Dengan apa yang saya lakukan sekarang...
Posting pada:  28 Jul 2007 ( 1070 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Lokasi: Pudu Plaza, Kuala Lumpur, tingkat berapa saya dah lupa. Tahun berapa pun saya sudah lupa tapi lingkungan tahun Reformasi ( 1998 ), ketika itu Pudu Plaza meriah. Kedai buku Albert Lim pun meriah. Stokis Zhulian hanya beberapa langkah dari kedai Albert Lim.

Genesis World, syarikat MLM yang menjual produk berasaskan ayuveda yang khabarnya sedang meletup ada di tingkat atas. Biasanya sambil ke stokis atau ke HQ Genesis World itu akan singgah ke kedai Albret Lim membeli buku, kaset, poster dan berbagai-bagai lagi 'produk sukses'.

Di Genesis World itulah saya bertemu dengan salah seorang usahawan MLM perempuan yang berjaya -- namanya Leong. Saya menginterview beliau selama lebih kurang 2 jam. Sungguh fasih berbahasa Melayu dan kata-katanya penuh berisi. Dari beliau saya dapat belajar satu perkara yang sangat baru, yang selama ini 'mindset' saya sudah tersilap. Saya belajar suatu yang baru tentang hadis Nabi dari bukan Islam.

Apa 'mindset' anda bila mendengar hadis ini?

"Di dalam diri kita ini ada seketul daging, jika daging itu elok, maka eloklah seluruh badan."

Saya, mungkin juga anda tentu sudah set, hati di sini adalah 'perasaan' -- baik hati, busuk hati, mulia, benci, dengki, nak menipu dan sebagainya. Itu mindset kita.

Sehinggalah pada hari tersebut, Leong memberitahu saya -- jangan hanya fokus kepada 'hati perasaan' -- lihat sekali kepada 'hati fizikal' -- fungsi hati (liver) dalam badan.

Betul sekali. Hati ada dua -- 'hati perasaan' dan 'hati fizikal'. Jadi mengapa hanya memfokus kepada 'hati perasaan' sahaja? Mesti diperelokkan kedua-duanya sekali.

Hati perasaan atau hati batin memanglah perlu sentiasa dibelai, dijaga, diisi dengan kebaikan -- sepanjang masa, maklum saja kita ini manusia bukan malaikat -- suasana sekeliling membentuk kita. Proses revolusi diri dan reformasi diri hendaklah berterusan, bukan sekali-sekala. Saya, manusia yang lemah di sisi Allah SWT ini, selalu sangat kecundang. Sebagai manusia yang terdidik dengan suasana sekeliling penuh dengan gejala keji, nilai-nilai jahiliyah, rasuah, keburukan, kita tidak ada pilihan lain selain terus menerus, setiap hari menangkis segala gejala buruk itu dari terus meresap ke dalam hati kita dan kekal di situ.

Bagaimana cara menangkisnya?

1. Sudah tentu dengan senjata mukmin yang paling kuat iaitu doa

2. Dengan menyerapkan kebaikan sepanjang masa melalui 3 modality utama manusia -- penglihatan, pendengaran dan perasaan.

Bukan mudah tetapi kita mesti berusaha sedaya upaya.

Doa -- yang utama ialah pelaksanaan selepas doa. Kalau berdoa meminta kekayaan dari Allah SWT tetapi sepanjang hari hanya bermain dengan kucing atau sedang 'mengusahakan kemiskinan', bolehkah kita mencapai apa yang diminta setiap hari itu?

Kalau memohon dari Allah SWT meminta semoga dihindari dari terus diterjah oleh suasana dan media dari sekeliling, tetapi setiap petang melangkah ke kedai kopi -- apa cerita?

Bukan senang. Saya selalu kecundang. Saya tak mahu kata orang lain, tetapi mengata diri saya sendiri. Bukan senang tetapi tidak mustahil. Kita yang berkuasa terhadap diri kita.

Pernah melihat suasana ini -- tikus ditelan ular? Walaupun, pada pandangan kita memang sudah tidak ada harapan, tetapi tikus tersebut terus meronta. Tidak tahu apa yang difikirkan oleh tikus tersebut. Mungkinkan -- "Ia belum berakhir selagi belum berakhir"?

Begitulah yang dimaksudkan berusaha sedaya-upaya. Walaupun seakan-akan mustahil tetapi terus berusaha sedaya-upaya.

Kita lihat pula 'hati fizikal'. Hati atau liver adalah organ yang terbesar sekali. Fungsinya ialah menyaring segala rupa kotoran toksin di dalam darah. Bayangkan, jika darah kita tidak ditapis, disaring oleh hati -- seluruh badan akan rosak dan tak lama kemudian kita mati. Kerana itu, "jika hati elok, seluruh badan elok, InsyaAllah." Setuju?

Saya mengingatkan diri saya dan sahabat sekelian supaya menjaga kedua-duanya -- hati perasaan dan hati fizikal. Bukan hanya satu sahaja.

Ada herba tertentu yang boleh digunakan untuk membersihkan 'hati fizikal' -- antaranya ialah burdock, milk thistle, dandelion. Jangan sekali-kali sambil lewa -- baca artikel mengenai liver dan pergilah ke farmasi untuk bertanya lebih lanjut tentang herba-herba tersebut.

Begitulah -- akhirnya saya tahu tentang kedua-dua hati itu dari bukan Islam. Selama ini dari ceramah agama yang saya dengar hanya menghuraikan tentang 'hati perasaan'. Moga selepas ini ada penceramah yang memberitahu kedua-duanya.

Apa lagi yang disampaikan oleh Leong? Rasanya perkara asas yang sangat penting.

Asas itu penting sekali. Kita mungkin telah terbabas jauh dengan jargon seperti "Islam dalam era Globalisasi" atau "Islam menuju Globalisasi," dan sebagainya tetapi barisan saf solat bengkang bengkok. Mana lebih penting? Kedua-duanya penting tetapi Imam Ghazali (bukan R. Covey) menyebut, "Utamakan yang utama," jadi, utamakan saf solat yang lurus, wudhuk yang betul, halal haram makanan yang kita makan setiap hari, dan berbagai lagi fardhu ain.

Saya pernah meminta dari seorang pengerusi masjid supaya memberikan peringatan setiap kali sebelum sembahyang Jumaat supaya kanak-kanak tidak sembahyang bersama dewasa. Tahu apa jawabnya? "Susahlah..." Memang susah, sebab belum diusahakan sudah mengaku susah.

Saya pernah meminta seorang bapa supaya menyuruh anaknya ke belakang, ke bahagian saf kanak-kanak. Tahu apa jawabnya, "Dia dah sunat." Jahil dan enggan belajar. Sunat dengan baligh bukankah dua perkara berbeza?

Dalam kes lain pula saya meminta seorang ayah supaya tidak membawa anak solat bersama orang dewasa dalam saf. Tahu apa jawabnya, "Nanti anak saya tidak mesra masjid. Mana nas yang melarang kanak-kanak sama saf dengan orang dewasa?" "Tak tahulah, tapi saya tahu, kanak-kanak memutuskan pahala saf." Lelaki itu tak puashati, "Awak belajar di mana, saya sudah haji tau!" Ingin saya mengeluarkan laser, "Kalau dah haji kenapa??" tetapi saya mengambil jalan ringkas, "Tak apa Encik, saya sudah sampaikan apa yang patut. Terpulang pada encik."

Apa asas penting yang Leong (di manalah dia kini...) sampaikan kepada saya dan ada kaitannya dengan Islam?

1. "Bila kita menghulurkan satu tangan, Tuhan akan menghulurkan lebih banyak tangan." Asasnya saya setuju tetapi jangan sampai salah tafsir, nanti kita kata Allah itu ada banyak tangan. Maksud sebaliknya yang penting -- bila kita menolong manusia, Allah akan berganda-ganda menolong kita. Bukankah ini asas ajaran Islam?

2. Apa dalam fikiran pemandu Formula One? Fikirannya hanya dipenuhi dengan MENANG. Jadi tidak ada ruang untuk memikirkan akibat dan risiko yang boleh menghalang kemenangan. Leong menyoal saya, "Bagaimana kalau pemandu itu terfikir ada satu skru longgar pada keretanya?"

Dan akhirnya, inilah kata-kata Leong (di manalah dia kini...) yang sangat penting: "Dengan apa yang saya lakukan sekarang, bolehkah matlamat saya tercapai?" Menarik? Penting? Sangat penting!

Sekali lagi -- asas yang penting sekali dalam pencapaian -- hendak mencapai apa saja matlamat mestilah bermula di hujung. Setuju?

Satu lagi teladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW yang tidak mahu sebahagian besar dari kita ambil tahu setelah berjaya atau hampir berjaya branding oleh musuh-musuh Islam (sebahagiannya ialah orang islam sendiri) bahawa jika ada kaitan dengan Islam adalah -- pembangkang, ekstrim, pengganas.

Yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW adalh yang terbaik. Ada yang lebih baik? Saya ingin mendapat jawapan yang tepat.

Contoh mencapai matlamat -- Baginda Rasulullah SAW bermatlamat untuk menjadikan Islam agama rasmi yang diterima oleh dunia.

Itu matlamat di hujung, perjuangan selama 23 tahun. Adakah apa yang dilakukan oleh Baginda pada permulaan, pertengahan itu membawa kepada penghujung? Itulah yang dimaksudkan. Apakah yang anda lakukan sekarang, semalam, hari ini, esok boleh membawa anda kepada matlamat? Boleh? Jika boleh teruskan. Jika tak boleh -- "kembali ke pangkal jalan untuk memulakan semula." Jika terbabas, terkeluar dari landasan -- masuk balik ke landasan dan hidupkan enjin semula.

Jika di hujung sana mahukan pokok durian, tapi hari ini menanam pokok rambutan -- bolehkah tumbuh subur pokok durian itu? Jika hari ini melalak, masuk kelas vokal, belajar menyanyi rock dan sentiasa menyertai pertandingan nyanyian, bolehkah ia membawa kepada cita-cita anda jika cita-cita anda ialah seorang tahfiz yang bukan saja hafal al-Quran bahkan hidup berpandukan ayat-ayat yang dihafal.

Jadikan ia sebagai soalan harian untuk mengetahui sama ada anda sedang mendekati ataui menjauhi matlamat. Setiap pagi, tengahari dan malam tanya kepada diri sendiri, "Dengan apa yang sedang saya lakukan ini, bolehkah matlamat saya tercapai?" Jika matlamat anda menjadi orang kaya dengan memiliki harta beberapa juta, disertakan dengan sedekah anda juga beberapa juta, lihat diri sendiri kepada apa yang sedang dilakukan sekarang dan tanya, "Dengan apa yang sedang saya lakukan ini, bolehkah saya menjadi orang kaya yang dermawan?" Jika boleh teruskan, jika tidak boleh, cari jalan dan cara supaya menjadi boleh.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Hukum seimbang: Tidak semua orang suka dan tidak semua orang tidak suka

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu