Apabila lampu gemerlapan, perangkap sedang dipasang
Posting pada:  17 Feb 2008 ( 1016 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sebagaimana yang didiga sejak awal, lampu menjadi gemerlapan setiap 4 tahun sekali. Dan sebagaimana biasa, perangkap sedang dipasang, apabila lampu sedang bergemerlapan.

Di dalam buku saya "Hendak Susah Ataupun Senang" ada tertulis kata-kata tersebut -- Apabila lampu gemerlapan, perangkap sedang dipasang." Buku yang ditulis pada tahun 1998 itu memberikan contoh begini: Selama ini, amat perit hendak mendapatkan makanan, tiba-tiba, pada suatu hari, Sang Harimau terlihat seeekor kambing gemuk, jinak, diam saja, menunggu dibaham. Harimau memang lapar dan tidak tahu apa-apa tentang gemerlapan, lalu membaham kambing jinak tersebut. Sekelip mata, harimau masuk ke dalam perangkap. Bila lampu sedang bergemerlapan....

Bila anda rasakan ada saeuatu yang tak kena, memang ada sesuatu yang tak kena. Percayalah dengan gerak hati. Jika tidak percaya dengan gerak hati sendiri, gerak hati siapakah yang hendak dipercayai? Awas, jika terlalu melebih-lebih, pasti ada perangkap sedang terpasang.

Jika anda selalu menonton filem aksi atau penyiasan (sudah tentu bukan filem Melayu), selalunya akan kedengaran begini:

"Nanti dulu, rasa ada yang tak kena."

"Kenapa. Apa yang tak kena?"

"Terlalu mudah. Tidak sepatutnya terlalu mudah begini."

Jika tidak seperti biasa, sama ada terlalu mudah atau terlalu gemerlapan, sahlah perangkap sedang dipasang. Awas, jangan membiarkan diri anda terperangkap. Kita diberi akal, jadi mengapa tidak mahu menggunakan anugerah Allah SWT yang amat besar itu.

Kembali kepada buku "Hendak Susah ataupun Senang?" itu teringat saya kepada penerbit pertama buku tersebut, Albert Lim.

"Kamu sudah banyak menulis buku yang berat-berat. Boleh tulis satu buku yang ringan?"

"Saya tak pandai" Memang penulis selalu syok sendiri, perasan tulisan sendiri yang paling hebat, padahal buku adalah sama saja dengan produk lain. Seperti saya yang degil lebih suka menulis yang berat sedangkan penerbit mahukan tulisan yang agak ringan.

Penulis adalah kuli pembaca. Pembaca yang menyukai dan menentukan kelarisan buku atau longgokan buku.

Buku yang tidak dikehendaki oleh pembaca akan menjadi longgokan dan sama dengan kisah, "Tapi, anjing tak suka..." Kisahnya, diringkaskan: syarikat pengelur makanan anjing mengeluarkan belanja berjuta-juta ringgit untuk kempen makanan anjing yang baru. Mesyuarat 'post-mortem' diadakan untuk mengetahui keberkesanan kempen tersebut kerana produk tersebut masih amat lesu permintaannya. Berkali-kali mesyuarat peringkat pemasaran membincangkan hanya keberkesanan kempen dan iklan. Seorang eksekutif mengangkat tangan dan berkata dengfan ringkas, "Tapi anjing tak suka makanan tersebut."

Tapi pembaca tak suka buku tersebut. Penulis hanya perasan dan syok sendiri dengan publisiti dan peragaan buku tersebut di kedai-kedai buku, tetapi bila melihat ke dalam stor penerbit atau menerima laporan pasaran dari pengedar yang silap-silap boleh menyebabkan penerbit terkena strok!

Lebih malang lagi, pembaca suka 'jamak'. Kalau satu penulis menulis 'buku angin' yang 'main agak-agak' dijamak bahawa semua buku dan penulis begitu.

Saya tak ada jawapan bagaimana mengatasinya. Yang saya tahu, "Beri yang terbaik." Itu saja.

Kerana itu, bila Albert mencadangkan buku yang ringan, saya agak keberatan.

Kemudian Albert memberikan saya buku, "Chicken Soup..." Saya mengambilnya dengan separuh hati. "Lebih kurang seperti ini..."

Lalu, terpengaruh dengan gaya Jack Canfield, saya pun menulisnya. Ringan tetapi berat. Ringan tetapi bukan angin. Ringan tapi sarat dengan fakta. Begitu kehendak Albert.

Lahirlah buku "Susah & Senang" yang tiba-tiba menjadi best-seller pada masa itu. Bukan saya hendak mendakwa, tetapi rasanya itulah buku pertama di Malaysia yang ditulis sedemikian rupa. Jika bukan yang pertama, ia adalah yang kedua selepas "Galeri Multi-Level Marketing". Ringan tetapi penuh dengan fakta.

Dan, ada juga makhluk yang meniru gaya penulisan ringkas, ringan tetapi fakta seperti buku "Hendak Susah Ataupun Senang". Saya tak tahu apa itu 'santai' dalam penulisan sebab sepanjang saya mempelajari penulisan tidak ada cara-cara menulis secara santai menghasilkan tulisan yang santai. Saya hanya diajar cara menulis dengan ringan. Walaupun ringan hendaklah padat dengan fakta, bukan main agak-agak, kelentong dan merosakkan industri buku keseluruhannya.

Tulislah seringan mana sekalipun, asalkan faktanya tepat dan berilmu. Jangan sekali-kali merosakkan otak pembaca dengan 'main agak-agak'.

Kembali kepada lampu gemerlapan yang terjadi di depan mata terang-terangan 4 tahun sekali itu. Mari kita semak semula, sudahkah ia terjadi di tempat anda? Jika belum terjadi, tunggu, pasti akan terjadi juga. Jika terjadi, awas, perangkap sedang dipasang:

1. Selama ini geli, jijik atau tak tahu pun wujudnya pasar di situ, tiba-tiba, masuk ke dalam pasar bersalam-salaman dengan penjual dan peniaga. Kita akan terperangkap jika membiarkan kita diperangkap.

2. Selama ini tidak pernah tanggal kot dan tali leher, tiba-tiba pakai 'baju rakyat'. Perangkap menggunakan baju.

3. Sudah berpuluh tahun menuntut geran dan sebagainya tiba-tiba mendapat geran tanpa susah-payah dalam majlis besar-besaran. Majlis akan batal jika sekiranya pihak TV tidak dapat datang.

4. Selama 4 tahun tak pernah nampak muka, tiba-tiba datang merasmikan event yang remeh-temeh dan kecil-kecil belaka seperti merasmikan Tadika, sukan tahunan sekolah rendah. Selama ini amat berat untuk dijemput merasmikan event kecil seperti merasmikan surau, tiba-tiba saja menjadi rajin untuk event yang sangat kecil dan tidak ada peluang untuk masuk TV atau surat khabar.

5. Tiba-tiba jalan yang masih elok dan boleh tahan 10 tahun lagi diturap. Terperangkap lagi...

6. Pendek kata, tiba-tiba semuanya menjadi mudah, mewah, gemerlapan... Awas, ada perangkap di sebaliknya.

Kita semua hanya mengulang sejarah kerana itu kita disuruh belajar dari sejarah. Kerana itu ada mata pelajaran sejarah di sekolah. Kini panggilannya Sejarah; dulu Tawarikh.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Saya tak mahu ia terus kekal sebagai impian sahaja

» Tony Fernandez «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu