Kata Jackie Chan dalam iklan Petronas 2007
Posting pada:  25 Aug 2007 ( 1353 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Saya, bahkan tidak ramai yang menunggu hari kemerdekaan. Merdeka datang dan pergi, tapi kita begini juga, masih dijajah dari banyak segi terutama ekonomi. Biasa mendengar begitu? Bukan saya seorang yang merungut begitu, tetapi ramai sekali.




Sambutan Merdeka tidak lagi ghairan sejak dari tahun 1998. Lihatlah di tepi jalan dan kira sendiri -- berapa buah keretakah yang meletakkan bendera pada setiap 100 kereta yang lalu, walaupun bendera tersebut diberi percuma. Kemudian lihat bangunan pula. Yang pasti erti Merdeka pada generasi muda (dan tua) ialah laungan "Merdeka" dan berkumpul tanpa tujuan pada malam 31 Ogos di Dataran Merdeka.

Merdeka dari British? Mengapa masih mendewa-dewakan bahasa Inggeris, sedangkan kita ada Bahasa Melayu? Merdeka dari Jepun? Kenapa kehidupan kita masih dijajah oleh produk Jepun. Sekurang-kurangnya selipar Jepun. Baru-baru ini terlihat pekerja Jusco tunduk ke arah premis, di pintu sebelum keluar dari ruang tersebut. Katalah pekerja tersebut keluar hendak ke tandas atau makan, hendaklah memusingkan badan ke arah ruang premis dan tunduk hormat seperti datuk nenek moyang kita dulu tunduk hormat kepada askar Jepun. Jika tidak hormat akan kena pelempang. Satu lagi penjajahan budaya Jepun? Saya membaca tulisan yang tertampal di pintu, meminta pekerja Jusco tunduk 18 (atau 13 agaknya), salah satu sebabnya sebagai menghormati pelanggan dan juga tempat kerja. Jika itu tujuannya memang elok sangat.

Budaya kerja Jepun memang terpuji. Menurut Gan Ah Seng yang melawat Jepun, katanya tidak ada orang yang berjalan, sebaliknya hampir semua berlari mengejar dan menghargai masa. Oshin pun seperti berlari-lari anak, kurang berjalan. Kata Gan Ah Seng lagi, "Isteri-isteri di Jepun akan masan muka jika suami mereka balik cepat. Mereka bimbang suami mereka sudah tidak disayangi atau menyayangi syarikat." Kenapa terbalik? Isteri di Malaysia pula masam muka kalau suami balik lewat. Saya tak tahu isteri siapa, tetapi bukan isteri saya.

Merdeka dari Siam? Kita dijajah terus oleh Siam. Buktinya -- di ceruk rantau mana sekalipun, betapa sukarnya mencari makanan Melayu atau makanan Malaysia di gerai-gerai. Tetapi dengan amat mudah sekali, di ceruk rantau mana sekali pun dengan amat mudah menemui gerai Tomyam. Kita masih lagi mengimport bahkan bergantung dengan Beras Siam, Mangga Siam, Durian Siam. Import produk makanan dari Siam memang tinggi -- ayam, ikan, buan-buahan. Bagaimana dengan bomoh Siam yang mengeksport servisnya ke Malaysia? Bagaimana pula dengan pendatang Siam yang berniaga di sini?

Kita pernah dijajah selama 450 tahun. Benarkah kita sudah merdeka dari 5 kuasa besar -- Belanda, Portugis, Siam, Jepunj, British yang pernah menjajah kita itu?

Saya, dan ramai lagi lebih tertunggu-tunggu karya seni Yasmin Ahmad melalui iklan Petronas beliau yang terkenal saban tahun itu. Seperti tahun-tahun sebelumnya, penantian saya tidak menghampakan kerana saya (dan ramai yang lain) dapat menonton karya seni Yasmin Ahmad edisi Merdeka. Ada 2 edisi iklan Petronas setiap tahun iaitu untuk Merdeka dan untuk Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali.

Memang sudah branding -- iklan Petronas karya Yasmin Ahmad memang begitu, memang menyentuh perasaan. Tiga modality penting (jika anda belajar NLP tentu tahu apa itu modality dan sub-modality) -- penglihatan (gambar), pendengaran (muzik) dan perasaan (cara mengadun gambar dan muzik, mendatangkan perasaan) digunakan oleh Yasmin Ahmad menjadikan iklan Petronas menyentuh perasaan dan ada mesej yang hendak disampaikan. Itulah branding iklan Petronas. Bahkan kalau kita tutup mata, dengar saja muziknya kita sudah tahu itu iklan Petronas atau iklan karya Yasmin Ahmad. Mengatasi keseluruhannya -- iklan tersebut adalah untuk melariskan produk Petronas -- bukan dengan perkataan, "Belilah produk Petronas" tetapi dengan menggunakan perasaan menyebabkan penonton sentiasa teringat Petronas.

Seseorang pernah menasihati saya -- jika hendakkan yang terbaik hendaklah menggaji yang terbaik. Setuju? Anda hendakkan ilmu terbaik, hadirkan diri di seminar yang dikendalikan oleh orang yang terbaik, yang tidak ada gelaran "pakar" di depan namanya. Hendakkan bahagian pemasaran syarikat anda jauh ke depan? Sediakan gaji yang tinggi untuk menggaji pengurus pemasaran yang terbaik di antara yang terbaik. Hendakkan iklan terbaik? Sediakan wang yang banyak untuk melantik agensi pengiklanan yang terbaik seperti Leo Bunnet (di sini Yasmin Ahmad bekerja kalau tak silap saya sebagai Pengarah Kreatif).

Pernah seorang sahabat lepasan universiti menghadiri interview P & G, bukan untuk jawatan tinggi dapat merasai sendiri bagaimana susahnya cara interview mereka -- semata-mata untuk mendapatkan yang terbaik di antara yang terbaik.

Bagaimanapun, tak semua orang akan menang semunya. Secara jujur, saya tak suka filem Yasmin Ahmad, tetapi saya amat menyukai dan mengkagumi iklan Yasmin Ahmad. Saya anggap iklan Yasmin Ahmad sebagai karya.

Iklan Petronas 2007, settingnya kalau tak silap saya di Sungai Perak. Untuk lebih tepat saya tak tahu, tetapi ada persamaan dengan lokasi iklan "Janda Anak 7" yang sangat menyentuh perasaan itu -- keenam-enam anaknya mencari daging lembu dan membawa pulang seekor lembu.

Iklan Petronas 2007 dimulakan dengan pelakon utama (Man) sedang menggergaji dan mengetuk kayu dalam keadaan yang lesu dan tidak bersemangat. Untuk metaphor tersebut, kamera menggambarkan Man di sebalik sawang labah-labah. Linking terjadi -- sawang labah-labah menggambarkan 'lama'.

Linking seterusnya -- pakaian Man yang selekeh, buruk, rambut yang tidak bersikat -- menggambarkan Man memang sudah malas dan bosan untuk membuat sampan. Diletakkan basikal besar lama berhampiran untuk lebih dramatik. Seterusnya suasana kelam (warna yang hampir kepada sepia) menaikkan modality kita bahawa Man memang sudah bosan.

Untuk lebih menguatkan kenyataan Auditory (pendengaran) digunakan, dialog permulaan Man mengakui, "Saya dah tak laratlah nak buat sampan, Tuan Haji."

Kemudian semasa dialog dengan Tuan Haji itu, bila Tuan Haji meminta membuatkan sampan untuk kali terakhir, mimik muka Man yang beralih memandang ke arah lain, sambil minum teh (visual) menguatkan lagi personaliti Man yang sudah bosan dengan kerjanya.

Bijak atau tidak Yasmin Ahmad menggunakan asas NLP untuk menghasilkan karya?

Keseluruhan iklan tersebut adalah menggambarkan kesan dari pekerjaan manusia yang sudah hilang minat terhadap pekerjaannya. Sampan yang bocor dan hampir tenggelam menggambarkan kesan dari sikap Man yang sudah hilang minat terhadap pekerjaannya.

Kerana sudah tidak berminat -- Man mengambil jalan mudah untuk membuat sampan. Kualiti jauh sekali. Tidak ada istilah "sepenuh hati" kerana sudah kehilangan minat untuk bekerja. "Burung yang akan mati hanya berjalan, tidak lagi terbang" kata peribahasa Red Indian.

Tujuan Tuan Haji sebenarnya adalah untuk menghadiahkan sampan buatan Man sendiri, enjin dan sekaligus melupuskan hutang Man. Tuan Haji merahsiakannya kerana hendak memberi "kejutan" kepada Man.

Man pula, didorong oleh rasa malas dan sudah tidak berminat, membuat sampan secara sambil lewa kerana tidak mengetahui bahawa a sampan tersebut adalah untuk dirinya sendiri. Bukankah memang begitu sikap semulajadi manusia -- mementingkan diri sendiri? Sekiranya Tuan Haji memberitahu lebih awal bahawa sampan tersebut akan dihadiahkan kepada Man sebagai kenang-kenangan, pasti Man akan membuatnya dengan sehabis baik, sebaik mungkin kerana ia adalah untuk dirinya.

Kisah Man dan sampan ini sama dengan kisah yang pernah saya baca suatu masa dulu. Saya tak ingat di mana saya membacanya, kemungkinan besar di dalam Ukhwah.com.

Alkisah ada seorang tukang kayu yang sudah sekian lama bekerja sebagai tukang kayu dan juga sudah sekian lama tidak lagi berminat dengan pekerjaaannya. Ada banyak sebab -- kerana rutin, suasana, cabaran dan tenggelam dalam hutang. Memang sesungguhnya hutang boleh meragut keyakinan diri, kegembiraan dan minat.

Nama tukang kayu ini ialah Ahmad (sekadar nama hiasan, tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau mati).

Sudah sampai puncak, kebosanan Ahmad tidak lagi dapat dibendung lalu menemui tauke.

"Saya dah tak larat lagi nak bertukang tauke." Kata Ahmad.
"Habis tu kamu nak buat apa, Mad?" Tanya tauke.
"Tak tahu lagi... Tapi saya sudah tak sanggup lagi kerja tukang."

Tauke tersebut menung seketika sebelum menoleh kepada Ahmad dan berkata, "Beginilah Mad, sebelum kamu berhenti saya nak minta tolong. Tolong buatkan saya sebuah rumah. Tak kira berapa lama masa yang kamu ambil, asalkan siap."

Ahmad menghembuskan nafas keluhan. "Tak faham-faham tauke ini. Saya dah tak minat..." Kata Ahmad dalam hati.

Dengan longlai dan sekerat hati Ahmad pun pada keesokan harinya mula bertukang membina rumah yang dikehendaki taukenya. Hatinya tidak ada di situ. Dia bertukang dengan penuh rasa kebencian. Benci kepada pekerjaannya yang membosankan itu.

Hari demi hari dilalui Ahmad dengan penuh kebosanan. Namun janjinya kepada tauke dipenuhi. Kebenciannya kadang-kadang memuncak menyebabkan berminggu-mingu Ahmad tidak datang bertukang.

Akhirnya, setahun kemudian, rumah yang dibuat dengan penuh rasa kebencian, malas, itu siap. Cantik? Buruk sekali. Amat jauh dari sempurna. Rumah tersebut, bolehlah dikatakan asal siap saja. Keselamatan untuk mendiami rumah tersebut pun diragui.

Sekali lagi, dengan rasa yang lesu dan malas, Ahmad menyerahkan rumah tersebut kepada tauke.

"Sudah siap tauke..." Kata Ahmad.
"Oh, siap dah? Bagus Mad, bagus!" Kata tauke tersebut.

Kemudian, dengan wajah serius tauke tersebut berkata kepada Ahmad. "Ahmad, kamu sudah berkhidmat sebagai tukang di sini lebih dari 25 tahun. Kamu seorang tukang yang hebat. Sebagai mengenang jasa kamu, rumah terakhir yang kamu bina itu sebenarnya adalah HADIAH aku kepada kamu atas jasa kamu selama ini. Sudikanlah menerima hadiah yang kamu hasilkan dengan tangan kamu sendiri. Tahniah Mad."

Tiba-tiba Ahmad berasa berpinar dan pandangan keliling menjadi gelap. Dia pengsan.

Jackie Chan pernah berkata, "Saban hari saya berhadapan dengan bahaya, tetapi yang lebih bahaya ialah bila saya sudah tidak berminat dengan pekerjaan saya."

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ianya menjadi amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang yang soleh.

» Imam Syafie «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu