Carilah Apa Nak Dicari... Sayang Salmah
Posting pada:  31 Jan 2008 ( 1966 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Carilah apa nak dicari...
Alang-alang bertukang terbuang kayu,
Alang-alang cerdik binasa badan,
Alang-alang sefaham, kacau negeri,


Dari mana dialog ini? Dialog ini dari filem "Sayang Salmah". Filem ini diterbitkan pada tahun 1995 dan kalau tak silap saya, inilah antara filem Melayu baru yang saya suka selain, "Sayang Anakku Sayang" dan "Rock". Yang lain? Saya kena bawa plastik muntah jika menontonnya.

Yang paling tak tahan dalam filem Melayu baru ialah "filler" dan hilang punca. Cerita ke mana, hujung ke mana.

Sayang Salmah rasanya, kekuatannya bukan pada ceritanya. Apa yang nak diketengahkan pun masih tak faham. Nak kata mengetengahkan perjuangan menuntut kemerdekaan pun banyak silap faktanya dan seumpama selingan. Bukan UMNO sahaja yang menuntut kemerdekaan. Ada 13 parti politik turut sama menuntut kemerdekaan.

Nak kata mengenai salah didikan pun agak meleset sebab ada imbasan semasa kecil bagaimana Mr Jabar yang terpengaruh dengan kehidupan British menasihati agar agama dijadikan asas pendidikan.

Nak kata Salmah yang tak suka Hassan yang gila pun seperti tidak ditonjolkan sangat. Apa, mengapa, bila, bagaimana Salmah boleh membenci Hassan adalah samar-samar.

Yang menariknya (bagi saya) filem ini ialah pelakon-pelakonnya yang sememangnya boleh berlakon. Bukan disebabkan oleh publisiti sebaliknya memang boleh berlakon dan layak dipanggil Aktor dan Aktres. Lakonan mereka natural dan amat berkesan. Lakonan Sidi Oraza, Azhar Sulaiman, Fauziah Nawi memang tak boleh dipertikai. Kecantikan dan kebolehan lakonan Norish Karman yang memegang watak Salmah, pun tidak boleh dipertikaikan. Cuma di sini, berlaku kekeliruan. Siapa sebenarnya watak utama? Salmah atau Hassan? Dan ada juga watak yang tak perlu sama sekali dan hanya mencacatkan jalan cerita. Apa perlunya Sabri Yunus dalam filem ini?



Sayang Salmah adalah filem 'period', sekiranya pengarah seni tidak berhati-hati, akan cacatlah filem ini. Keseleuruhan setting nampak 'ok' kecuali ada 1 atau 2 'prop' yang ditonjolkan supaya menampakkan tahun-tahun hujung 50-an. Saya rasa tak perlu, sebab bila kita terlalu menonjolkan, ia akan kelihatan tidak natural. Contohnya, seterika lama (guna arang atau tempurung kelapa) dijadikan 'foreground' sedangkan jika diletakkan 'background' lebih realistik.

Muzik latar filem ini, gubahan Adnan Abu Hassan memang layak diberi pujian kerana muzik itu boleh membawa kepada masa lalu, kepada suasana tahun-tahun sebelum dan selepas merdeka.

Mengapa hari ini saya menjadi pengulas filem pula? Ada beberapa sebab yang hendak saya kaitkan dengan filem Sayang Salmah ini terutamanya ayat, "Carilah Apa Nak Dicari..."

Suatu masa dulu saya pernah bercita-cita terlibat dalam filem. Sebab itu saya mempelajari sebahagian aspek perfileman dengan penuh minat. Syukur pada Allah sebab saya tidak terlibat dan saya amat yakin Allah tidak mengizinkan kerana sayangkan hambanya yang bernama Razzi ini.

Saya hanya belajar sebahagian kerana itu tepatlah sebagaimana dialog, "Alang-alang cerdik binasa badan." Belajar mesti sampai khatam bukan hanya sebahagian. Sebab itu pengetahuan saya tentang pembuatan filem adalah antara "tahu dengan tak tahu" sebab saya hanya belajar sikit-sikit atau "alang-alang cerdik." Little knowledge is dangerous.

Apa pun, jika hendak belajar biarlah belajar sampai tuntas, jika tidak akan binasa badan. Contohnya, hendak bisnes mestilah mempelajari tentang pengurusan (POSDC) sampai tuntas, jika tidak akan binasalah bisnes, ibarat menaiki sampan tetapi tidak tahu berdayung. Tapi berapa orangkah yang belajar bisnes sebagaimana Rasulullah belajar (teori dan praktikal) bermula dari umur 12 tahun?

Pada tahun 1995, saya menonton filem ini berulang-ulang bersama anak sulung saya yang baru berumur 5 tahun. Sampaikan dia hafal dialog-dialog dalam filem ini, seperti, "Bangkitlah... marilah kita sama-sama..."

Perangai saya memang agak pelik pada masa itu dan sekarang. Sebelum menulis satu-satu buku saya akan menonton filem yang saya sukai berulang-ulang kali atau merayau tak tentu arah ke hulu-hilir. Atau 'chatting' di YM sampai seperti orang gila. Sesudah sampai puncaknya, berhenti dan mula menulis. Jangan gelak sebab setiap penulis ada perangai masing-masing.

Kaitan lain ialah pencarian filem ini. Saya memang lama mencari filem ini untuk ditonton semula. Lama benar saya mencarinya barulah saya menemui semula, di kedai yang sama saya menemui semula cerita "Papa Can You Hear Me Sing."

Yang lebih menariknya ialah Cina kedai tersebut yang begitu mengambil berat terhadap pelanggan. Saya memesan cerita ini dan beliau mencarikannya. Mengapa? Mudah sekali. Kerana pelanggan adalah segala-galanya. Kerana pelanggan, wujudnya bisnes. Sama, kerana pembaca, wujudnya penulis dan penerbit, jadi berilah tulisan yang terbaik. Bolehkah disamakan kerana pesakit adanya hospital? Atau kerana hospital adanya pesakit?

Cina kedai itu juga kenal dengan setiap pelanggan. "Sudah lama tak datang?" Dia bertanya. "Baru lagi." Saya menjawab. "Sudah sebulan lebih. Terakhir kamu datang sini masa ambil cerita Cina jual botol." Itulah contoh mengutamakan pelanggan. Pelanggan terasa dihargai sebab diingati. Boleh ingat setiap pelanggan dan terasa dihargai sebagai individu? ada pilihan lain? Tak ada selain terus menjadi pelanggan tetap.

Dan bagai diatur-atur di depan kedai bertemu dengan pelakon filem ini, Azhar Sulaiman. Dia sekampung dengan saya. Dia menantu Pahamin Rejab, jadi tinggal dalam kompleks istana (4 buah banglo, tinggal dalam salah sebuah banglo tersebut) di atas bukit di Sungai Pencala. Yang menarik adalah nombor plate kereta beliau: MAF 14. Dirapatkan menjadi MAF14 dan dibaca sebagai MAFIA. Kereta Murano Impul.

Carilah apa nak dicari.... dengan syarat betul-betul dan sampai tuntas. Jangan hanya separuh-separuh. Jika ilmu yang dicari, carilah sampai habis, jangan alang-alang, sekerat jalan. Jika kekayaan yang dicari, carilah dengan sungguh-sungguh, bukan sekerat-sekerat atau alang-alang. Jika alang-alang, sekerat-sekerat, separuh hati nanti akan jadi seperti tukang rumah yang bertukang sambil lewa akhirnya rumah tak siap dan hanya membazir kayu.

Carilah apa nak dicari...

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Alasan tetap ada jika dicari. Punca utama kegagalan adalah kerana mencari alasan

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu