Dengan begini, adakah keadaan akan berubah?
Posting pada:  06 Aug 2007 ( 1119 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Dua buku Anthony Robbins dipadatkan menjadi satu -- "Notes Form Friend." Bukan maknanya ringkasan atau tak payah baca kedua-dua buku best-seller sepanjang zaman, "Unlimited Power" dan "Awaken The Giant Within," tetapi nampaknya itu kebijaksanaan sistem pemasaran mereka -- selepas membaca buku Notes From Friend itu, pasti teringin hendak membaca kedua-dua buku best-seller tersebut. Bijak? Apa yang boleh ditiru?

Di dalam buku tersebut ada beberapa kisah penting tentang "Takdir' dan tidak berputus asa. Contoh yang dibawakan sudah tentulah bukan Islam yang mengamalkan ajaran Islam. Kita kena faham bahawa ajaran Islam, al-Quran, hadis bukan diturunkan untuk orang Islam sahaja. Ia untuk semua -- untuk manusia tanpa mengira apa saja agama. Dan kita kena faham, jika ia ajaran Islam, ia adalah terbaik yang mana akhirnya kebaikan itu kembali kepada yang mengamalkannya. Suatu masa dulu, Tuan Guru Nik Aziz pernah bertanya, "Tunjukkan pada saya mana satu ajaran Islam yang tidak elok?" atau, "Tunjukkan pada saya satu saja di mana silapnya ajaran Islam?"

Di dalam buku Notes From Friend dibawakan kisah dua orang terkenal. Satu dari Barat dan satu lagi dari Timur. Yang satu 'branding'nya ayam dan satu lagi kereta. Kolonel Sanders dan Sochiro Honda dijadikan contoh bagaimana dengan tidak berputus asa, sesiapa pun boleh mencapai kejayaan dan cita-cita. Jangan putus asa? Ajaran agama mana ini? Bukankah ajaran Islam dan telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan kemudian telah diabaikan oleh kita semua, rakyat Malaysia, umat akhir zaman. Kenapa? Sebab, secara halus dan kasar, kita diasak, setiap hari dengan 'branding' baru -- Islam itu kemunduran, pengganas, ekstrim, pembangkang.

Kisah Honda mencipta enjin dan bagaimana susah-payah beliau mengusahakan enjin kereta Honda dijelaskan dengan menarik di dalam buku tersebut. Bukan sikit kesusahan yang dialami termasuk kemusanahan kilang akibat perang. Namun satu saja pegangan Honda -- meneruskan, tidak sama-sekali berputus asa. Kejayaan datang bersama kegagalan. Di mana fokus kita, itulah yang diperolehi. Kita memfokus pada kegagalan? Maka kegagalan sajalah yang kita perolehi. Mengapa tidak fokus kepada satu lagi yang datang bersama kegagalan iaitu kejayaan? Kita mendapat apa yang menjadi fokus -- maka fokuslah pada kejayaan yang datang secara berkembar dengan kegagalan itu.

Kisah Kolonel Sanders (Kentucky Fried Chicken) begitu menarik. Bukan untuk 'motivasi' tetapi untuk inspirasi. Pada usianya yang agak lewat, kehidupan Kolonel Sanders tidak seperti yang diharapkan. Beliau berada dalam kesusahan dan menghadapi masalah kewangan yang serius. Harta berharga yang dimiliki hanyalah resipi ayam goreng yang sedap. Itu sahaja. Satu lagi harta yang berharga ialah kemahuan dan tidak pernah berputus asa.

Pada mulanya Sanders hanya mahu menjual saja resipi itu kepada restoran-restoran. Tetapi itu akan mengulangi sejarah 'pokai'. Duit akan habis dan terpaksa mencari restoran-restoran lain berterusan bila duit hasil jualan sudah habis. Sanders mendapat idea baru, "Bagaimana kalau saya mengajar pemilik restoran cara menggoreng ayam yang sedap dan saya mendapat bahagain pada setiap ketul ayam yang dijual? Tak perlu saya dedahkan rahsia rempah yang digunakan. Rempah kena beli dari saya. Saya hanya mengajar cara menggoreng sahaja."

Dengan berpakaian putih (lihat kepada patung Kolonel Sanders di kebanyakan Restoran KFC), beliau merayau seluruh Kentucky menjual ideanya. Ada masanya terpaksa berhari-hari tidur di dalam kereta. Sudah tentu (mungkin untuk menyedapkan cerita, atau mungkin realiti), hampir keseluruhan restoran mengatakan "Tidak". Malah ada yang memaki hamun, "Hei orang tua dengan pakaian pelik, keluar! Ini baju apa macam ini?"

Untuk berapa kali? Hampir 2,000 kali! Kalau kita, sebahagian dari kiita, jangankan 2,000, mungkin baru 2 kali sudah balik dan mula menyalahkan orang lain atau keadaan.

Masih ingat lagi "Hukum Simbang"? Tidak semua orang mahu dan tidak semua orang tak mahu. Mesti ada yang mahu jika ada yang tidak mahu. "Siapa yang nak beli?" Biasa mendengar begitu? Kepada yang bercakap begitu, lain kali ingatkan dia, "Kamu jual kapal terbang ke? Alangkan kapal terbang, kapal selam pun boleh dijual, ramai yang mahu..." Itulah yang selalu saya katakan -- sepatah kata dari orang yang memandai boleh merosakkan hidup kita. Sepatah kata dari buku, majalah, akhbar yang main agak-agak boleh merosakkan keseluruhan hidup kita. Sepatah kata dari penceramah (atau di Malaysia ini lebih dikenali sebagai "Pakar Motivasi"), jika main agak-agak, memang mampu memusnahkan hidup kita.

Setelah 1,999 kali menerima cemuhan dan "tidak" akhirnya pada kali ke 2,000, seorang pemilik restoran bersetuju dengan cadangan Sanders. Selepas itu adalah sejarah -- Ayam goreng menggunakan resipi yang berasal dari Corbin, Kentucky telah tersebar di seluruh ceruk bumi ini. Di Malaysia saja ada lebih 300 restoran KFC. Sekarang bayangkan betapa ruginya Sanders jika berhenti pada kali ke 500, atau 5, atau 1,000 atau 1,999.

Namun, hanya dalam drama TV Malaysia saja segalanya berjalan lancar. Jika dinamakan bisnes, adalah mustahil segalanya berjalan lancar lebih-lebih lagi bisnes yang jujur tanpa campur tangan politik, rasuah dan 'orang dalam'. Yang dikatakan tadi hanyalah permulaan. Sanders sebagaimana usahawan lain tetap mengalami pelbagai masalah terutama pada peringkat permulaan.

Sama ada di Corbin, Kentucky atau di Kampung Chubadak, Sentul masalahnya tetap sama. Cara penyelesaiannya juga sama. Pilihan juga sama -- sama ada hendak fokus kepada masalah atau fokus kepada penyelesaian.

Antara masalah besar yang dialami oleh Sanders ialah restorannya terbakar dan jalan di depan restoran tidak lagi dilalui kerana dibina laluan lain.

Sebagai manusia biasa, tentulah termenung, sedih, cakap-cakap, menyesal, post-mortem, menyalahkan orang lain, bercakap berkisar "why" bukan "how" selama berminggu-minggu. Akhirnya, Sanders bangun mengeluarkan perkataan yang terkenal sehingga kini, "Dengan begini, adakah keadaan akan berubah?"

Jadi, bila ada mengalami masalah dan musibah, jika hanya termenung dan menyesali, tanyakan kembali kepada diri sendiri soalan penting seperti Sanders tadi.

Ia adalah pilihan anda sama ada untuk fokus kepada menung atau bangkit semula. Tidak ada siapa yang menghalang. Jika anda melakukan seperti majoroti manusia yang lebih suka fokus kepada menung, menyesal, cakap-cakap, menyalahkan orang lain dan keadaan -- jangan salahkan sesiapa jika kita tergolong dalam majoriti manusia -- gagal dan menjadikan kegagalan sebagai gaya hidup.

Jadi, kisah Sanders tadi mendidik kita semua supaya:

1. Jangan sekali-kali fokus kepada putus asa sebaliknya fokus kepada meneruskan.

2. Jika mengalami musibah, kegagalan, malang -- bangkit semula. Fokus kepada bangkit semula bukan fokus kepada kegagalan itu. Fokus kepada "how", hentikan fokus kepada "why" semata-mata.

Dua lagi kisah menarik yang seakan sama dengan kisah Sanders tadi ialah kisah orang purba yang mengetuk batu.

Ceritanya pun agak dramatik. Pada kali ke 999 orang purba itu mengetuk batu masih tidak ada apa-apa yang terjadi. Akan tetapi sebaik saja dia mengetuk sekali saja lagi -- pada kali ke 1000, batu tersebut bersepai. Banyak versi untuk cerita ini. Ada yang menceritakan mengetuknya pada kali ke 1001 (angka yang lebih dramatik) barulah batu tersebut bersepai.

Moral dari cerita tersebut -- alangkah ruginya jika berhenti pada ketukan ke 9, 90, 900, 999. Hanya satu kali saja lagi. Sekali ketuk saja lagi. Kalau sanggup mengetuk 999 kali mengapa tidak sanggup mengetuk 1 kali saja lagi. Hanya sekali saja.

Berehat boleh tapi jangan lama-lama nanti hilang semangat, Yang paling utama, selepas itu, selepas berehat, fokus kepada meneruskan.

Satu lagi ialah kisah penemuan berlian terbesar. Ali Hafez sesudah menggali kebunnya yang luas itu tidak menemui sebarang berlian. Kerana putus asa beliau menjual kebunnya. Orang yang membeli kebun Ali Hafez terus menggali. Hanya 3 langkah dari tempat Ali Hafez berhenti menggali, orang itu menemui berlian yang terbesar di dunia. Saya tak tahu ini cerita dongeng atau cerita rekaan. Yang penting ialah moralnya -- fokus pada meneruskan, "Ia belum berakhir selagi belum berakhir."

Bagaimanapun, selama ini kita hanya diberitahu supaya sentiasa meneruskan, tetapi jarang sangat atau tidak pernah diberitahu bagaimana cara meneruskan. Caranya ialah dengan mengikuti asas NLP -- "Jika kita melakukan apa yang selalu dilakukan, kita akan mendapat apa yang selalu kita dapat." Jangan putus asa, teruskan tetapi tidak semestinya melakukan perkara yang sama. Ubah cara, jika cara yang dilakukan selama ini tidak mendatangkan hasil. Anda tidak dapat mengubah haluan angin tetapi mampu mengubah haluan pelayaran -- asalkan sampai ke destinasi.

Pengetuk batu tadi tidak semestinya melakukan ketukan yang sama. Mungkin mengetuk dari arah yang berbeza -- asalkan batu itu bersepai. Asalkan fokusnya kekal.

Sanders juga tidak melakukan cara yang sama. Ubah cara asalkan tidak keluar dari landasan.

Jangan fokus pada putus asa, sebaliknya fokus kepada meneruskan. Ikuti jejak Rasulullah SAW.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Orang yang bijak akan menjadikan cemuhan sebagai perangsang. Orang yang malang akan menjadikan cemuhan sebagai penamat

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu