Mana sengatnya...
Posting pada:  05 Oct 2007 ( 1065 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Setiap tahun, saya rasa, sayalah orang yang paling menunggu iklan Petronas. Saya peminat setia karya iklan Yasmin Ahmad. Iklan belaiu bukan iklan biasa, tetapi sebuah karya yang amat berkesan.






Tahun lepas, 2006, rasanya temanya sama dengan iklan tahun ini. Tema kasih sayang ibu bapa. Ramai yang mengatakan iklan Petronas tahun lepas (kisah ayah yang diabaikan -- diasingkan kerana membebankan) adalah sindiran kepada pemimpin yang tidak mengenang budi kepada pemimpin yang terdahulu. Itu khabarnya. Iklan tahun 2006 itu memang menyengat dan membawa kesan mendalam betapa kasih sayang anak terhadap bapa (dan ibu) adalah wajib.

Tahun ini masih sama tema -- kasih sayang pada bapa. Tapi, terus terang, iklan Raya kali ini, kedua-duanya, Petronas dan TV3 kurang menyengat. Iklan TV3 terutamanya (pelakon utama: Adibah Noor) kabur dari segi mesej.

Percayalah, cerita kedua-duanya sudah ramai yang membacanya sebelum difilemkan dan dijadikan iklan. Saya pun telah membaca kedua-dua cerita tersebut di Ukhwah.com

Cerita pertama, untuk iklan Petronas: Seorang ayah yang telah tua bersama anaknya yang sudah dewasa. Si Ayah yang sudah agak ingat-ingat lupa dan agak kurang pendengaran bertanya kepada anaknya tentang pokok.

"Pokok apa itu, Nak?" Tanya Ayah.

"Pokok rambutan." Jawab anak.

"Pokok apa tu Nak?" Tanya si ayah lagi.

"Pokok rambutan." Mula meninggikan suara.

Mungkin kerana kurang dengar, si Ayah bertanya lagi, "Pokok apa?"

Si Anak bertanya balik kepada ayahnya, "Kenapa ini Ayah? Kenapa Ayah tanya banyak kali begini? Tak dengar ke dah bagitahu banyak kali."

Tersentuh hati si Ayah, maklum orang tua, hatinya mudah tersentuh. Diam dia seketika.

Sesudah itu si Ayah tadi mula bersuara, "Masa itu kamu kecil lagi, di sinilah kita berdiri. Masa itu kamu baru saja pandai bercakap. Kamu bertanya tentang pokok itu. Ayah jawab pokok rambutan. Kamu tanya lagi pokok apa, berulang-ulang tak kurang dari sepuluh kali."

Si anak diam seketika, tunduk menyesali perbuatannya. Dia mengambil tangan ayahnya dan mencium, sambil meminta maaf.

Begitulah kisahnya. Kaitannya: kata-kata klasik sejak berzaman, "Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak; tapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu." Jika diizinkan Allah, semua orang akan menjadi ayah dan ibu dan akan merasai jua kata-kata klasik itu.

----



Iklan kedua, iklan Raya TV3 seperti yang dikatakan agak kabur mesejnya. Tapi hebat sekali dari segi setting, sudut penggambaran dan mood. Rasanya pernah saya baca kisahnya di ruangan "Kelakar" dalam forum Ukhwah.com. Ceritanya sama -- merungut-rungut dalam hati kerana orang yang duduk di sebelahnya makan kacang yang baru dibeli. Rupa-rupanya tersalah sangka -- kacang yang dibeli ada dalam beg. Bekas dan kandungannya sama -- menyebabkan tersalah sangka.

Sampai sekarang masih tertanya-tanya apa mesej iklan tersebut.

Agak tertanya-tanya juga mengapa Yasmin Ahmad kini beralih menggunakan cerita-cerita pengajaran untuk dijadikan iklan. Bermula dengan iklan Petronas Merdeka lepas (kisah sampan). Memang sebenarnya, banyak kisah-kisah teladan yang boleh dijadikan iklan dan dapat memberi kesan mendalam.

Cuma, penantian saya kali ini tidak 'disengat'. Seperti kurang sengatnya iklan Raya kali ini dibandingkan dengan tahun lepas dan iklan Petronas, bulan Ogos lepas. Mungkin juga kerana saya dan orang lain masih lagi terasa 'menyengat'nya iklan Petronas (sampan) yang lepas.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu