Bila tiba hari raya.... (Cina)
Posting pada:  06 Feb 2008 ( 1101 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Esok Raya Cina. Tahun baru mengikut kiraan kaum Tionghua di seluruh dunia. Jadi esok adalah perayaan merayakan tahun baru, buku baru, azam baru, peluang baru. Esok adalah hari cuti dan berehat bagi kaum Cina yang nampaknya tak pernah berhenti bekerja itu dan berhimpun mereka sekeluarga.

Petang ini, lingkungan pukul 6 petang kaum Cina akan mengikuti ajaran Rasulullah SAW. Ajaran Islam menggalakkan supaya makan sekeluarga bersama-sama dan seboleh-bolehnya sebelum Maghrib supaya makanan dapat dihadam dengan sempurna sebelum pukul 8 malam.

Bila tiba Hari Raya Cina, pasti terkenang sahabat-sahabat Cina tempat saya menimba ilmu sejak dahulu -- Albert Lim, Azman Ching, Gan Ah Seng, Juliana Yun, Janet Pan. Dari mereka saya belajar. Secara mudah disimpulkan: mereka mengikuti ajaran Islam (tolak Rukun Islam dan Rukun Iman). Setuju? Ramai yang tidak setuju.

Sebab itulah saya paling tidak setuju dengan istilah "Mengkayakan Cina". Apa masalahnya? Masalahnya, kejayaan mereka dibenci, sedangkan sepatutnya dicontohi. "Cina kuat menipu" -- kata setengah orang. Betulkah? Pastikan sekali lagi: Melayu atau Cina yang kuat menipu sekarang ini? 'Chinaman' mungkin, tapi mana ada 'Chinaman' sekarang ini? Tapi, di mana-mana pun kelompok manusia dan kaum pasti ada yang positif dan negatif, sebab itu adalah manusia. Persepsi kita kadang-kadang menipu kita. Dalam persepsi kita, yang berjubah, berniqob dan berserban itu baik belaka. Mengikut persepsi kita asal Arab itu kuat beragama dan Islam. Mengikut persepsi dan branding, asal tulisan Jawi itu halal. Mungkin dalam Islam Hadhari ada persepsi dan branding begitu, sebab RTM pernah menyiarkan lagu dalam bahasa Arab, perempuan seksi memakai skirt ketat, dedah dan nampak lembah dan lurah menari menyanyi menyebut, "Anta Muhammad Habibi...." Islam? Mungkin Islam Hadhari. Dalam masa yang sama, dilarang keras memakai kopiah bila masuk TV RTM. Amat digalakkan memakai songkok UMNO. Kumpulan nasyid digalakkan tidak memakai apa-apa kopiah atau songkok. Nasyid perempuan digalakkan. Kita tunggu, mungkin sedikit masa lagi nasyid perempuan tidak dibenarkan memakai tudung.

Berserban, berniqob, berjubah mengikut perspektif kita adalah insan terpilih, insan mulia yang bersikap dan berakhlak mulia. Tapi mengapa di dalam Arqam dan Rufaqa ramai kaki kelentong dan bermacam-macam jenis kaki? Jawabnya ialah manusia -- mana-mana kelompok manusia kekal ada positif dan negatif. Kadang-kadang perspektif dan imej menipu kita. Hukum Seimbang.

Apa perspektif anda dengan Rock? Dan apa perspektif anda tentang Nasyid? Secara automatik akan mengatakan, "Rock jahat", "Nasyid baik." Setuju? Memang sah kita selalu tertipu dengan perspektif dan imej. Bagi saya yang bergaul dengan makhluk dalam kedua-dua genre muzik itu faham benar dan berani mengesahkan bahawa perspektif menipu kita. Kedua-duanya kekal sama, ada yang positif dan negatif. Kumpulan Rock selalunya lebih bersatu dan bantu-membantu. Bila berbincang dengan mereka, nampak sangat pemikiran mereka yang luas, perbincangan menjangkau kepada isu-isu yang jauh. Pemikiran mereka luas, walaupun pakai seluar koyak, rambut panjang dan kelihatan 'ganas'. Berbeza dengan kumpulan nasyid yang sejak sekian lama memang kuat kelentong (tak tahu apa itu aset dan liabiliti, sibuk dengan katanya ada aset RM12 juta), kuat menipu, jatuh-menjatuh, memfitnah, mengumpat. Serba lengkap. Bagaimanapun, sebagaimana biasa dalam kelompok manusia pasti ada yang positif dan tentunya ada yang negatif. Kumpulan nasyid yang educated seperti Inteam, tidak pula mengamalkan sikap-sikap negatif itu.

Tapi sekarang ini amat sukar hendak mengesahkan apa itu nasyid. Miwarna itu nasyid? Yaseen? Waheeda? Entah, saya pun semakin keliru antara nasyid dengan bukan nasyid.

------

Mengapa sibuk sangat mengatakan mengkayakan Cina? Kenapa tak sibuk mengkayakan India apabila di rumah ada Astro dan gunakan Maxis. Mengapa tidak sibuk mengkayakan Jepun jika di rumah, dari depan sampai dapur adalah produk Jepun, sampaikan di luar pintu pun ada selipar Jepun dan kereta Jepun. Pergi ke Sungai Way dah ditakluk oleh Jepun, pergi ke Teluk Panglima Garang dah tak garang lagi -- yang ada Teluk Panglima Jepun. Kalau ditanya orang tua yang masih hidup sejak zaman Jepun, pasti mengesahkan betapa ganasnya Jepun, tetapi itulah yang dikayakan sampai sekarang. Soalan berterusan mengapa mengkayakan Siam, orang-orang Siam yang menjual tomyam di Malaysia? Kenapa beli barang-barang British lagi? Kenapa beli bawang, tomato Holand?

Jadi, tak adillah kalau kita hanya sibuk mengkayakan Cina sedangkan hakikatnya kita mengkayakan semua kaum dan bekas-bekas penjajah yang kejam.

Baru-baru ini saya mendaftar Beniso Publications Sdn Bhd. Merayau utara dan selatan bertanyakan harganya. Harganya berbagai-bagai. Ada yang menawarkan RM2,000 (minimum) dan RM2,500 (maksimum). Kesemua mereka Melayu. Ada yang mengenakan RM60 hingga RM80 sebulan untuk 'secretarial fee'. Penemuan saya berakhir bila terjumpa satu syarikat Cina yang mengenakan bayaran sebanyak RM1,600 sahaja dengan 'secretarial fee' sebanyak RM50 sebulan! Jadi, bagaimana kita nak tolong Melayu? Memang nak tolong bangsa kita sendiri tetapi akhirnya yang terkena kita sendiri. Saya hampir terpelanting bila mendapat jawapan, "Tiga ribu ringgit" semasa bertanya tentang pendaftaran MOF. Bunyinya memang begitu susah nak mendaftar. Itulah akibat dari berasaskan dengar-dengar. Sekali hentak RM3,000.00!! Lalu saya mendaftar sendiri, isi borang online dan hantar dokumen sokongan ke Putrajaya. Hanya RM450 untuk 3 tahun! Jadi, bagaimana harus kita tolong Melayu bila akhirnya, berkat pertolongan kita, bahana kembali kepada kita?

Reaksi pertama bila saya memberitahu seseorang ialah, "Kenapa Cina?" Saya tanya balik, "Kenapa kalau Cina?" Tak ada jawapan. Oleh kerana tak ada jawapan saya menyoal kembali, "Kalau Melayu kenakan RM2,500, Cina pula kenakan RM1,600, yang mana satu pilihan?"

Bagaimana kaum Cina boleh maju? Sebab mereka mengikut ajaran Islam (tolak Rukun Islam dan Rukun Iman). Ajaran Islam adalah yang terbaik di antara yang terbaik. Allah tidak pernah mengatakan bahawa ajaran Islam untuk orang Islam sahaja. Sesiapa pun boleh mengamalkannya. Sebagaimana yang dijanjikan sesiapa pun yang mengamalkan ajaran Islam, sama ada orang Islam, bukan Islam, kafir zindik, syaitan, iblis -- akan memperoleh kebaikan. Kejayaan adaalh kebaikan.

Antara ajaran Islam yang diamalkan oleh sahabat-sahabt keturunan Cina saya itu ialah, "Rajin, menepati janji, dipercayai, mengamalkan Wal Asri, tidak berputus asa, meneruskan hingga menemui kejayaan, mengeratkan silaturrahim, memudahkan jalan orang lain." Itu pengamatan saya. Bukankah itu semua ajaran Islam. Tetapi sebagaimana yang saya katakan tadi, dalam kelompok manusia apa saja bangsa dan kaum pasti ada yang positif dan negatif.

Pengajaran berharga dari mereka tetap saya ingati:

1. Albert Lim: "Tak mati pun... Buat saja, jangan fikirkan tak boleh. Buat, tak mati pun." Albert Lim seorang yang gigih dan tabah. Perniagaan kedai buku beliau yang terletak di atas Kompleks Kotaraya, Kuala Lumpur, kedai buku yang terbesar pada tahun-tahun hujung 90-an terpaksa tutup dan menanggung hutang yang banyak. Tersungkur jatuh, kawan-kawan menghilang. Bangun semula dengan bisnes seminar. Kini menjadi pengendali seminar bahasa Cina yang terbesar di Malaysia. Seorang yang pemurah dan suka membantu orang, terutamanya saya.

2. Azman Ching: "Kalau nak susah pun biarlah susah 3 tahun sahaja, takkan nak susah sampai 30 tahun." Azman Ching mendalam. Bisnesnya hanya satu saja, CNI. Bukan sehari dua tetapi sudah lebih 15 tahun. Pernah tersungkur habis, namun bangun semula dengan kekuatan baru. Kini menjadi ikon dalam industri MLM. Bukan senang nak jadi ikon. Tidak pernah sekalipun saya melihat beliau berputus asa. Gambar helang mencengkam tikus menjadi isnpirasi. Walaupun 99.9% nyawa tikus itu akan tamat tetapi tikus tersebut masih meronta. Never ever give-up. Seorang yang budiman dan banyak membantu siapa sahaja teruitama sahabat-sahabatnya dari segi kewangan. Pada bila-bila masa saya minta bantuan termasuk kewangan, akan muncullah di depan pintu membawa wang. Sengih lagi. Baru-baru ini dia menelefon, "Kau dah kaya ke? Lama tak mintak tolong aku." Erkkk.... Setiap kali menelefon pasti mendoakan saya, "Hey orang kaya..." katanya.

3. Gan Ah Seng: "Kalau lunak pada kehidupan, maka keraslah kehidupan. Kalau kita keras pada kehidupan, lunaklah kehidupan kita. Seribu tahun dulu rahsia kejayaan adalah rajin. Seribu tahun akan datang pun rajin kekal menjadi rahsia kejayaan." Maknanya, kalau kita sambil lewa, malas-malas, bertangguh (kesemua itu dikategorikan lunak), maka keraslah kehidupan kita. Kita menjadi susah, banyak hutang dan sebagainya. Gan Ah Seng sangat gigih berusaha dan sangat rajin. Dari menyewa bilik kini tinggal di dalam rumah bernilai RM3.5 juta di dalam Tropicana. Hanya satu yang dilakukan oleh Gan Ah Seng -- mendidik orang supaya sukses. Itu saja yang dilakukan sejak tahun 70-an.

4. Juliana Yun. "Kalau kita membantu orang lain kaya, sudah tentu kita menjadi kaya." Juliana Yun tidak boleh dipisahkan dengan Kosmetik Belina. Bahkan dia membesar bersama syarikat jualan langsung Belina sejak 25 tahun dahulu. Setahun 1% sahamnya. Bila telah 10 tahun beliau mempunyai saham sebanyak 10%. Akhirnya bila pengasas syarikat tersebut bersara, Juliana Yun diberi opsyen untuk membeli keseluruhan syarikat jualan langsung berasaskan kosmetik yang kukuh itu. Orangnya berhati lembut, sangat suka membantu orang dalam banyak segi. Taat beragama. Sentiasa mengenang budi dan tinggi budi bahasa.

5. Janet Pan: "Bila-bila masa boleh kahwin, yang penting sukses terlebih dulu." Itu kata Janet Pan yang suatu masa dulu menjadi sahabat karib saya semasa Belina di Sungai Wang Plaza, hinggakan ramai yang mengatakan kami pasangan bercinta. Sangat rajin dan gigih berusaha. Sebagaimana mentornya, Juliana Yun, Janet gigih berusaha supaya suatu hari nanti dia dapat menguasai sebahagian dari syarikat kosmetik Belina. Atau namanya akan diabadikan dalam sejarah Belina Cosmetic.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Orang yang bijak akan menjadikan cemuhan sebagai perangsang. Orang yang malang akan menjadikan cemuhan sebagai penamat

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu