Tiba-tiba TUKANG GUNTING melonjak!
Posting pada:  21 Dec 2007 ( 1572 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Lokasi: Kedai buku SN Future di Pudu Plaza, kedai buku sahabat karib saya Albert Lim. Tahun: lingkungan 1998 atau 1999. Tak berapa ingat. Tapi yang pasti ialah pada bulan puasa sebab pada petang itu sama-sama berbuka puasa dengan krew dan penyiar TV3 di Restoran KFC, di seberang jalan Pudu Plaza. Dalam kumpulan itu ada penyiar terkenal: Haji Ahmad Nor Sulaiman (bertuahnya beliau mendapat haji dengan percuma semasa TV3 menghantar beliau ke Mekah untuk liputan ibadah Haji). Suatu masa dulu beliau pernah menjadi pengacara MHI (Identiti beliau, "Dok gitu?") dan pernah menjadi suara latar Jejak Rasul.



Pewaris Armansur.com Berhad menunjukkan buku "Tukang Gunting Jutawan" yang tiba-tiba jualannya melonjak dan kehabisan di pasaran.


Mengenai? Rakaman "Ulasan Buku" untuk TV3. Pada tahun tersebut ada segmen "Ulasan Buku" pada waktu pagi. Buku saya yang terpilih, "Dalam Kesempitan Ada Kesempatan." Tahu tak dari mana saya mendapat judul buku tersebut? Dari salah seorang penyiar TV3 bernama Nizal Mohamad ketika menginterview Azman Ching dalam segmen Malaysia Hari Ini. Nizal menyebut ayat tersebut, Azman tak berapa mendengarnya, tetapi saya mendengar dengan jelas. Dari judul tersebut, tiba-tiba mentol menyala dengan terang di dalam kepala saya.

Memang menepati stail saya yang mengutamakan judul terlebih dahulu. Semua buku saya ditulis setelah mendapat judul terlebih dahulu. Saya menjadi 'blurrr' tentang kandungan buku selagi belum mendapat judul. Judul bagi saya ialah kepala keretapi. Gerabak mengikut kepala keretapi, bukan sebaliknya. Buktinya, hari ini saya masih kabur tentang kandungan kisah benar yang akan dijadikan buku pertama saya terbitan PTS, penerbit buku Melayu yang terbesar, bagi tahun 2008. Kabur kerana saya tidak mendapat judulnya. Sudah berminggu mencari dan menunggu judul tapi 'dia tak mai'.

Berbalik kepada kisah di Pudu Plaza itu. Sekali lagi saya meminta maaf kepada beliau yang terkenal itu tetapi saya telah lupa akan namanya. Apa yang boleh saya kaitkan untuk mengingati ialah: namanya ada Jaafar (membuatkan saya keliru antara beliau dengan Johan Jaafar), ada kaitan dengan DBP, Lateral Thinking 6 Hat, Edward De Bono. Beliau adalah ulat buku dan pernah kisah beliau disiarkan di TV3. Dalam rancangan tersebut digambarkan beliau masuk ke kedai buku KL Bigshop di Petaling Street melihat-lihat buku di kedai tersebut sambil mengisahkan beliau yang gemar membaca dan membeli buku. Namanya Jaafar Abd. Rahim? Tapi yang pasti ada nama Jaafar kerana pertama kali saya menemuinya saya tersilap memanggilnya, "Johan Jaafar".

Beliaulah pengulas buku saya pada hari tersebut. Saya akan ceritakan selanjutnya.

Pada masa itu, seingat saya, TV3 begitu bermurah hati dengan 'airtime' yang berkaitan dengan buku. Buku-buku saya beberapa kali mendapat ulasan. Pelancaran besar-besaran buku Azman Ching mendapat liputan dalam segmen MHI. Ulat-ulat buku mendapat liputan. Seingat saya, A. Samad Said juga pernah mendapat liputan -- digambarkan dua bilik beliau yang penuh dengan berbagai-bagai buku.

Kini TV3 tidak lagi bermurah hati dengan 'airtime' yang berkaitan dengan buku. Kalau nak, kenalah berbayar.

Kembali ke Pudu Plaza, selepas berbuka puasa, sambil menghisap rokok (masa itu sangat kuat melakukan kerja bodoh iaitu menghisap racun) bersama, beliau (yang menjadi pengulas buku) bercerita sambil menasihati saya.

Nasihatnya, "Lakukan sesuatu bukan hanya untuk hari ini, bahkan untuk masa depan sekali." Beliau pun membawakan cerita bagaimana seorang yang dianggap gila menghabiskan usianya menggali bukit. Diejek dan dihina tetapi beliau tidak memperdulikan. Terus menggali sehinggalah pada suatu hari, bukit tersebut telah ranap. Terbukalah tasik dan pemandangan yang sangat indah di sebalik bukit tersebut. Penduduk kampung kini sedar bahawa 'kerja gila' yang dilakukan selama berpuluh tahun adalah untuk masa depan. Tidak menampakkan sebarang hasil pada masa penggalian tetapi hasilnya dapat dinikmati oleh orang ramai pada masa depan. "Lakukan sesuatu bukan hanya untuk hari ini, bahkan untuk masa depan sekali."

Selepas dari mendapat nasihat dan cerita amat berharga itu, saya sering mengingatinya setiap kali menulis. Saya fikirkan, 10, 50, 100 tahun akan datang, tulisan itu masih wujud. Apakah impaknya? Itulah keutamaan. Impak untuk sekarang dan 10, 50, 100 tahun akan datang.

Saya gabungkan nasihat beliau dengan nasihat seorang lagi sahabat bernama, Gan Ah Seng yang tidak berapa gemar publisiti tetapi amat besar jasanya melalui seminar beliau. Beliau tidak pernah galak mempamerkan muka belaiu tetapi mempunyai ratusan ribu pengikut dan puluhan ribu usahawan yang telah beliau bentuk dan didik sejak 30 tahun lalu. Kebanyakannya telah menjadi jutawan. Azman Ching adalah salah seorang antara ratusan ribu anak murid beliau. Sesungguhnya beliau lebih mementingkan impak berbanding mempamerkan muka untuk publisiti sekaligus perasan selebriti. Peliknya istilah selebriti di Malaysia ini. Lainlah kalau bukunya ada impak seperti buku Dato' Dr. Harun Din terbitan PTS.

Nasihat Gan Ah Seng amat ringkas dan amat mudah, "Buat dari hati." Sertakan hati sekali bila membuat sesuatu.

Tidak ada istilah separuh hati atau tak ada hati sebaliknya buat sesuatu sepenuh hati, lahir dari hati!

Kisahnya saya kaitkan dengan buku "Misi: Orang Kaya Baru" yang sememangnya saya tulis dari hati, bukan hanya untuk sekarang, bahkan untuk akan datang. Hasilnya, buku tersebut memang laris sekali pada masa itu.

Lebih kurang 8 tahun kemudian buku tersebut berubah judul menjadi TUKANG GUNTING JUTAWAN dan sekali lagi menjadi antara buku terbitan PTS yang terlaris.

Saya, anak saya dan rakan-rakan meninjau (atau menelefon) beberapa kedai buku di Malaysia bertanyakan buku tersebut. Kebanyakannya menyebut, "Sudah habis. Supplier belum hantar lagi." Alhamdulillah. Tak sia-sia nasihat yang saya terima.

Terima kasih saya tak terhingga untuk sahabat karib saya Albert Lim yang pertama kali menerbitkan buku tersebut.

Ucapan terima kasih juga untuk Team PTS yang memberi peluang menerbitkan buku laris tersebut. Pertama kepada Mbakyu Ainon Mohd, Pengerusi PTS yang baik hati (ramai yang memuji kebaikan beliau); Arief, Presiden PTS yang gigih dan sentiasa memberi peluang; Nazrul Samsuddin, Pengurus PTS PRO; Anuar, editor yang mengedit buku tersebut (kini di DBP); Rozita Abd Razak yang tidak pernah berhenti membantu saya, Iwan yang merekabentuk kulit buku tersebut; Team Pemasaran PTS yang diketuai oleh Zet (Zaharin) yang memasarkan buku tersebut; Puan Khalilah, isteri Nazrul yang mengawal keluar masuk buku tersebut; Faraliza yang namanya secantik wajah, yang selama ini mengira royalti buku tersebut Akhirnya untuk semua Team PTS di Wangsa Melawati dan Batu Caves.

Pada suatu hari seorang suami yang saya kenali berkata, "Ini semua Kang punya pasallah... Isteri saya belajar lagi, terpisah selama 6 bulan sesudah membaca buku Kang, buku Tukang Gunting tu..." Beliau menerangkan, sesudah membaca buku Tukang Gunting Jutawan berulang-ulang, isterinya mengambil tindakan drastik, belajar jahitan dan fesyen kerana hendak membuka butik Busana Muslimah.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kalau boleh, mengapa tidak?

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu