Antara e-kelakar dengan e-dagang
Posting pada:  01 Dec 2007 ( 1344 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sejak bila ada e? Tak ingat, tetapi sejak hujung tahun 90-an. Atau mungkin mulai dari tahun 2000. E dipangkal itu membawa maksud elektronik. Tanpa kertas. Bila disebut e-kerajaan maksudnya urusan kerajaan tanpa kertas, semua dijalankan secara online dengan bantuan internet. Bila sebut e-mel, bermakna mel (surat) tanpa kertas dan setem -- surat dihantar melalui internet.

Betulkah tanpa kertas? Apabila anda mendaftar dengan Kementerian Kewangan (e-perolehan) secara online, anda masih juga mesti menghantar dokumen-dokumen dalam bentuk kertas ke Putrajaya.

Jadi, makna 'e' secara rasminya ialah menggunakan elektronik. Begitu pemahaman saya yang masih mencari-cari jawapan berdasarkan gegak gempita yang saya dengar selama ini.

Kalau ada orang menyebut e-kelakar, maknanya kelakar tanpa kertas atau kelakar yang menggunakan internet. Setuju? Contoh e-kelakar ialah dalam Ukhwah.com. Banyak lawak-lawak yang menarik. Ada juga lawak bodoh dan tak kurang lawak yang melucukan. Jadi, bolehkah ia disebut sebagai e-kelakar, kerana ia bukan lawak di atas kertas? Klik di sini untuk: e-kelakar

Baru-baru ini saya mendengar tentang e-dagang. Berdasarkan pemahaman saya ia adalah perdagangan tanpa kertas. Atau perdagangan secara elektronik. Atau perdagangan menggunakan internet. Itu pemahaman saya. Cuma yang saya tak faham, bagaimana e-dagang itu boleh dikaitkan dengan "jutawan internet"? Adakah dengan berdagang secara elektronik boleh menjadikan saya jutawan (memiliki wang dan harta RM1,000,000.00). Atau adakah perlu saya menjadi anak dagang secara elektronik? Anak dagang? Saya suka lagu Sudirman yang berjudul Anak Dagang. Lagu ini asalnya adalah nyanyian Kamariah Noor, diva lagu-lagu Melayu Asli. Secara kebetulan pula, Sudirman adalah seorang jutawan sebelum meninggal dunia. Allahyarham menjadi jutawan tanpa perlukan 'e' di hadapan usaha beliau kerana saat beliau meninggal dunia, internet baru saja masuk ke Malaysia. Jaring menjadi ISP pertama.



Maka, kerana hendak sangat faham, maka bertanyalah saya, "Bahagian mana di dalam e-dagang itu boleh menjadikan saya jutawan?"

Maka, bunyi-bunyi jawapan yang saya dengar, saya simpulkan sebagai: menggunakan medium internet, menjual produk itulah dia e-dagang. Bagaimana boleh menjadi jutawan? Kerana ia internet, maka ia global, maka pembelinya satu dunia. Itu konon dan khabarnya. Saya mengangguk antara faham dengan tidak faham.

Lalu saya menyoal kembali:

1. Bagaimana kalau orang tak masuk ke laman web kita? Bolehkah kita menjadi jutawan? Kena promosi. Kalau sesudah promosi pun tak masuk, bagaimana?

2. Saya andaikan kalau seorang berbelanja RM1 jika 1,000,000 orang membeli, jumlah belian keseluruhan ialah RM1,000,000.00. Jualan saya RM1 juta pun belum boleh menjadikan saya jutawan kerana RM1 juta itu jualan, bukan keuntungan. Soalnya, bagaimana kalau tidak ada 1 juta orang masuk ke laman web saya dalam masa 5 tahun dari sekarang, selama 5 tahun ini?

3. Khabarnya jumlah web di internet sekarang ini sudah menjangkau 10 bilion. Bagaimana saya hendak bersaing dan menarik orang masuk ke laman web saya dan membeli produk? Kalau tak ada orang membeli produk, saya tak boleh menjadi jutawan internet.

Maka selang di antaranya terdengarlah perkataan, "Ini lain..." Apa lainnya saya bertanya. Katanya, urusan semua dijalankan melalui internet (merujuk kepada sebuah syarikat MLM yang begitu ghairah mengetengahkan e-dagang). Memesan produk melalui internet, menyemak bonus, topup, pemindahan wang semua boleh dilakukan melalui internet. "Itukah yang dinamakan e-dagang? Baiklah, kalau itu yang dimaksudkan dengan e-dagang, sebenarnya itu bukan e-dagang. Itu hanya kemudahan. Tapi tolong beritahu saya, di bahagian mana dalam kemudahan dan urusan itu boleh menjadikan jutawan atau jutawan internet?" Tak ada jawapan.

Oleh kerana mungkin sudah biasa menggunakan internet, bukan berdasarkan dengar-dengar maka saya mengesyorkan supaya membaca artikel tentang kegagalan dotcom yang ada kaitan amat rapat dengan e-dagang. Saya mengesyorkan supaya membaca artikel tersebut di sini: 10 teratas kegagalan e-dagang

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Carilah apa nak dicari. Alang-alang bertukang terbuang kayu, alang-alang cerdik binasa badan, alang-alang sefaham kacau negeri.

» Dari filem 'Sayang Salmah' «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu