CEO terbaik di Malaysia... yang lain tak payah perasan
Posting pada:  23 Mar 2008 ( 1504 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Yang lain jangan perasan, sebaliknya buang perasan itu dan belajar dari CEO yang amat rendah hati ini, lebih suka merendah diri. Tak pernah 'berkokok' seperti yang lain (yang perasan). Tak pernah gila publisiti sampaikan benda-benda pelik dijadikan bahan publisiti. Low profile, walaupun sebenarnya berprofil tinggi.

Selalu orang tersalah sangka tentang 'low profile'. Selalu juga terdengar, "Kami low profile..." Low profile adalah merendah diri apabila keadaan sebenar hebat, tinggi (high profile). Kalau memang sudah low, berjuta-juta batu dari hebat, tak payahlah menyebut dan perasan "low profile" kerana memang sudah low. Low profile terjadi dengan sendirinya bukan boleh dibuat-buat. Ia terjadi kerana mengikut resmi padi -- makin tunduk makin menjadi. Tong kosong kuat bunyinya. Manakala high profile pula selalunya diada-adakan untuk menutupi kekurangan. Ada juga yang sememangnya 'high' dan mengamalkan 'high profile'. Kesimpulannya 'low profile' adalah berlawanan dengan keadaan sebenar, bukan seiringan. Kalau memang sudah low, tak payahlah perasan 'low profile'.

Berbalik kepada CEO terbaik di Malaysia tadi. Walaupun saya meluat dengan perkataan pakar, satu bombastik dari TV3 (selalunya) seperti 'Pakar Motivasi' 'Pakar Internet' 'Pakar Cegah Jenayah' 'Pakar Hiasan Dalaman' dan lain-lain yang pelik-pelik belaka, namun CEO terbaik ini layak diberikan gelaran pakar. Dan tak mungkin, TV3 akan memberikan gelaran pakar kepada manusia ini. Semestinya wartawan di TV3 itu perlu ditarbiyah sebelum sewenang-wenangnya meletakkan perkataan 'pakar'. Apa makna 'motivasi'? Dan bagaimana pula motivasi itu dikaitkan dengan pakar?

Mana-mana yang perasan atau 'diperasankan' sebagai pakar 'personal finance' atau 'pakar pelaburan' bacalah seterusnya. Moga insaf dan sedar akan kedudukan diri dibandingkan dengan 'pakar' sebenar yang akan saya ceritakan ini. Semoga selepas ini mana-mana yang mendakwa dan didakwa pakar itu tidak lagi kemaruk dan gila publisiti yang memualkan. Janganlah perasan masyhur dan hebat dengan menepekkan muka di sana-sini. Kadang tanpa disedari orang benci dan meluat tetapi kita terperasan masyhur dan selibriti. Jangan kita perasan dan diperasankan.

Sedarlah, setakat mana ilmu yang ada dibandingkan dengan CEO yang akan saya ceritakan ini. Sebenarnya, yang paling layak memberikan seminar dan ilmu tentang personal finance, pengurusan, pelaburan, kekayaan dan sebagainya ialah CEO yang akan saya ceritakan ini. Tetapi beliau tidak mungkin mahu kerana sikapnya yang merendah diri dan 'low profile'. Kecuali, anda menemui beliau dan menuntut ilmu dari beliau.

Untuk mengenali CEO terbaik di Malaysia itu, gambarkan keadaan ini: anda diberi satu peti besi di dalamnya ialah wang emas tetapi anda tidak boleh membelanjakan kerana wang emas itu adalah hutang. Jumlahnya 700 keping. Anda mesti menerima, bukan dengan rasa terpaksa sebaliknya dengan rasa tanggungjawab dan redha bahawa itu adalah ujian dari Allah. Anda menganggapnya sebagai amanah dari Allah SWT. Orang lain memperoleh harta tetapi anda memperoleh hutang. Jika tidak berilmu akan menggelabah, jika berilmu akan menerima dengan senyuman dan percaya bahawa itu adalah ujian dari Allah SWT. Jika berilmu juga tahu bahawa Allah bukan saja-saja memberi ujian kepada hambaNya. Ada sinar di sebalik mendung. (Every cloud has a silver lining).

Kira-kira 18 tahun kemudian, dengan seribu satu tekanan dan berbagai-bagai sekatan, hutang wang emas 700 itu tinggal hanya 11 sahaja. Itupun adalah 'bunga' hutang.

Dalam keadaan biasa, tanpa sekatan dan sudah tentu dengan bantuan yang lumayan, pun agak mustahil jika hutang 700 itu boleh menjadi 11 dalam masa yang singkat, 18 tahun. Inilah yang menjadikan kita amat pelik. Dengan 1001 tekanan, sekatan, akhirnya hutang 700 itu hanya tinggal 11 sahaja. Masa yang diambil untuk menyusutkan hutang itu adalah amat singkat, hanya 18 tahun sahaja, lebih kurang. Layak atau tidak manusia yang berusaha menyelesaikan hutang tersebut diberi gelaran 'CEO terbaik' dan 'Pakar pengurusan kewangan No. 1 Di Malaysia (bahkan mungkin dunia)'? Tetapi jangan harap akan ada publisiti begitu. Selain beliau tidak mahu publisiti begitu, segala kebaikan manusia tersebut di'blackout'kan oleh media. Kalau pun ada yang didedahkan oleh media adalah putar belit supaya pembaca memandang buruk kepada manusia ini. Maksudnya pembaca yang boleh diperbodohkan yang masih lagi membeli, membaca dan percaya dengan berita media arus perdana (atau orang kata media parti/kerajaan).

Beliau menguruskan negeri, bukan setakat menguruskan syarikat. Bukan semudah menguruskan klinik gigi dan pengurusan muka, jadual penyuntikan botox atau jadual pembelian tempe. Semasa Tuan Guru Nik Aziz menerima amanah untuk menguruskan Kelantan pada tahun 1990, hutang yang ditinggalkan oleh parti sebelumnya adalah RM700 juta. Sekali lagi diulang -- RM700 juta! Bukan sedikit. Lebih memualkan, parti yang memerintah Kelantan sebelumnya tidak pernah mengakui atau merasa kesal kerana meninggalkan hutang sebanyak RM700 juta!

Sekarang, inilah yang amat menarik sekali:

1. Dengan hanya menggunakan sumber dalaman, bagaimana hutang yang amat banyak itu boleh langsai dalam masa 18 tahun!

2. Bagaimana dengan tekanan, sekatan, diburuk-burukkan, akhirnya hutang orang lain itu dapat dilangsaikan! Kita tak tahu jenis akal apa manusia yang telah meninggalkan hutang kemudian memberi tekanan kepada orang yang sanggup menyelesaikan hutang. Tuan Guru Nik Aziz dan parti PAS bukan menyelesaikan hutang PAS sebaliknya menyelesaikan hutang yang dibuat oleh orang lain. Bukan terima kasih yang diterima sebaliknya cercaan, tekanan, sekatan dan sebagainya.

3. Bagaimana, dalam masa yang sama, serentak -- sambil menyelesaikan hutang yang dibuat oleh orang lain, dapat pula memajukan Kelantan. Siapa yang kata Kelantan mundur? Hanya media arus perdana saja. Mengapa fokus "Bersamamu" TV3 hanya di Kelantan? Di Johor, negeri kuat BN (sekarang sudah tembus) tidak adakah orang miskin yang layak masuk "Bersamamu"? Sekali lagi membiarkan diperbodohkan oleh media. Asakan demi asakan media menjadikan linking: Kelantan mundur, Johor maju. Kita saksikan sendiri kebenarannya kerana kita bukan tergolong dalam golongan manusia yang boleh diperbodohkan oleh media (termasuk juga buku-buku mengarut).

Saya tak ada jawapan tetapi suatu hari nanti saya akan mempelajari seni pengurusan Tuan Guru Nik Aziz. Kalau betul saya nak belajar pengurusan, kepimpinan, team building, kerjasama, termasuk pengurusan kewangan, pelaburan, saya mesti belajar dari Tuan Guru Nik Aziz, bukan belajar dari orang yang perasan dan gila publisiti tetapi 'tong kosong'.

Kebolehan melangsaikan hutang itu tidak pernah disebut walau sepatah pun oleh media arus perdana. Tak pernah! Kalau pernah disebut, dunia akan kiamat dengan segera.

Mengapa dari Tuan Guru Nik Aziz? Kerana track record pengurusan beliau. Saya juga percaya 100 peratus bahawa Tuan Guru Nik Aziz menggunakan sistem pengurusan Islam yang telah digunakan oleh Rasulullah SAW. Jika sekiranya dari Islam, ia adalah yang terbaik sebab ia datangnya dari Allah SWT. Islam, bukan Islam Hadhari.

Suatu masa dahulu, Tuan Guru Nik Aziz bertanya kembali, "Tunjukkan kepada saya, apa kurangnya Islam?" Itu yang media arus perdana perlu jawab, bukan diputar belit. Saya ingin mengulangi pertanyaan Tuan Guru Nik Aziz -- "Tunjukkan saya walau hanya satu saja, kekurangan Islam. Satu saja, tak banyak." Kalau tersedia yang terbaik di depan mata tetapi enggan mengakui dan menggunakannya, manusia jenis apakah kita ini.

Kalau sistem pengurusan Islam menjadikan Kelantan berjaya membebaskan diri dari hutang yang dibuat oleh orang lain dengan jumlah yang amat banyak itu, dalam masa yang sama berjaya memajukan Kelantan dengan sumber yang amat terhad, dibebani dengan tekanan, sekatan, cemuhan, cercaan -- apa lagi yang boleh kita pertikaikan dengan sistem pengurusan Islam warisan Rasulullah datang dari Allah SWT. Kalau anugerah dan pemberian dari Allah pun dianggap buruk, jenis manusia apakah kita ini?

Saya memang tidak tahu, dan wajib tahu sistem pengurusan yang digunakan oleh pemimpin ternama Tuan Guru Nik Aziz. Mungkin saya hanya tahu siikit-sikit saja. Tahu hanya sikit-sikit ini amat bahaya kerana "Little knowledge is dangerous".

Mungkin, hanya mungkin, inilah sebahagian cara pengurusan Tuan Guru Nik Aziz. Saya mohon maaf terlebih dahulu jika saya tersilap. Saya hanya tahu sikit-sikit sahaja dan faham akan bahayanya tahu sikit-sikit:

1. Kepimpinan stail Rasulullah diamalkan oleh Tuan Guru Nik Aziz. Kepimpinan melalui teladan. Jikalau Tuan Guru berharap rakyat berjimat-cermat dan jangan membazir, Tuan Guru melakukan terlebih dahulu. Buktinya: masih tinggal di rumah sendiri bagi mengelakkan pembaziran, mengamalkan jimat-cermat dan kesederhaan. Tunjukkan kepada saya di mana keburukan atau kekurangan kepimpinan stail Rasulullah itu?

2. Imam Ghazali berkata, "Utamakan yang utama." Hutang adalah utama kerana di dalamnya ada hak orang. Apabila kita berhutang, ingatlah bahawa kita telah meminjam hak orang. Apabila kita meminjam hendaklah dikembalikan. Wajib. Jadi, menyelesaikan beban hutang (walaupun dibuat oleh orang lain) adalah utama. Kerana ia utama, maka utamakan. Apabila kita berusaha melangsaikan hutang, bermati-matian, menjadikan ia keutamaan -- sampaikan ada yang rela tak makan asalkan diutamakan menyelesaikan hutang, insyaAllah, rezeki kita akan bertambah. Dari mana sumber rezeki halal itu? Jangan dipersoalkan.

3. Bocor yang kecil boleh menenggelamkan kapal yang besar. Membazir kerja syaitan. Bersahabat dengan syaitan bukan amalan orang Islam. Mengurangkan pembaziran seterusnya menghapuskannya boleh membantu kemakmuran. Secara mudahnya: menghapuskan keburukan akan menaikkan kebaikan. Menenggelamkan keburukan akan menimbulkan kebaikan.

4. Seekor burung di tangan lebih berharga dari dua ekor burung di dalam semak. Dengan menjimatkan apa yang berada di tangan lebih mendatangkan faedah dari mengharapkan yang tidak pasti dari luar sana. Kembali kepada menyemak kebocoran dan pembaziran di sana-sini. Ditampal kebocoran itu barulah berjaya dalam berjimat. Apa yang dijimatkan itu digunakan untuk pelaburan. Jangan kata ini ajaran dari bukan Islam, buku dan seminar mengarut. Ini adalah ajaran Islam yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam pentadbiran, 1,500 tahun dahulu.

5. Bijak menggandakan wang. Hasil dari berjimat-cermat, menampal kebocoran di sana-sini, dilaburkan. Tidak ada yang sebijak pelabur Islam. Rasulullah sendiri adalah usahawan dan pelabur yang bijaksana, sampaikan bangsawan ternama, Siti Khadijah kagum dengan kebolehan bisnes dan pengurusan Rasulullah yang mendapat didikan bisnes sejak umur 12 tahun dari datuknya. Sebahagian besar 10 sahabat yang dijamin masuk syurga adalah jutawan dan usahawan yang sangat bijak dalam pengurusan dan pelaburan. Jadi, masih lagi sangsi dengan sistem pengurusan Islam?

6. Kebaikan akan menarik kebaikan. Dalam masa yang sama, keburukan akan menarik keburukan. Kebaikan yang terpancar dari pengurusan Tuan Guru Nik Aziz menarik kebaikan. Berduyun-duyunlah datang melabur di Kelantan. Ini di'blackout'kan oleh media. Atau yang paling pasti media akan mengatakan melabur di Kelantan merugikan. Tahukah anda, salah satu outlet McDonald yang begitu maju ada di Kota Bharu? Ada 2 outlet di miliki oleh orang yang sama. Itu hanya contoh kecil. Pendek kata media kerajaan tidak pernah penat dalam mencari kelemahan dan keburukan Kelantan sebaliknya terus menutup mata terhadap kebaikan dan kekuatan Kelantan. Sesuaikan dengan peribahasa tidak logik ini, "Kuman di seberang laut kelihatan, gajah di depan mata tak nampak."

7. Apabila meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, tunggulah kehancurannya. Tuan Guru Nik Aziz benar-benar mengikuti sabda junjungan tersebut. Kerana itu anggota exco Kelantan adalah kalangan yang terpilih kerana merit, bukan kerana kronisme. Satu lagi ikutan Tuan Guru Nik Aziz ialah, "Pengurus yang bijak sentiasa dikelilingi oleh pengurus-pengurus yang juga bijak." Bukankah itu amalan Islam? Lihat kembali sejarah pentadbiran Rasulullah.

8. Amalkan Islam, nescaya makmur! Bukan saya yang kata begitu tetapi Rasulullah. Islam, bukan Islam Hadhari. Sejak pemerintahan PAS mulai tahun 1990, semakin hari Kelantan semakin makmur. Terkini, ditemui sumber gas asli yang dikatakan mampu bertahan sehingga 500 tahun lagi di perairan Kelantan. Sebelum ini ditemui lombong emas di Kelantan. Jangan harap media akan menyiarkan penemuan-penemuan tersebut.

Akhirnya, ingatlah, apabila kita memburuk-burukkan, memfitnah orang, keburukan dan fitnah itu akan kembali kepada kita. Percayalah. Sebaliknya, yang difitnah, diburuk-burukkan, dicerca semakin bertambah maju. Media mencerca dan memburuk-burukkan Kelantan, memutar belit fakta. Apa jadi? Keburukan kembali kepada media. Hanya orang bodoh dan rela diperbodohkan saja percaya kepada media kerajaan. Cercaan, kutukan, keburukan, kebencian kembali kepada media kerajaan. Yang dikutuk, dicerca, dihina -- negeri Kelantan di bawah kepimpipinan cemerlang, gemilang dan terbilang Tuan Guru Nik Aziz makin bertambah makmur. Makin menang besar!

Sebagai penutup, hayati dan amalkanlah ayat al-Quran ini yang dibacakan oleh menantu Tuan Guru Nik Aziz, yang bernama Dr. Nik Yusri pada khutbah Jumaat beberapa minggu lepas:

Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri (Al-Isra':7)

Kebaikan yang kita lakukan akhirnya akan kembali kepada diri kita sendiri, berganda-ganda. Sama seperti yang Tuan Guru Nik Aziz lakukan di Kelantan. Kebaikan yang dilakukan kembali kepada rakyat Kelantan berganda-ganda banyaknya.

Jangan sekali-kali melakukan kejahatan dan keburukan kerana ia akan kembali kepada kita berganda-ganda banyaknya. Contohnya media kerajaan. Sekarang saksikan sendiri, hasil dari memburuk-burukkan pihak lain (tanpa tergerak hati hendak berhenti dan bertaubat), ke mana kembalinya sekarang ini segala rupa cercaan, kutukan, keburukan, kebencian? Siapa yang paling banyak dipersalahkan akibat kekalahan besar BN? Media! Media menyiarkan cerita merapu, karut, berat sebelah, memburuk-burukkan. Jadi rakyat memilih media yang tepat dan tidak mengampu. Di mana? Media bebas di internet. Kesempatan ini sudah tentu diambil oleh BA untuk berkempen melalui internet, apabila rakyat mula beralih kepada media internet. Media parti/kerajaan sangkakan rakyat masih berada di tahun 80-an yang boleh dicucuk hidung dengan berita-berita mengampu dan putar belit.

Jadi, mana satu pilihan? Orang yang bijak akan memilih kebaikan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ianya menjadi amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang yang soleh.

» Imam Syafie «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu