunjung malas hendak ke seberang sungai. Itulah yang dikatakan ujian untuk PTS. Oleh kerana PTS adalah penerbit yang sudah mempunyai nama (sudah 8 tahun membina nama dan reputasi), rupanya sebahagian pengunjung ke dewan utama mencari-cari dan tertanya-tanya di mana gerai PTS.

Ramai yang merungut mengapa penganjur membahagi-bahagikan begitu. Ada yang di dewan utama dan ada yang di seberang sungai. Kalau di dewan utama, biarlah kesemuanya di dewan utama. Kalau di seberang sungai, seperti tahun 2006 biarkan kesemuanya di seberang sungai.

Saya bimbang, bahkan ramai yang bimbang, seandainya tidak ada pembaharuan terhadap pesta buku, lengang kembali lengang. Rasanya sebelum millenium, pesta buku memang agak hambar. Selepas tahun 2000 ada juga tahun-tahun yang hambar. Jika tidak berbuat pembaharuan atau leka dengan kejayaan beberapa tahun lepas, bimbang nanti Pesta Buku hanya akan mendatangkan kerugian kepada penerbit dan pengedar. Bimbang nanti, makin lama makin kekurangan pengunjung. Berapa hari sebenarnya Pesta Buku? Hanya 4 hari sahaja yang ramai pengunjung iaitu 2 Sabtu, 2 Ahad, melainkan dibuat seperti dahulu pada musim cuti sekolah dengan rombongan dari seluruh negara berkunjung.

Pada Pesta Buku minggu lepas, di gerai PTS sudah tentu saya bertemu sahabat-sahabat dan juga pegawai-pegawai PTS Batu Caves dan Wangsa Melawati. Gembira sekali dapat bertemu, bercerita dan gelak ketawa dengan mereka. Juga bertemu sahabat-sahabat penulis yang bernaung di bawah PTS.

Rombongan Ukhwah.com juga tidak ketinggalan mengunjungi gerai PTS. Sebahagian mereka tidak pernah tahu bahawa pengasas Ukhwah.com adalah penulis yang bernaung di bawah PTS. Sudah lebih 11 buku beliau diterbitkan oleh PTS dan sebahagian besarnya telah beberapakali diulang cetak dan menjadi best-seller.

Mengatasi semuanya saya bertemu dengan Pengerusi PTS dan Cancelor Universiti PTS, juga idola penulisan saya, Mbakyu Ainon Mohd. Ketika itu beliau sedang berbincang dengan DJ Shukur, seorang lagi sahabat lama yang rasanya sealiran. Jika anda masih lagi ingat, suatu masa dulu portal komuniti Shukur.com yang menjadi perangsang, peneraju, inspirasi dan pembuka kepada portal komuniti yang ada di internet sekarang ini. Pada ketika itu, sekitar tahun 2000, 2001, ada 4 portal komuniti yang hebat dan rancak: shukur.com, putera.com, telatah.com dan mesra.net. Pengasas bertemu pengasas. DJ Shukur pengasas Shukur.com, saya pengasas Ukhwah.com. DJ kemudian menubuhkan syarikat Metadome yang menyediakan perisian untuk telefon bimbit. Ada urusan bisnes dengan PTS nampaknya.

Sudah tentu saya terus menyatakan sokongan padu saya kepada Mbakyu atas usaha beliau menggegar Kementerian Pelajaran. Atas kewibawaan dan keberanian beliau sudah tentulah beliau akan terus menggegar kementerian yang sememangnya patut digegar. Dengan keberanian 'wanita besi' ini, pasti suatu hari nanti kontrak pembelian buku akan kembali telus. Bukankah kita yang terlibat dengan buku terhutang budi dengan Mbakyu?

Tulisan dan kata-kata Mbakyu telah mendapat perhatian dari laman web terkenal Tranungkite.net:


Quote:


Artikel asal di TranungKite.net

Rasuah: Penerbit kecewa Hishammuddin dilantik

Abdul Halim Mohd Rashid

Sebuah penerbitan Bumiputera yang semakin berjaya dan popular, PTS, kecewa apabila Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengekalkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Pelajaran.

PTS mendakwa, kes rasuah semakin menjadi-jadi di bawah pentadbiran Hishammuddin.

"Gosip tentang rasuah di Kementerian Pelajaran Malaysia bukan hanya melibatkan projek-projek buku oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), di Bahagian Buku Teks (BBT), dan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK)," kata penerbit itu dalam laman webnya, www.universitipts.com

Gosip-gosip juga mengatakan rasuah dan penyalahgunaan kuasa berlaku dengan parah sekali di EPRD (Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Pendidikan) kerana bahagian itu yang menguruskan projek-projek pembinaan sekolah-sekolah baru, kata PTS lagi.

"Dikatakan pegawai-pegawai di bahagian itu dipaksa melantik kontraktor-kontraktor yang ditunjuk oleh orang politik".

Menurut sumber dalaman Umno, Hishammuddin dikekalkan dalam kabinet Perdana Menteri yang dituntut berundur kerana "prestasinya yang cemerlang dalam membela (menantu Perdana Menteri) Khairy (Jamaluddin)".

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Datuk Mukhriz Mahathir pula memuji Ketua Pemuda Umno itu berikutan keputusannya yang tidak mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Jerlun itu.

Mewakili ahli-ahli Umno, anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerajui tuntutan supaya Abdullah berundur.

Perdana Menteri yang dituntut berundur menyifatkan tindakan Mukhriz itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mahu Pemuda Umno mengambil tindakan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Semakin difikir-fikir semakin dihindari

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu