Perginya Puteriku Sayang
Posting pada:  19 Jan 2008 ( 1796 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Semalam, 16 Januari 2008, saya menerima SMS yang saya sangkakan gurauan. "Kak Siti PKS dah meninggal. Jenazahnya di Hospital Sungai Buluh."

Mesej itu dihantar oleh Acik Afzan, sahabat yang sudah lama benar tidak bertemu dan ketahuan di mana kini. Yang pasti dia sudah kahwin dan tidak lagi tinggal di Terengganu. Acik Afzan itu pun bukan nama sebenarnya. Ia adalah nickname. Sebagaimana biasa, nama sebenar hilang di dalam internet. Bila sebut Razzi Armansur di dalam portal komuniti internet, ramai tak kenal. Bila sebut KANG, ramai yang kenal. Kang bermakna ABANG.

PKS pun nickname singkatan Puteriku Sayang. Jika disebut Siti Hasriyah Jahri tidak ramai yang kenal tetapi jika disebut Siti PKS atau PKS ramailah yan mengenali.

Malam semalam juga terus menghubungi seorang lagi sahabat, Angah Faezah, yang menunggu jenazah di Hospital Sungai Buluh.

PKS sudah tidak ada lagi, sudah pergi untuk selama-lamanya. Seorang lagi sahabat karib pergi tak kembali.

Sampai malam ini, masih lagi enggan percaya sahabat lama sejak tahun 2002 itu sudah tidak ada lagi, walhal siang tadi sama-sama mengangkat keranda turun dari van jenazah dan membawanya ke liang lahad.

Masih tidak percaya walau telah melihat jenazahnya dimasukkan ke dalam liang lahad. Suaminya menangis sambil mendukung anak perempuan yang berumur 3 tahun.

Hakikatnya Siti PKS yang sangat periang itu telah tiada lagi di dunia ini. Dia telah berpindah ke dunia lain dalam usia yang masih terlalu muda. Pemergiannya mengejut. Sehari sebelumnya saya ternampak icon YM beliau menyala dan berkata, "Kejap lagilah tegur dia..." Sampai petang terlupa.

Mengikut Angah Faezah, bahkan sehari sebelumnya dia yang satu ofis dengan Siti PKS, tidak ada sebarang perubahan. Semasa pergi ke EMI, mereka gelak ketawa seperti biasa.

Di atas kubur Sungai Pencala, bertemu dengan seorang lagi sahabat. Jijah namanya. Dia pun memberitahu sehari sebelum meninggal mereka berbual seperti biasa. "Dia riang sangat," katanya. Tapi, bila masa tidak pernah melihat Siti PKS riang? Sepanjang masa sentiasa riang ketawa.

Yang tinggal hanyalah kenangan abadi sejak tahun 2002.

Tidak diketahui punca kematian Siti PKS. Menurut Alang, kakaknya, Siti jatuh sama ada di bilik dan mengengsot ke bilik air atau sebaliknya. Angah Faezah menelefon ke rumah Siti berkali-kali tidak berjawab setelah lebih kurang sejam Siti memberitahu dia demam. Mengesyaki sesuatu kerana tidak berjawab sejak dari pagi, Angah memberitahu Alang. Angah berasa tidak sedap hati. Pada sebelah petang itulah Alang ke rumah Siti. Alangkah terkejutnya, Siti terbaring dibilik air, berdarah, pucat lesi. Kukunya sudah biru. Akhirnya Siti meninggal di dalam ambulan, lingkungan pukul 7 hingga 8 malam.

Dipercayai, Siti PKS meninggal kerana pendarahan yang banyak. Bermakna juga arwah Siti menahan sakit yang amat sangat sejak dari pagi atau tengah hari membuatkan tidak mampu menelefon atau menjawab telefon.

Memang saya tak percaya Siti PKS sudah pergi tak kembali. Kali terakhir bertemunya lingkungan 4 bulan lepas di ofis beliau. Seperti biasa, kekal gelak ketawa dengan riangnya. Itulah kali terakhir melihat beliau walaupun rumah ibu bapanya sangat dengan rumah saya.

Tahun 2002, saya menubuhkan satu komuniti internet untuk kumpulan nasyid. SahabatHijjaz namanya. Dari web, forum hinggalah kepada logonya, saya siapkan sesudah dikehendaki demikian oleh kumpulan nasyid tersebut, dengan bayaran yang sederhana mahal. Forum pertama agak 'bodoh' diberi nama 'Catatan dan Forum'. Ia sejenis forum 'flat thread' yang percuma. Pada masa itu enjin forum yang paling hebat ialah XMB disusuli dengan PhpBB.

Pada suatu malam di Studio NAR Record sekitar tahun 2002, semasa sedang rakaman album Inteam, Siti PKS datang bersama adiknya. Ada peminat dari Brunei nak bertemu adiknya. Adiknya, Safwan, ketika itu masih dalam Darjah 6 atau Tingkatan 1. Siti PKS adalah kakak kepada Safwan (kumpulan nasyid Aeman) dan Apen (kumpulan UNIC). Di situlah mula berkenalan walaupun sebenarnya sebelum itu Siti PKS sudah mula posting dan bergiat di dalam forum Sahabat Hijjaz itu. Tapi biasalah, dalam internet, sukar atau tak dapat dikenali.

Di dalam forum tersebut jugalah saya mula mengenali dengan lebih rapat lagi Angah Faezah, Acik Afzan, Hanan Alam Faizli, Amalina Izzah dan lain-lain lagi.

Bahkan perkataan "Jejak Kasih" (JK) yang digunakan oleh Ukhwah.com sehingga kini berasal dari arwah Siti PKS. Suatu petang, seperti petang-petang lain, saya ke ofis Hijjaz yang pada masa itu di Bukit Lanjan. Pada masa itu juga nasyid sedang berada di puncaknya bukan di lantai dan menjadi bukan-bukan seperti sekarang ini.

Pada petang tersebut, saya ternampak 3 orang gadis di ruang tamu. Setelah diperkenalkan, barulah tahu bahawa mereka itulah yang kerap posting di forum. "Kang, ini Angah dan Acik. Kiranya petang ini kami sedang Jejak Kasih," kata Siti PKS merujuk kepada rancangan Jejak Kasih TV3 yang popular pada masa itu.

Sejak dari itu kami bersahabat karib. Kami kerap bertemu di mana-mana. Cuma jarang bertemu dengan Hanan yang pada masa itu masih lagi belajar di Nilam Puri.

Forum yang dianggap 'bodoh' dan kerap 'error' pada masa itu telah berjaya menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara. Di situ mereka menjalin persahabatan dan dalam masa yang sama mengikuti perkembangan nasyid Hijjaz. Hubungan tiga hala (peminat dengan peminat; peminat dengan Hijjaz) memang benar-benar terjadi. Perlu diingat, pada masa itu nasyid memang nasyid.

Tapi sebagaimana biasa, akan ada makhluk yang merosak. Keakraban persahabatan melalui forum tersebut akhirnya dirosakkan oleh seseorang atau beberapa orang.

Kami berpecah. Saya dan Hanan menubuhkan Ukhwah.com dan Hanan.com.my. Angah dan Acik meneruskan pengajian di UIA dan jarang sangat berkunjung ke ofis Hijjaz. Siti PKS pun semakin jarang berkunjung ke ofis.

Namun persahabatan kami kekal abadi, cuma jarang sangat bertemu. Siti PKS tak lama kemudian berkahwin dan berpindah ke Kota Damansara, tidak lagi di Sungai Pencala. Acik balik ke Terengganu dan Angah balik ke Johor. Amat jarang bertemu mereka selepas itu. Seingat saya, semasa perkahwinan Siti PKS pun saya tak dapat hadir (memang saya tak suka hadir ke majlis perkahwinan). Saya wakilkan kepada anak saya Edika Armansur.

Hanya bermula setahun lepas, melalui YM, kami berhubung kembali.

Siti PKS sudah pergi untuk selamanya dalam usia yang terlalu muda. Yang tinggal cuma wajahnya yang sentiasa riang, gelak tawanya yang sentiasa kedengaran dan kebaikannya yang berpanjangan.

Melihat jenazahnya dimasukkan ke dalam liang lahad, saya bertanya kepada diri saya sendiri, "Apakah persediaan saya untuk memasuki liang lahad yang tidak dapat dielakkan itu? Dosa saya pada Allah amat banyak. Dosa saya pada manusia terlalu banyak. Dosa saya pada alam sekitar, makhluk-makhluk Allah juga terlalu banyak. Amal kebaikan dan sedekah amat sedikit. Ya Allah...."

(Nota: saya mengambil masa yang lama untuk menuliskan cerita Siti PKS ini kerana sebak).

Berikut ini adalah kenangan bersama Siti PKS dan ahli SahabatHijjaz semasa mencari lokasi untuk "1st Gathering" di Kem Al-Azhar, Morib. Siti PKS yang memakai baju ungu bertudung putih.





 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Sesungguhnya Allah dan para malaikat, serta semua makhluk di langit dan di bumi, sampai semut dalam lubangnya dan ikan (di lautan), benar-benar berselawat mendoakan kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

» Sabda Rasulullah s.a.w. «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu