Jangan salahkan sampan jika tidak pandai berdayung
Posting pada:  14 Nov 2007 ( 987 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Kita tak perlu belajar biologi atau biotek atau seumpamanya untuk mengetahui asas bagaimana pokok boleh tumbuh subur. Ada dua bahagian yang perlu diberi perhatian serius iaitu di atas bumi dan di bawah bumi. Di atas bumi: fizikal pokok itu yang kelihatan dan perlu diberi perhatian serius ketika peringkat menanam. Di bawah, di dalam bumi pula kita akan melihat akar tunjang yang kukuh membantu dan menyokong kehidupan dan kesuburan pokok tersebut.


Akar tunjang -- akar utama pokok. Sebelum adanya akar-akar lain, akar tunjang itu mendahului dan kukuh.

Kaitannya: sebelum berfikir untuk melakukan perkara lain, projek lain, bisnes lain -- projek yang utama mesti kukuh. Bisnes yang utama masih lagi di atas langit sana sudah berfikir untuk membuka bisnes lain. Bisnes utama pun tak tentu arah, belum ada sistem, sudah mula diabaikan kerana memikirkan bisnes lain. Biasa melihat dan mendengar begitu?

Dan jika anda perhatikan dengan lebih dekat lagi anda akan melihat kegagalan. Maksudnya, sukar bahkan tidak ada orang yang berjaya jika tidak menguatkan 'akar tunjang' terlebih dahulu, lebih-lebih lagi dalam bisnes.

Jadi, pengajaran sudah di depan mata, mengapa mesti diikuti langkah orang yang disahkan gagal? Dan juga pengajaran sudah di depan mata, ikuti saja langkah orang yang berjaya. Orang yang berjaya dalam bisnes, jika anda perhatikan sekeliling kita -- mereka menguatkan akar tunjang terlebih dahulu. Bahkan mereka tidak pernah terlintas untuk melakukan bisnes lain. Mereka mendalam ke bawah sana, bukan melebar tak tentu arah. Sejak tahun 70-an, bisnes kedai basikal, sampailah tahun 2007 masih lagi kedai basikal. Tentunya makin membesar -- menjadi pengimport dan pengedar basikal pula. Dari tahun 70-an, bisnesnya kedai buku; sampai tahun 2007, masih lagi kedai buku. Bukan lagi kedai buku yang sempit tetapi kedai buku yang mempunyai cawangan merata tempat.

Penyelesaiannya? Mudah sekali. Pelajari kejayaan orang lain yang tertera di depan mata setiap hari. Selesaikan satu per satu. Gali kolam dengan mendalam sehingga menemui air.

Penyelesaiannya? Mudah sahaja. Jangan ikuti jejak kegagalan mereka (terlalu ramai) yang menggali kolam tetapi tidak pernah selesai. Atau masih berangan-angan hendak menggali kolam tetapi sudah berangan-angan menggali kolam lain.

Itu sahaja. Jangan sekali-kali lupa: dunia ini adalah pentas. Kita adalah penonton dan pelakon. Lakonan (yang buruk dan baik) sentiasa ada di depan kita. Penonton yang bijak adalah penonton yang mengambil pengajaran dari setiap lakonan. Penonton yang lebih bijak adalah penonton yang mengambil pengajaran dan kemudian mengamalkannya. Setuju?

"Cina lain, nampak saja bisnes di depan mata begitu, tetapi di belakang ada bisnes lain." Biasa mendengar begitu? Terlalu biasa kerana kebanyakan mereka yang berkata begitu tidak bergaul dengan usahawan Cina. Berkata begitu berdasarkan persepsi sendiri atau berasaskan dengar-dengar sahaja.

Memang ada yang melakukan bisnes pelbagai. Memang kebanyakannya akan gagal, tak kira Melayu atau Cina. Maksudnya, multi boleh dilaksanakan sesudah mono. Plural selepas singular. Buatlah bisnes apapun, pelbagai bisnes, asalkan yang utama telah kukuh. Kebanyakan usahawan Cina yang saya kenali menjalankan hanya 1 bisnes sahaja. Hasil keuntungan dari bisnes, untuk kewangan peribadi mereka akan membeli saham, insurans. Untuk bisnes, mereka akan sentiasa berusaha mengembangkan bisnes.

Kita yang tak tahu selalunya mencampur adukkan kewangan peribadi dengan kewangan / urusan bisnes. Kita menyangka keuntungan yang diperolehi dari bisnes itu adalah keuntungan milik kita sedangkan sebenarnya kita ini makan gaji dari bisnes kita sendiri. Itu lakonan yang selalu dipaparkan di depan mata. Mengapa enggan menjadi penonton yang bijak?

Kata bijaksana, "Sekiranya tidak ada arah, semua arah angin tidak sesuai untuk belayar." Setuju? Kalau kita tidak ada arah, tak mantap dan padu nak memulakan bisnes, jenis bisnes apa -- semua jenis bisnes tidak sesuai. Sebab itulah hari ini anda bertemu dengan kenalan anda, dia mengkhabarkan hendak berniaga A. Lusa berniaga B, minggu depan berniaga C. Sepuluh kali anda bertemu 10 jenis perniagaan yang dia sebut hendak dibuat. Kesemuanya masih di atas langit sana dan banyak berunsur dongeng, penglipurlara. Semuanya indah belaka sampaikan terlupa 'Hukum Seimbang' -- ada kelebihan, ada kekurangan.

Impiannya: mahu menjadi jutawan (memiliki harta RM1,000,000.00) dalam masa yang amat singkat, sesingkat mungkin. Pelakon, penonton, tolak tepi dulu, yang utama mesti dapat angka itu dalam masa yang singkat, sesingkat mungkin.

Mereka terlupa -- bisnes, sama ada kecil atau besar adalah MEMBINA. Yang menjadi jutawan dalam masa yang singkat itu adalah penglipur lara dan dongeng. Bahkan, selalunya, kita membina bisnes untuk generasi akan datang berdasarkan kata-kata bijaksana, "Kita bukan mendahului mereka sebaliknya kita meminjam masa depan dari generasi akan datang."

Membina perlukan usaha yang gigih. Bukan duduk di rumah, bisnes terbina dengan sendirinya. Atau dapat pinjaman berjuta (penglipurlara) dilaburkan di mana-mana (dongeng) dan setiap bulan duduk mengutip hasil. Ada begitu? Mungkin di alam mimpi sahaja.

Sekali lagi jadilah penonton yang bijak: pernahkah anda melihat bisnes yang besar gagah terbina jika usahawannya tidak membina. Atau juga usahawannya hanya bergelumang dengan penglipurlara? Atau jika usahawannya hanya berharapan -- labur di sana-sini dengan pulangan yang dahsyat, setiap minggu kutip hasil.

Saya pernah berkata kepada sahabat saya: "Sampai bila-bila pun, susah nak tengok usahawan Melayu yang maju jika tidak mahu belajar. Enggan berilmu."

Kata-kata saya itu saya kukuhkan dengan bukti. Buktinya -- berapa orangkah yang menceburi bisnes tanpa mengetahui apa-apa tentang pengurusan. Saya rasa, setiap 10 orang Bumiputera dan Cina yang menceburi bisnes, 9 darinya tidak tahu apa-apa tentang bisnes. Bahkan jika anda menyoal mereka, "Pengurusan itu apa?" Tanya mereka kembali.

Pada pengamatan kita, ramai yang menceburi bisnes hanya berdasarkan dengar-dengar. Jadi, ke mana arah mereka? Mana yang hendak dituju? Tentulah menuju kegagalan.

Alangkah peliknya: hendak menjawat jawatan dengan gaji di bawah RM2,000 sanggup belajar dari Tadika hingga ke Universiti tetapi hendak bisnes, menjadi jutawan (bukan segera) enggan belajar walau hanya sehari. Alangkah peliknya. Dan dalam masa yang sama, kita, rakyat Malaysia, kaun Bumiputera digalakkan menceburi bidang bisnes.

Mungkin kerajaan ada menyediakan ilmu bisnes. Malangnya, kebanyakannya bukan ilmu bisnes. Kebanyakannya hanya "Motivasi". Jadi, apakah hasilnya?

Saya suka mengimbas kembali usaha MEDEC yang ada kaitan dengan MARA, suatu masa dahulu. Kelasnya di ITM Jalan Othman, Petaling Jaya. Masanya, sebelah malam. Ilmunya? Keusahawanan dan Pengurusan Bisnes. Tidak ada "ceramah motivasi" dan gelak-gelak. Yang ada adalah ilmu bisnes. Dari mengenali kategori bisnes (pembuatan, peruncitan, servis, perhotelan dan sebagainya) hinggalah kepada perakaunan bisnes. Dari pengawalan kredit hinggalah kepada forecasting. Pendek kata, selesai kursus selama 6 bulan itu sudah mempunyai asas untuk bisnes. Jadi tidaklah memulakan bisnes dengan tangan dan kepala yang kosong.

Kursus begitu sebaiknya dikekalkan bagi melahirkan bakal usahawan yang berilmu. Tapi, yang ada kini kebanyakannya ialah "motivasi" sahaja. Kerana itu agaknya, ramai yang berfikir positif boleh menjadi jutawan dalam masa yang sangat singkat tanpa perlu mengira apakah landasan untuk menjadi jutawan itu. Kerana itu mudah sangat terpedaya dengan penglipurlara dan dongeng.

Bagaimana jika tidak berpeluang belajar di dalam kelas begitu? Sumber ilmu ada di mana-mana. Internet adalah sumber ilmu (dan sumber iklan mengarut, penglipurlara, dongeng). Tinggalkan yang karut, utamakan ilmu sebenar. Pelajari tentang pengurusan. Sama ada mengendalikan bisnes bertaraf Berhad atau menjual roti canai; sama ada mengendalikan kedai runcit atau syarikat penerbangan -- pengurusan amat penting sekali.

Apa yang anda tahu tentang POSDC? Untuk mengingatinya: Pergi pejabat POS tapi DisConnect. POSDC adalah asas pengurusan bisnes bahkan pengurusan apa saja pertubuhan: Planning, Organizing, Staffing, Directing, Controlling.

Mahu tidak mahu, jika hendak menceburi bisnes, ikuti proses yang betul. Pelajari dengan mendalam tentang POSDC, kerana setiap pekerjaan ada ilmunya sendiri.

Hendak menjalankan bisnes perlu ada ilmu bisnes. Bagaimana hendak berdayung jika tidak tahu berdayung? Bagaimana hendak mengail ikan jika tidak pandai mengail? Tak tahu? Pada zaman ini, jika seseorang itu mengatakan "tidak tahu" bermakna dia "tidak mahu".

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kalau boleh, mengapa tidak?

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu