Gerun dengan pesaing
Posting pada:  08 Feb 2008 ( 1082 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Secara mudah begini: jika gerun dengan pesaing, jangan buat apa-apa. Itu saja. Duduk diam-diam lebih baik daripada gerun dengan pesaing. Ini kerana pesaing bukan untuk digeruni sebaliknya untuk disyukuri. Setiap pesaing yang telah dan bakal wujud di muka bumi ini akan membawa rahmat


Dua bank utama yang bersaing, sebelah-menyebelah, kedua-duanya makin bertambah maju dari sehari ke sehari.

Jangan buat apa-apa jika takut pesaing kerana di setiap sudut bumi ini bahkan di angkasa sana, bukan saja banyak tetapi dipenuhi dengan persaingan. Cuma persaingan sihat atau tidak sihat (sakit). Bukan sekadar di bumi, di angkasa sana penuh dengan persaingan. Banyak negara yang bersaing untuk menakluk angkasa. Malaysia pun tidak mahu ketinggalan, menghantar wakil, duduk sebagai penumpang sambil membantu Russia memperolehi dana untuk ke angkasa. Seorang sahabat berkata, "Katalah RM90 juta itu digunakan untuk membangunkan usahawan dari latihan hinggalah modal, alangkah baiknya berbanding menghantar seorang penumpang demi untuk mencipta perkataan baru, "Mengangkasakan". Atau unjtuk membantu Sekolah Agama Rakyat jauh lebih mulia berbanding untuk mendapatkan slogan, "Mengangkasakan Bangsa."

Tanpa perlu "Mengangkasakan Bangsa", negara India baru-baru telah mencipta kereta yang seakan-akan kereta Smart Fortwo, keluaran TATA yang termampu dibeli oleh semua golongan dan sudah tentu akan dieksport. Bagaimana pula dengan bangsa yang telah "diangkasakan"?

Kalau sudah ada harta melebihi RM1 juta (liabiliti lingkungan 50%) sudah boleh dipanggil jutawan. Jika sudah ke angkasa bolehlah dipanggil angkasawan. Kalau sudah ke Wisma Angkasa di Jalan Ampang? Bagaimana pula kalau sudah menjadi ahli Koperasi yang bernaung di bawah Angkasa? Boleh disebut ahli koperasi angkasawan? Bagaimana kalau sudah ke Kutub Utara? Nak dipanggil apa? Kutuban? Kalau sudah menyelam di laut dalam pula? Lautan?

Berbalik kepada pesaing. Di ceruk mana di muka bumi ini ada persaingan dalam apa saja bidang dan kategori. Bahkan di rumah ibadat seperti masjid, surau pun ada persaingan -- berebut jawatan pengerusi dan AJK.

Jadi bolehkah anda menyenaraikan apakah bidang dalam kehidupan ini yang tidak ada pesaing? Memang senarai anda akan kosong sahaja. Jadi, perlukan berasa gerun? Rasanya tidak perlu sama-sekali kerana walau bagaimana gerun sekali pun tetap anda akan menemui persaingan. Semakin 'hot' satu-satu bidang, kategori, bisnes, semakin sengit persaingan. Tak percaya? Kalau dulu, pada malam Isnin, atau petang Ahad, di depan Maju Junction Kuala Lumpur saya suka melihat Mat Rempit berlumba bersaing. Saya anggap ia sebagai 'hot' kerana ramai benar Mat Rempit yang bersaing. Kini tidak tahu di mana mereka merempit. Apa yang sangat menghairankan saya, kereta pun berlumba di jalan raya tetapi di pandang sepi, bebas tanpa tindakan. Kalau pelumba motorsikal di jalan raya dipanggil rempit, apa pula gelaran pelumba haram kereta di jalan raya? Ada pelumba halal?

Bahkan, oleh kerana persaingan adalah perlu dan rahmat, juga penting, ada perniagaan yang seolah-olah sengaja mencari persaingan. Lihat saja industri makanan segera. Perhatikan, KFC dan McD sentiasa sebelah-menyebelah di mana-mana saja, terutamanya di dalam kompleks. Apa yang boleh dipelajari?

Sebagaimana biasa, manusia memang sukakan persaingan. Tidak ada manusia yang mahu kalah. Masing-masing berusaha mahu mengatasi pesaing. Proses berusaha mengatasi pesaing inilah yang yang membawa kepada kemajuan. Segala usaha dilakukan untuk mengatasi pesaing (jika persaingan yang sihat) akan menjadikan usaha lebih maju lagi.

Buktinya, perhatikan saja, contohnya restoran di tempat anda, jika ia monopoli, tunggal. Anda boleh membuktikan sendiri. Bandingkan dengan tahun-tahun dahulu, makin lama makin merosot. Makanan dan servis makin 'cincai'. Bahkan, pekerja termasuk taukenya, makin biadap. Mengapa? Kerana tauke dan pekerjanya beranggapan, "Ke mana lagi mereka nak pergi? Aku buat macam mana sekalipun, mereka tetap datang sini." Nampak? Bandingkan jika ada pesaing -- terdengar khabar angin bertiup kencang akan dibuka restoran baru berhampiran, apa agaknya tindakan pekerja dan tauke restoran tersebut. Jadi, perlu atau tidak persaingan? Penting atau tidak persaingan jika mahukan kemajuan?

Tanpa perlu "Mengangkasakan Bangsa" bisnes-bisnes besar bersaing dengan sihat dan akhirnya sama-sama maju. Di Mutiara Damansara ini, jika anda bertanya kepada tauke-tauke hypermarket tentang "mengangkasakan bangsa" mereka akan bertanya kembali, "Apa barang itu?," tetapi lihatlah hypermarket bersaing dengan sihat dan sama-sama maju. Sama-sama mengaut jutaan ringgit setiap hari.

Semakin 'hot' satu-satu bisnes, semakin banyaklah persaingan. Untuk membuktikannya, pergilah ke Pertama Kompleks atau mana-mana kompleks, betapa ramainya yang menjual telefon bimbit, begitu sengit persaingan, namun setiap satu kiosk telefon bimbit tersebut terus maju ke depan. Persaingan adalah rahmat jika ia dianggap rahmat.

Semua bidang bisnes yang 'hot' seperti restoran, kontraktor, penerbitan, kedai nombor, memang persaingannya sengit. Bisnes yang kurang 'hot' seperti kedai keranda Cina atau kedai batu nisan memang tidak ada atau amat kurang persaingannya. Suatu hari saya lalu di tepi masjid terdengar penceramah berceramah, "Kalau cari menantu, jangan cari tukang buat batu nisan, sebab hatinya keras..." Sampai sekarang saya tak faham apa maksud penceramah itu.

Perbomohan pun boleh dikira persaingan yang sengit, lebih-lebih lagi bila hampir sangat dengan pilihanraya. Siapa yang lebih kelentong dialah bomoh yang lebih laris. Kalau tidak 'boasting' sukar dapat 'market'.

Jadi bagaimana supaya persaingan boleh menjadi rahmat bukan malapetaka? Perspektif. Cari kebaikan yang tersembunyi di sebalik persaingan tersebut. Perspektif yang betul: "Apa kebaikan yang tersembunyi di sebalik persaingan ini?" Perspektif yang salah: "Apa malapetaka yang jelas dan tersembunyi di sebalik persaingan ini?"

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Sesungguhnya Allah dan para malaikat, serta semua makhluk di langit dan di bumi, sampai semut dalam lubangnya dan ikan (di lautan), benar-benar berselawat mendoakan kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

» Sabda Rasulullah s.a.w. «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu