Maka bermulalah pesta yang dinanti-nantikan
Posting pada:  12 Sep 2007 ( 1213 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sepatutnya, Ramadan yang datang hanya setahun sekali dimanfaatkan sepenuhnya -- dijadikan pesta ibadat. Kita berpesta besar-besaran memanfaatkan masa yang amat singkat -- hanya 30 hari sahaja untuk berpesta ibadat.

Menurut ceramah Ustazah Nurbayah Mahmud -- pertama kali bila datang saja Ramadhan, kita mesti bersyukur sebanyak-banyaknya. Syukur kerana Allah SWT bermurah hati menyambung nyawa kita ini untuk bertemu bulan penuh keberkatan dan nikmat. Untuk menyedarkan kita, imbas kembali puasa tahun lepas kemudian ingat-ingat kembali -- siapa pula sahabat, jiran, keluarga, kenalan kita yang sudah tidak bersama kita pada bulan puasa ini. Kita yang diberi peluang ini -- semestinya bersyukur amat sangat kerana Allah masih memberi peluang untuk berpesta ibadah (sepatutnya).

Bahkan sepatutnya -- bukan saja menjelang puasa -- semestinya setiap pagi, selepas bangun tidur (selepas 'dimatikan' sementara) bersyukur kepada Allah menyambung nyawa kita sehari lagi. Bukankah nyawa kita ini pinjam-pinjaman? Kehendak Allah 100 peratus sama ada hendak meminjamkan atau menarik pinjaman nyawa.

Sudah tentu juga sebelum tiba Ramadan -- memohon dengan penuh kesungguhan supaya diberi kesihatan dan kekuatan. Kalau tak sihat, tak kuat, tak bertenaga, bagaimana hendak berpesta?

Begitu sepatutnya.

Tetapi, benarkah begitu? Bagi individu, memang begitu hasrat kita kerana kita bimbang, inilah Ramadan terakhir kita. Bukankah lebih baik dimanfaatkan setiap saat di dalam bulan Ramadan ini?

Bagaimana pula dengan suasana? Benarkah ia sebagai pesta ibadat? Pastikan sendiri suasana sekeliling kita sepanjang Ramadan, terutamanya sebelah petang bermula lingkungan pukul 3 petang hingga lepas Maghrib. Apa yang kita saksikan? Kita menyaksikan Pesta Makanan, Pesta Pembaziran. Segala rupa makanan yang pelik-pelik, yang tidak kelihatan selama 11 bulan, akan dipamerkan untuk jualan pada petang Ramadan.

Tapak pesta sudah dibina sebelum Ramadhan. Bazar Ramadhan namanya -- sekaligus mengaitkan Ramadhan dengan Bazar, jualan, pesta, pameran, beli, beli, beli... Bahkan banner promosi pesta sudah dipasang sebelum Ramadan. Jadi, benar atau tidak Pesta Makanan, Pesta Membazir sudah mengambil alih Pesta Ibadah, pada suasana. Semoga tidak pada individu.

Tekak orang berpuasa memang berbeza -- nampak apa saja sedap. Begtul begitu? Nampak makanan dan minuman yang pelik-pelik, tiba-tiba teringin hendak makan. Terhidu aroma makanan, apatah lagi perut tengah lapar, tiba-tiba teringin hendak makan. Itulah sebenarnya dugaan orang berpuasa.

Tidak ada siapa yang melarang membeli -- belilah kalau hendak makan. Tetapi tanya kembali -- benarkah membeli kerana hendak dimakan atau membeli kerana keinginan? Di sini, sekali lagi KEPERLUAN mesti mengatasi KEINGINAN. Jika keinginan tidak diatasi -- pasti akan tergolong dalam golongan manusia yang turut sama meraikan Pesta Pembaziran.

Beli apa yang diperlukan sahaja, bukan membeli apa yang diinginkan.

Tiba waktu berbuka puasa -- adakah semua makanan dan minuman yang dibeli di Bazar Ramadan petang tadi habis licin dimakan? Banyak di antaranya yang tidak disentuh dan akan dibuang kerana membeli menurutkan tekak orang berpuasa. Pada masa ini, tekak orang sudah berbuka puasa lain dengan tekak orang yang sedang berpuasa. Dengan segelas air saja -- sudah kenyang. Jadi, nak buat apa dengan makanan yang dibeli begitu banyak petang tadi? Mana tong sampah? Lebih baik bawa tong sampah sekali semasa membeli petang tadi.

Nak disedekahkan pada orang? Tak boleh, sebab sedekah mestilah yang terbaik bukan saki-baki atau setelah kita tidak kehendaki.

Bagaimana mengatasinya? Mudah sekali. Setiap kali teringin hendak membeli tanya kepada drii sendiri -- "Perlukah ini? Kalau saya membeli kenapa dan kalau saya tak membeli kenapa?" Mudah? Memang mudah untuk mengatasi penyakit pembaziran. Memang mudah untuk menghindari persahabatan dengan syaitan. Membazir adalah amalan syaitan. Setuju?

Pertanyaan diteruskan, "Perlukan saya berbuka puasa buffet di hotel atau restoran ternama? Dengan membayar RM40 -- RM60 bahkan RM100, saya hanya makan minum yang bernilai RM10 sahaja, bukankah itu merugikan dan pembaziran?" Lainlah kalau ada orang terlebih duit nak belanja. Nak juga merasa berbuka puasa di hotel, kalau free.

Satu lagi cara ialah dengan mengingatkan diri untuk merayakan Pesta Ibadat bukan Pesta Makanan atau Pesta Pembaziran.

Jika anda perhatikan, pembaziran juga berlaku di masjid-masjid. Lihatlah sebelah petang di masjid-masjid. Kemudian tanya -- perlukah berbuka puasa ramai-ramai begitu? Untuk siapa majlis buka puasa itu sebenarnya sedangkan masing-masing boleh berbuka puasa di rumah. Sekali lagi kita bertanya, "Perlukah majlis seperti itu?"

Jika mengikut tradisi (adat, bukan ibadat) -- dulu, untuk membina komuniti -- beberapa orang datang membawa makanan ke masjid, berbuka puasa beramai-ramai di masjid, kemudian solat Maghrib berjemaah dan kemudian berzikir, wirid, tazkirah sehingga waktu Isyak -- merebut pahala Ramadhan. Selepas Isyak, mereka berterawih. Selepas terawih, mereka makan minum apa yang dibawa ke masjid. Sesekali ada musafir lalu (seperti Pak Malau), singgah dapatlah pahala dengan memberi makan orang berpuasa.

Peningkatannya -- mereka sama-sama mengumpulkan wang kemudian yang tersebut digunakan untuk membeli bahan masakan. Beramai-ramai memasak kemudian dibahagi-bahagikan kepada penduduk yang miskin dan tidak mampu.

Tapi, suasana hari ini jauh berbeza. Telah ditetapkan jumlah untuk jamuan berbuka puasa. Pesta Makanan. Minimum RM500. Ada masjid yang menetapkan derma untuk berbuka puasa itu sebanyak RM2,000.00 satu petang! Derma yang ditetapkan! Sama dengan derma PIBG. Bunyinya derma -- sepatutnya seberapa yang mampu, tapi mengapa telah ditetapkan. Mengelirukan. Jangan sebut derma sebaliknya sebut sebagai bayaran.

Soalannya -- perlukah itu semua pada zaman ini? Adakah ia seperti mencurah air di daun keladi kerana masing-masing boleh berbuka puasa di rumah. Tidak ada Pak Malau atau Damak yang lalu hendak berbuka puasa. Malah yang menyedihkan, ada yang mengambil kesempatan hendak 'makan free' sahaja. Lepas makan-makan dengan lahapnya, hilang lesap -- tidak berjemaah Maghrib. Sampaikah maksudnya? Sekali lagi Robin Hood dijadikan analogi: Niatnya baik, bahkan amat baik hendak membantu dan membasmi kemiskinan, tapi caranya tak kena iaitu merompak orang kaya. Jadi, sampaikah matlamatnya?

Niat kita baik -- hendak memperbanyakkan sedekah di bulan puasa. Syukur ke hadrat Allah kerana melembut dan membuka hati untuk bersedekah sebanyak-banyaknya. Sangat bersyukur kerana Allah telah membuang sikap kedekut dan sayang pada wang yang tidak kita miliki, sebaliknya hanya mempunyai.

Namun -- jangan sampai matlamat kita seperti Robin Hood. Niat memang baik tetapi sayang sekali cara tidak kena menjadikan matlamat tidak sampai.

Saya ingin mengulangi seruan JIM (Jemaah Islah Malaysia) tahun lepas. JIM mengedarkan risalah tapi terlewat -- pada pertengahan puasa baru ia sampai. Risalah itu menyeru kita bersedekah biarlah pada tempatnya, supaya matlamat kita sampai.

Kita boleh mengaitkan dengan kemewahan dan pembaziran majlis berbuka puasa di masjid (terutama kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya) yang sememangnya mewah dan tidak diperlukan itu. Maksud risalah itu -- ada umat Islam lain yang lebih memerlukan derma tersebut -- sama ada di negeri lain atau di negara lain seperti umat Islam di Kemboja, Vietnam, Indonesia, Selatan Thailand yang amat memerlukan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur.

Satu soalan yang perlu kita soal kepada diri sendiri sempena Ramadhan ini: "Manusia Islam apakah kita ini -- berpesta makanan, bermewah-mewah dengan makanan, berpesta pembaziran sedang di satu ceruk lain, saudara se Islam kita kelaparan?"

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Orang yang bijak akan menjadikan cemuhan sebagai perangsang. Orang yang malang akan menjadikan cemuhan sebagai penamat

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu