Mengusahakan dan menanti kehancuran
Posting pada:  15 Nov 2007 ( 1034 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Ayat ini sentiasa kelihatan dan kedengaran berkali-kali, di mana-mana. Saya tak pasti sama ada ia hadis atau kata-kata ulamak. Atau jika ia hadis adakah ia hadis sahih, palsu, maudhu'?

Bagaimanapun, ayat itu mengandungi kebaikan dan boleh dilaksanakan serta-merta. Adakah ia sama dengan nasib hadis lemah, "Belajarlah kamu walau sampai ke negara China"? Memang ada kebaikan di dalam hadis yang lemah atau mungkin palsu itu tetapi ia kata-kata yang amat baik dan boleh dilaksanakan. Tamadun dan budaya negara China sudah 5,000 tahun. Bahkan, mungkinkah Confusius itu Nabi? Beliau lahir sebelum Rasulullah SAW. Nabi ada beribu-ribu, Rasul pula ada beratus-ratus; yang wajib kita tahu hanya 25 sahaja. Segalanya mungkin, jika lahirnya sebelum Rasullah.

Kata-kata di atas amat benar dan akan sentiasa benar. Jika sememangnya ia hadis, maka kebenarannya tidak boleh diragui.

Mari kita lihat di sekeliling kita, selepas itu kita akan melaksanakannya untuk diri kita sendiri.

Kata-kata amat tepat untuk negara, pertubuhan, bisnes, sekolah, sukan dan apa saja keadaan.

Contoh yang amat mudah. Kesesakan lalu-lintas di Kuala Lumpur (bahkan di mana-mana) sudah sampai tahap kritikal. Sebelah petang dan pagi diletakkan polis trafik untuk mengawal. Katalah pada petang itu, diletakkan bukan polis trafik yang terlatih, apa terjadi? Bahkan jika diletakkan polis trafik yang terlatih pun, tidak ada kesan apa-apa (masih bahkan makin kritikal), inikan pula meletakkan yang tidak terlatih. Jika meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, tunggulah kehancurannya.

Jadi bagaimana? Menyusur ke pangkal, lihat siapa yang diletakkan dan bertanggung jawab atas hal-hal jalan raya dan pengangkutan. Sesuaikah kedua-dua makhluk itu diletakkan di situ untuk menguruskan hal-hal jalan raya dan pengangkutan?

Untuk skop yang lebih besar lagi -- negara kita ini sebenarnya memang agak tenat dari segi rasuah, kenaikan harga barangan keperluan yang berterusan, tidak terkawal dan tidak munasabah, kemusnahan alam sekitar, pembaziran besar-besaran, maksiat amat berleluasa dan seperti digalakkan, makanan tidak tentu arah halal dan haramnya, dan berbagai-bagai lagi. Tapi ada pihak yang mencanangkan bahawa negara kita ini hebat, makmur dan 'ter' (segala rupa 'ter'). Bagaimana, sudahkah dapat menangkap makna "Jikalau meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, tunggulah kehancurannya"?

Contoh paling mudah diteruskan. Dalam pasukan bola sepak, jika meletakkan pemain yang bukan bidang kepakarannya di tempatnya, tunggulah kehancurannya. Pemain yang pakar dalam pertahanan misalnya diletakkan di bahagian serangan, apa akan jadi pada pasukan tersebut? Bahkan lebih lanjut lagi, jika meletakkan yang bukan bidangnya untuk menerajui badan sukan tersebut, tunggulah kehancurannya. Setuju? Perlu kita persoalkan -- perlukah campur tangan politik dalam pasukan bola sepak? Mengapa tidak mencontohi gemilang, terbilang, cemerlang bola sepak luar negara yang tidak ada langsung campur tangan politik?

Dalam pertubuhan, dalam bisnes, sudah semestinya kita berpegang kepada kata-kata ajaib tersebut. Orang yang tidak tahu apa-apa tentang pengurusan bahkan enggan belajar tentang pengurusan kerana ego, menganggap diri sudah hebat dan pandai, kemudian dilantik untuk menerajui bisnes, tunggulah kehancuran bisnes tersebut.

Bukan untuk mengaibkan, tetapi untuk panduan kita semua -- saya bawakan kisah benar ini.

Dua minggu lepas saya bertemu dengan bekas pengurus kumpulan nasyid (nasyid pun sudah tidak tentu arah lagi). Khabarnya dia dipecat dari kumpulan tersebut. Mengapa dipecat? Khabarnya kerana sudah tidak diperlukan lagi. Yang peliknya -- dialah yang membina kumpulan tersebut tetapi dia yang kena tendang. Dia yang membina rumah tetapi dia yang dihalau dari rumah tersebut. Ini sudah tentu menambahkan lagi 'haru-biru' dunia nasyid di Malaysia yang sedang merudum.

Kebetulan pula seorang lagi pekerja dipecat turut sama di situ. Dia sebenarnya membesar bersama kumpulan nasyid tersebut. Dialah pekerja awal sebagai kerani akaun.

Maka dia pun membuka cerita bagaimana kumpulan nasyid yang digambarkan gah dan hebat itu mempunyai hutang hampir mencecah RM1 juta kerana semua bisnes yang dibuat tidak menjadi. Dapat pinjaman digunakan untuk bermegah-megah, bukan untuk bisnes. Atau bisnes yang bukan-bukan. Nampak? Jikalau meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, tunggulah kehancurannya....

"Aik... kata ada aset RM12 juta!" Kata bekas pengurus kumpulan itu bertanya kepada kerani akaun yang kena buang itu.

Satu lagi contoh, "Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya." Meletakkan orang yang suka berbohong sebagai jurucakap, itulah akibatnya. Bahkan jika anda bertanya, "Apa itu aset?" pasti dia tidak boleh menjawab. Tak payahlah bertanya gandingan atau lawan aset iaitu liabiliti. Tak payahlah bertanya tentang 'kecairan' aset dan liabiliti.

Jadi anda sendiri sudah dapat meneka mengapa nasyid makin dihindari? Itulah salah satu puncanya -- suasana 'haru-biru' di dalam kumpulan dan industri nasyid itu sendiri.

Berhati-hatilah bila meletakkan sesuatu. Ia mestilah pada tempatnya.

Kerana itulah syarikat-syarikat multi-nasional dan antarabangsa sangat teliti dan berhati-hati dalam pengambilan pekerja hatta pekerjaan yang paling rendah (terutama di bahagian admin). Ia adalah untuk memastikan, "Meletakkan sesuatu pada tempatnya." Perhatikan juga, semestinya di dalam borang permohonan tersedia ruang, "Gaji yang dikehendaki." Tujuannya adalah untuk menguji sejauh mana keupayaan diri yang memohon pekerjaan. Katalah pemohon tidak berilmu -- masuk universiti hanya mengejar kertas, kemudian memohon pekerjaan yang memerlukan ilmu, dia akan berasa ragu-ragu untuk meletakkan gaji yang tinggi.

Semestinya, jika kita yakin dengan kebolehan dan keupayaan kita sudah tentu kita akan meletakkan harga yang tinggi kerana memang itulah nilai dan cara kita menilai diri kita.

Meletakkan sesuatu mestilah pada tempatnya.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Semua orang boleh bercakap sebab cakap adalah percuma

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu