Modal Insan, Modal Nisan
Posting pada:  15 Jul 2007 ( 1174 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Buku baru saya yang tertangguh penulisannya selama 6 tahun, di dalam salah satu bab membentangkan "Jadilah insan sebelum nisan." Buku tersebut akan mula ditulis pada bulan depan, InsyaAllah, selepas menyiapkan buku lain.




Keterangan Gambar: Ezika Armansur (kiri sekali) bersama pasukannya sebelum bertolak ke kem. Modal insan? Modal insan sepatutnya dibentuk sejak kecil begini. Tapi modal insan apakah namanya jika dijanjikan pendaftaran pukul 2.30 tetapi sudah pukul 2.50, kelibat seorang guru pun tidak kelihatan. Modal insan apa kalau sedari kecil lagi dididik untuk tidak mengikuti firman, "Wal Asri...., Demi masa...." Janji bertolak pukul 3.00, tetapi pukul 3.40 masih tidak berganjak lagi. Adakah ini satu lagi modal publisiti?


Apa judul bukunya? Rahsia besar! Ada sesuatu yang menyentuh hati saya tentang judul buku tersebut. Pertama, saya telah mungkir janji kepada penerbit terdahulu (Readers World) kerana saya berjanji akan menyiapkan buku tersebut dalam masa 2 bulan, tetapi sehingga syarikat tersebut tutup bersama kedai buku terbesar di Kuala Lumpur, di tingkat 4 Kompleks Kotaraya (pada masa itu yang bersaing keluasannya dengan MPH di Mid Valley), buku tersebut tidak ditulis lagi, hanya humpunan 'jot' -- idea-idea yang dicatatkan.

Pernah juga pada masa itu seseorang tertarik dengan judul buku tersebut. Dia berhajat untuk membeli judul tersebut untuk dijadikan tajuk seminar beliau. Saya menjawab, "RM20,000.00 sahaja!" Dia hanya tersengih.

Ia bukan buku motivasi! Dan akan tertulis di kulit buku, "BUKAN BUKU MOTIVASI".

Saya tak pasti lagi kepada siapa buku tersebut akan saya serahkan untuk diterbitkan sesuidah siap nanti. Mungkin sekali saya akan menerbitkannya sendiri.

Di dalam bab "Jadi insan sebelum nisan" akan dituliskan fakta penting sekali iaitu "Hidup sebelum mati." Mengapa kebanyakan kita telah mati sebelum mati atau tidak ada kehidupan yang sebenar sebelum sampai masa mati. Mengapa tidak ada sebarang bakti sebelum mati? Dan, yang paling penting, mengapa tidak menjadi insan sebelum dipacakkan nisan?

Bukan sekadar mengapa, disertakan dengan bagaimana. Bagaimana menjadi insan sebelum menjadi nisan.

Rasulullah SAW pernah bersabda, "Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati." Ramai yang salah tafsir menyangka hanya, "persediaan sebelum masuk ke kubur, amal yang akan dibawa ke kubur." Itu betul dan tepat sekali, tetapi ramai yang terlupa pula -- "bahawa hidup ini ada tempohnya, apa yang perlu dibuat sebelum tamat tempoh tersebut."

Sabda lain pula, "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang berguna dan memberi sinar kepada manusia lain." Itulah yang perlu dilaksanakan sebelum insan menjadi nisan. Sebelum tamat tempoh.

Sekarang ini sibuk sangat dengan Modal Insan. Gegak gempitanya, paluan gong, kompang, canang di serata pelusuk rantau sehingga ramai yang terpinga-pinga. Sesudah gegak gempita biotech reda, menyusul pula gegak gempita Modal Insan. Dalam masa terdekat nanti, bila anda bertanya kembali, "Apa itu Modal Insan?" Maka jawapannya akan dibelit-belit, dikelirukan dan mengelirukan. Sama seperti biotech.

Rasa-rasanya gegak gempitanya melebihi perkara yang seakan-akan sama disebut pada zaman Mahathir dulu. Masih ingat K-Economy? Seorang yang saya kenali mengambil kesempatan menulis mengenai K-Economy. Saya bertemunya di seminar Albert Lim di Sunway Pyramid dan kerana ini tahu bertanya, "Tell me please, what is K-Economy? A new useless publicity?" Dia seperti meradang dan tergagap-gagap menerangkan. "Itulah... seperti yang kamu buat sekarang, menulis, memasarkan ilmu... ekonomi berasaskan ilmu..." Saya hanya menggeleng kepala.

Setahu saya K-Economy (Knowledge Economy) ialah ekonomi yang berasaskan ilmu pengetahuan (sama dengan modal insan? Insan berilmu yang dijadikan modal untuk ekonomi?). Ilmu dijadikan sumber ekonomi. Contohnya internet -- maklumat diproses dijadikan ilmu dan kemudian dijadikan seperti komoditi lain dijadikan sumber ekonomi. Contoh lain, Malaysia dijadikan pusat pendidikan, pelajar-pelajar dari luar negara datang ke Malaysia untuk belajar di sini, sebagaimana sekarang ini pelajar-pelajar dari Malaysia dan serata pelosok dunia belajar di England, Amerika, Australia. Dengan cara itu akan mendatangkan kegiatan ekonomi. Soalnya, bolehkah pendidikan dan ilmu kita 'dijual' seperti di England, Amerika, Australia, Mesir, Jordan? Mengapa boleh dan mengapa tidak boleh? Itu soalnya. Lebih utama -- layakkah ilmu (betul ilmu?) dieksport sebagaimana komoditi lain? Benarkah pusat pengajian di negara kita ini menawarkan ilmu atau menawarkan sijil? Sudah berkurangkah sindrom 'siswa belon'? Boleh naik tapi dalamnya kosong. Jadi, nilai sendiri, layakkah ilmu pengetahuan dijadikan sumber ekonomi?

Melainkan sistem pendidikan kita tidak berasaskan peperiksaan dan sijil, barulah sindrom 'siswa belon' dapat dikurangkan dan dalam masa yang sama barulah ilmu pengetahuan dari negara kita ini boleh dijadikan sumber ekonomi. Barulah K-Ekonomi boleh dijayakan seperti di England, Amerika, Australia, Mesir, Jordan dan lain-lain. Kalau boleh dihapuskan perbuatan dan istilah 'kabel' barulah boleh ilmu pengetahuan dalam negara kita ini dijadikan sumber ekonomi.

Perkara yang sama dengan Modal Insan yang kini sedang digembar-gemburkan. Insan dijadikan 'produk' dan sebagai modal untuk membina ekonomi negara. Maknanya insan yang 'boleh pakai' untuk membina ekonomi negara. Maknanya: siswa belon, mat dan minah rempit, penagih dadah tidak boleh dijadikan modal.

Bagaimanakah menghasilkan manusia yang boleh dijadikan modal? Itulah persoalan yang amat penting sekali. Sejak dari umur berapa mereka diasuh supaya boleh dijadikan modal?

Saya rasa negara kafir seperti Amerika sudah lama mengambil model Islam untuk membina modal insan. Sudah sekain lama mereka mengamalkan modal insan dan berjaya. Sejak dari umur yang masih rebung sudah diasuh untuk dijadikan modal -- diberikan ilmu (bukan angin) supaya jadi manusia yang berilmu dan kemudian ilmu itu digunakan untuk memajukan diri. Negara yang maju adalah terhasil dari rakyatnya yang juga maju. Kalau 90% rakyatnya mundur, mementingkan diri sendiri, tidak berilmu, suka main kabel dan orang dalam -- bolehkah negara menjadi maju? Mungkin maju dari segi 'paluan gong' sahaja.

Kalau yang dipelajari di sekolah untuk membolehkan pelajar menjadi 'pendita', tak payahlah sibuk pasal Modal Insan. Jika pelajar perlu tahu berapa dalam sungai Yang Tze Kiang di Negara China kemudian bila sudah keluar sekolah kita pun hairan -- "Untuk apa aku belajar tentang segala rupa sungai di China, Kemboja, Indon? Sekarang aku nak menyara hidup, adakah dengan mengetahui nama-nama sungai itu membantu pekerjaan aku?" Rupa-rupanya perlu menghafal nama-nama sungai itu kerana ia keluar dalam soalan peperiksaan. Perlu dihafal kerana sistem pendidikan adalah berasaskan peperiksaan. Sekarang, setelah keluar dari universiti, bertanya kembali, "Bolehkah dengan mengetahui nama-nama sungai di Negara China itu menjadikan saya sebagai modal insan?"

Layakkah insan yang ada sekarang dijadikan modal jika suasana sekeliling tidak membentuk mereka menjadi insan yang boleh dijadikan modal? Insan mesti diasuh sedari tadika lagi dengan asuhan yang membolehkan mereka menjadi Modal Insan. Tetapi kalau di Tadika lagi sudah dididik oleh guru yang mengamalkan pilih kasih, kemudian masuk ke sekolah rendah dididik pula dengan cara-cara tidak menghormati masa, selepas itu ke sekolah menengah dididik cara-cara lulus peperiksaan, berlarutan masuk ke universiti dididik supaya mengejar sijil, anda sendiri dapat meneka kesudahannya.

Sekarang, diam seketika dan tanya, "Layakkah saya ini dijadikan modal untuk memajukan negara?" Diam dan lihat kepada adik atau anak, "Layakkan mereka dijadikan modal untuk membangunkan ekonomi negara?"

Bagaimana dengan media yang tidak terkawal di sekeliling kita ini? Bukankah media amat kuat pengaruhnya kepada insan? Adakah media-media tersebut membentuk insan yang boleh dijadikan modal? Bagaimana pula dengan suasana sekeliling kita ini? Bolehkah ia membentuk insan yang boleh dijadikan modal?

Peribahasa purbakala ini tidak pernah salah -- "Ikan membusuk bermula dari kepala." Kalau kepala sudah busuk, modal insan apa lagi yang diharapkan?

Model sudah lama disediakan oleh Nabi Muhammad SAW. Ikuti sahaja. Ingat, Rasulullah menjadi aperantis bisnes sejak dari umur 12 tahun, bukan bila sudah keluar dari universiti, tersepit, baru memikirkan soal bisnes. Sepatutnya begitu -- bermula dari sekolah menengah sudah dijuruskan kepada bisnes (jika bisnes menjadi pilihan untuk dijadikan modal insan), kemudian dilanjutkan ke universiti -- belajar bisnes dan pengurusan secara teori dan hand-on.

Dengan ilmu dan kebolehan yang dipupuk sejak dari umur 12 tahun, kemudian masuk ke universiti bukan untuk mengejar sijil, sebaliknya mengejar ilmu -- ada apa-apa alasan supaya tidak boleh dijadikan modal insan? Kalau begitu, model yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW tidak betul? Inilah masalahnya, bila kita menjadikan Rasulullah sebagai model nanti akan kedengaran perkataan, "ekstrim, pengganas, pembangkang" sedangkan model yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW itu sudah lengkap dan paling lengkap, tidak ada yang lebih lengkap melainkan sangat lengkap dan sempurna sesuai untuk Islam dan bukan Islam. Sesiapa yang mengikuti model tersebut, tak kira sama ada Islam atau kafir pasti, dijamin memperolehi kejayaan. Tapi malang seribu kali malang, orang Islam sendiri tidak mahu mengikuti model yang ditinggalkan oleh pemimpin Islam terulung, Rasulullah SAW.

Soalan seterusnya -- mampukah sekolah dan universiti di negara kita ini melahirkan modal insan? Nilai sendiri. Saya tak tahu.

Jadilah insan sebelum nisan, bagaimana?

1. Berilmu, memenuhkan mental dan fizikal dengan ilmu yang boleh membentuk insan yang boleh dijadikan modal.

2. Ilmu yang diperolehi mestilah digunakan untuk agama, bangsa dan negara.

3. Goes deep, yakni terus mendalami ilmu tersebut bermula dari umur 12 tahun sehingga masuk ke universiti. Hendak menjadi penulis? Belajar ilmu penulisan sejak dari umur 12 tahun hingga sampai ke universiti.

4. Jangan sampai terpedaya dengan media yang tidak membentuk diri menjadi modal insan. Kita ada hak.

5. Masukkan diri ke dalam suasana yang boleh menjadikan diri sebagai modal insan. Kita pun ada hak hendak meletakkan diri di mana yang kita fikirkan sesuai.

6. Berusaha sedaya-upaya menjadi manusia yang berguna kepada manusia lain, atau manusia yang menyinari manusia lain.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Untuk melancarkan kapal besar, anda perlukan pelabuhan yang besar

» Conrad Hilton «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu