Tiada permintaan, tiada penawaran, tiada bisnes
Posting pada:  16 Jul 2007 ( 1240 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Dalam setiap aspek kehidupan ini, demand and supply (permintaan dan penawaran) sentiasa bersama anda. Ia bukan sahaja teori ekonomi bahkan ia wujud dalam setiap kehidupan. Jadi, jangan ambil ringan.

Dalam bisnes terutamanya, P & P ini jangan sekali-kali diambil ringan, kerana tanpa P & P, tiada bisnes. Contohnya: produk ciptaan anda sangat hebat (penawaran) tetapi kurang atau tidak ada manusia yang mahu, maka produk anda yang hebat tidak akan terjual. Tiada jualan, tiada bisnes.

Atau, ramai yang mahukan produk hebat anda (permintaan) tetapi anda tidak dapat membekalkan (penawaran) -- tiada jualan, tiada bisnes.

Anda menulis buku yang paling hebat (menurut sudut pandangan anda) dan telah diterbitkan. Ia sudah berada di rak buku sejak sekian lama tetapi amat kurang yang membeli. Tidak ada jualan, tidak ada royalti, tidak ada bisnes. Bagaimaan pula dengan sebaliknya -- permintaan untuk buku tulisan anda amat tinggi kerana nama anda sudah terkenal, kerana anda bijak mencipta kontroversi (tapi tidaklah sampai baring di depan stesen TV) yang menghasilkan publisiti, tetapi malangnya, buku anda tidak dapat dibekalkan. Akibatnya? Sama saja -- tidak ada P & P sudah tentu tidak ada bisnes.

Kita teruskan: anda mempunyai produk (penawaran) -- katalah, kerepek paling sedap di dunia, lalu anda menjual di internet setelah dengar-dengar mengenai "bisnes internet" dan "jutawan internet". Anda pergi seminar cara menjual produk di internet. Kemudian anda buat laman web atau gunakan laman web percuma seperti multiply, blogspot, wordpress, meletakkan gambar kerepek, menjual kerepek melalui internet. Anda mempromosikannya teermasuk menceroboh forum-forum yang tidak membenarkan iklan percuma (seperti ukhwah.com, hanan.com.my), melakukan spam, mengiklankan secara berbayar, tapi, sesudah setahun, hits (kalau ada counter hits) ke laman web anda hanya ratus-ratus sahaja. Tidak ada yang membeli pun. Barulah anda sedar, rupanya internet sama saja dengan media lain -- ia sekadar media untuk mengiklankan, cuma lebih murah untuk mengiklankan -- tidak ada orang melihat, tidak akan ada orang berminat. Sekali lagi, tidak ada P & P (hanya ada penawaran sahaja), maka tidak ada bisnes. Angan-angan menjadi "jutawan internet" hanya tinggal angan-angan. "Kena kelentongkah aku?" Itu soalan yang keluar dari otak setiap hari.

Apa lagi? Anda belajar biotech atau IT di universiti kerana mengikut seruan kerajaan. Keluar dari universiti tidak ada atau amat kurang peluang pekerjaan dalam bidang tersebut (permintaan), tetapi, penwarannya boleh dikatakan lambakan -- berpuluh universiti mengeluarkan ribuan granduan dalam bidang tersebut. Bahkan, layakkah penawaran itu memenuhi permintaan. Bagaimana akan dapat memenuhi permintaan kalau yang dikejar adalah sijil, bukan ilmu. 'Modal sijil', bukan 'Modal insan'. Apa penyelesaiannya?

Begitulah pentingnya P & P. Kerana itu dalam bisnes atau dalam apa saja pun hendaklah memastikan sama ada:

1. Keluarkan dan pasarkan produk yang sudah setua sejarah kerana ia memang sudah tersedia permintaan. "Dah banyak dah..." Kata orang-orang yang sempit perspektifnya. Memang sudah banyak tetapi masih banyak lagi yang perlu dipenuhi permintaannya. Kopi sudah setua sejarah tetapi boleh dipelbagaikan dengan segala rupa kopi kuat yang tak berapa kuat. Sabun sudah setua sejarah tetapi ada berbagai jenis sabun dan sentiasa ada pembaharuan. Bagaimana dengan sabun tongkat ali? Belum ada di pasaran. Rumah sudah setua sejarah tetapi ada berbagai-bagai jenis rumah untuk memenuhi keperluan semasa.

2. Pastikan permintaan terlebih dahulu sebelum membuat penawaran (cara yang selamat). Kerana itu, orang yang bijak tidak terus terjun ke dalam bisnes sebaliknya membuat kajian yang mendalam. Tapi berapa kerat sajakah usahawan (?) yang membuat 'pelan perniagaan' terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan? Berapa kerat yang membuat 'pelan pemasaran' sebelum terjun ke dalam bisnes. Bukan pelan pemasaran 'rajah bulat-bulat' seperti dalam MLM tetapi pelan pemasaran berdasarkan 'Suami Beristeri Lima (H5W)'.

3. Jika bajet anda besar, cipta perminataan. Sediakan penawaran kemudian barulah cipta permintaan. Atau sebaliknya. Ingat, hanya jika bajet anda besar dan yakin memang akan ada permintaan. Jika kecil, jangan hendak cari penyakit.

Mencipta permintaan bukan perkara mudah. Anda mungkin terpaksa membudayakan masyarakat untuk jangka masa yang panjang bagi mencipta permintaan. Contoh klasik ialah KFC, A&W dan McDonald. Berapa lama masa yang diambil untuk membudayakan rakyat Malaysia makan ayam goreng sebagai makanan utama bukan lagi lauk? 30 tahun! Dari restoran pertama di Jalan Tuanku Abd Rahman hinggalah kini melebihi 300 restoran di seluruh Malaysia. Selama lebih 30 tahun itulah, Kentucky Fried Chicken membudayakan rakyat Malaysia hingga tercipta permintaan yang tinggi. Bila ada permintaan yang tinggi, sudah pasti penawarannya juga tinggi. Sudah tentu keuntungannya juga tinggi. Sanggupkah anda bertahan sebegitu lama untuk mencipta permintaan?

Kita mungkin telah terbabas jauh tentang tafsiran bisnes, sampaikan kita menganggap menjual melalui internet (dengan angan-angan boleh menjadi "jutawan internet") adalah bisnes utama. Itu salah! Itu adalah salah satu pecahan pengurusan bisnes iaitu penjualan (nak kata pemasaran pun tidak boleh sangat).

Jadi, kembali kepada asas bisnes iaitu secara mudah ialah: menyampaikan produk atau servis (penawaran) kepada manusia yang memerlukan (permintaan).

Nabi Muhammad mempunyai produk iaitu tekstil (penawaran). Produk tersebut sudah setua sejarah dan memang diperlukan oleh setiap manusia dari lahir hingga mati. Baginda menjualnya hingga ke Syam untuk memenuhi keperluan manusia (permintaan).

Adakah baginda mengeluarkan sendiri tekstil? Tidak perlu. Baginda membeli dari pengeluar dengan harga yang diberi diskaun dan menjualnya semula untuk memperolehi keuntungan.

Itulah asas bisnes, tak payah bersusah-payah dibelit-belit. Asas bisnes ialah ada permintaan dan ada penawaran. P & P.

Permintaan dan penawaran juga selalunya mengikut musim. Jika anda pandai memerhatikan, belajar dari sejarah -- ada beberapa sektor yang mengalami kekurangan permintaan dan terlebih penawaran -- ia menjadikan sektor yang berisiko.

Contohnya ialah sektor hartanah. Anda sudah membaca buku kononnya mengenai hartanah, sudah pergi kursus hartanah -- kononnya tak lama lagi akan menjadi "jutawan hartanah" pula sesudah gagal menjadi "jutawan internet". Menjadi "jutawan mlm" pun gagal kerana asyik melompat-lompat dari satu dahan ke satu dahan, macam monyet. Atau lebih suka bermain-main dengan kucing di rumah berbanding menjalankan bisnes. Nak jadi "penulis jutawan" pun gagal sebab kandungan buku hanya sekadar penglipurlara.

Lalu menceburi sektor hartanah tanpa mengetahui bahawa iklim hartanah sekarang ini lengang, lesu. Sejak dari tahun 1998, penawaran melebihi permintaan. Apa jadi? Jadilah lambakan hartanah. Bila jadi lambakan, apa akan terjadi seterusnya? Turunkan harga untuk 'cut loss'.

Apa jadi dengan anda yang telah membeli katalah rumah, kemudian disimpan sekejap untuk dijual semula. Ada saham spekulatif dan ada rumah spekulatif juga -- rumah yang dibeli bukan untuk didimai sebaliknya untuk dijual semula. Agak malang, oleh kerana penawaran melebihi permintaan, tidak ada yang hendak membeli rumah yang telah anda beli itu. Anda tidak memperolehi keuntungan sebaliknya hari demi hari menanggung kerugian. Harapan agar harga rumah tersebut meningkat dari setahun ke setahun, menjadi terbalik -- makin merosot akibat kurangnya permintaan. Contoh paling tepat ialah kawasan perumahan Bukit Beruntung (Edisi Siasat memperlinya Bukit Berugi) -- di mana harga rumah makin merosot atas banyak faktor.

Sekali lagi, untuk menggambarkan betapa besarnya lambakan penawaran, amat kurangnya permintaan -- tidak pernah terjadi dalam sejarah, syarikat perumahan mengadakan jamuan sate, nasi lemak, makan-makan untuk menarik pembeli. Berbeza suatu masa dulu, contohnya rumah di Bandar Utama, Petaling Jaya, sekitar tahun 1990, khabarnya ada pembeli yang terpaksa menginap di depan pejabat jualan supaya dapat membeli rumah di Bandar Utama; berebut-rebut hendak membeli -- pada ketika itu harganya lingkungan RM180,000.00. Masa berubah, kini penjual pula yang terpaksa melangut di pejabat jualan.

Tidak ada lagi pendahuluan 10%; ada pula yang menawarkan hanya dengan RM100 sahaja sudah boleh memiliki rumah. Bahkan ada yang menawarkan TV plasma jika membeli rumah.

Kena faham -- apa mesejnya. Mesejnya mudah saja -- sudah ada lambakan penawaran dan kurangnya permintaan -- tidak ada bisnes atau bisnes yang agak perit.

Boleh dikatakan saban hari TV3 menyiarkan berita rumah terbengkalai. Apa pula mesejnya? Carilah sendiri. Masih sihatkah sektor ini?

Jangan main hentam saja -- pelajari lebih lanjut tentang penawaran dan permintaan kerana ia bukan saja berlaku dalam bisnes bahkan boleh dikatakan dalam setiap aspek kehidupan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Di mana ada manusia, di situ ada peluang

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu