Tapi Anjing Tak Suka...
Posting pada:  06 Jun 2007 ( 1135 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Kira-kira 20 tahun dahulu, sahabat sepermainan, Zakaria Haji Jalal mengeluarkan fatwa. Bertempat di Kedai Silim, Kampung Sungai Lang, inilah kata-kata Zakaria yang masih saya ingat, "Berniaga ini sebenarnya jadi kuli." Maksud Zakaria -- sepanjang masa memenuhi keperluan pengguna. Pusinglah bagaimana sekalipun akhirnya usaha dan perniagaan anda sebenarnya adalah untuk memenuhi keperluan pengguna.


Keterangan gambar: Edika Armansur dan Ezika Armansur (pewaris Armansur.com Berhad) suka McD, tetapi gajah suka tebu. Bagaimana

Hanya ada 2 sahaja kehendak pengguna:

1. Keinginan
2. Keperluan

Jadi, definasi sebenar perniagaan adalah memenuhi KEINGINAN atau KEPERLUAN pengguna. Atau kedua-duanya sekali. Siapa pengguna? Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan. Tetapi yang utama ialah manusia. Kerana itu dikatakan, di mana ada manusia, di situ ada perniagaan dan kekayaan. Tak percaya? Pastikan sendiri.

Semestinya hanya ada 2 saja transaksi dalam perniagaan:

1. Jual
2. Beli

Beli dengan harga rendah dan jual kepada manusia yang berkeinginan atau berkeperluan dengan harga yang lebih dari membeli. Mungkin antara 10 hingga 20 peratus. Tengok keliling dan bandingkan dengan harga pesaing.

Gagal memenuhi keinginan dan keperluan pengguna sebenarnya adalah gagal dalam perniagaan.

Bagaimana memenuhi keinginan atau keperluan itulah yang perlu dipelajari. Ada ilmu yang khusus. Sebab itulah anda dan saya berasa pelik -- kalau majlis perkahwinan yang mengarut itu (nikah dan kenduri sederhana sebenarnya yang tak mengarut) persiapannya setahun, tetapi menceburi bisnes tidak pernah membuat persiapan walau hanya sehari. Bahkan, tidak tahu membezakan antara perniagaan dengan berjualan.

Ada berbagai-bagai perkara yang mesti dilaksanakan bila menyampaikan produk atau servis ke tangan pengguna dalam memenuhi keinginan atau keperluan pengguna. Inilah yang selalu diabaikan oleh orang-orang yang terpedaya dengan "buku motivasi" "seminar motivasi" termasuk juga suasana kedai kopi. Selalunya saya akan mengatakan satu ayat yang mudah, "Masuk business school dulu."

Untuk melaksanakan perkara-perkara tersebut mesti berilmu. Untuk berilmu mestilah mengetahui dengan tepat ilmu yang perlu dipelajari dan sanggup mencarinya. Kita mencari ilmu, bukan ilmu mencari kita. Tapi awas jika tersilap, akan mendapat ilmu "angin" yang merosakkan hidup. Sentiasa waspada dengan apa yang selalu disebut sebagai "motivasi" -- buku motivasi, seminar motivasi, pakar motivasi dan sebagainya.

Bahkan mencari ilmu sahaja tidak ada gunanya jika tidak digunakan.

Selalunya, saya suka menyampaikan idea kepada orang yang saya temui. Dan selalunya idea tersebut digunakan tetapi yang menyakitkan hati saya mereka mengatakan itu adalah idea mereka, bukan datang dari saya. Begitu juga tulisan saya di dalam web Armansur.com ini -- ramailah yang 'cilok' kemudian dikatakan sebagai idea dia, datangnya dari dia. Tak mengapa, saya relakan saja.

Antara idea yang sering saya sebut ialah ingin menubuhkan "Sekolah Bisnes" di bawah Akademi Armansur. Sekolah itu mengajar teori dan hand-on. Pendek kata keluar dari sekolah tersebut sudah bersedia untuk menguruskan bisnes. Apa yang diajar di universiti selama 3 tahun akan dipadatkan menjadi 3 hari sahaja. Hanya intipati ilmu sahaja. Kalau di universiti tujuannya adalah untuk mendapatkan kertas, di sekolah bisnes ini tidak ada kertas atau sijil -- yang ada hanya ilmu-ilmu penting untuk memulakan, menguruskan bisnes. Itulah impian saya.

Jadi, apa perkara penting dalam menyampaikan produk atau servis ke tangan pengguna yang berkeinginan atau berkeperluan? POSDC, itu ringkasannya. Nak tahu apa itu POSDC, masuklah Armansur Business School. Bagi yang telah belajar pengurusan tentu sudah tahu.

Saya sebutkan di sini antara keperluan utama iaitu: PEMASARAN. Ia terdapat dalam POSDC. Jangan sekali-kali keliru antara pemasaran dengan penjualan. Hanya orang yang tidak pernah belajar bisnes sahaja yang tidak tahu membezakan antara pemasaran dengan penjualan. Selepas itu satu perkara yang selalu dilupakan ialah CRM, yang terdapat dalam pemasaran. CRM bukan perkara baru. Ia telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW semasa baginda berniaga tekstil bersama ayah saudaranya. Bahkan itulah yang diajar oleh ayah saudara baginda semasa Muhammad SAW menjadi aperantis bisnes sejak berumur 12 tahun.

Dalam pemasaran, ada satu cerita yang selalu diceritakan dan ada kaitan dengan KEINGINAN atau KEPERLUAN pengguna:

Sebuah syarikat multi-nasional telah menghabiskan wang berjuta ringgit untuk membuat kajian makanan anjing yang baru. Makanan yang menyihatkan dan mencerdikkan anjing, khabarnya.

Sesudah kajian siap, makanan tersebut dikilangkan dan mula dipasarkan. Enam bulan kemudian disemak kembali tahap pemasaran produk tersebut. Satu mesyuarat diadakan. Produk tersebut tidak seperti yang diharapkan. Seperti tidak berapa laku dan mengecewakan pihak atasan. Berbagai idea baru diperolehi dari mesyuarat yang berhari-hari itu. Idea-idea tersebut kemudian dilaksanakan. Enam bulan selepas itu semakan semula diadakan.

Memang mengejutkan. Makin merosot, sedangkan ia adalah makanan yang terbaik sekali yang berada di pasaran diiringi dengan idea pemasaran yang terbaik. Kemudian, seperti 6 bulan lepas, satu meyuarat post-mortem, SWOT diadakan. Berhari-hari mesyuarat tersebut diadakan namun tidak mendapat keputusan yang konkrit mengapa makanan tersebut tidak laku.

Akhirnya, salah seorang pegawai pemasaran yang lebih banyak diam selama ini bersuara, "Sebab anjing tak suka makanan itu."

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Anda memperolehi apa yang difokus. Bila anda memfokus pada masalah anda akan memperolehi masalah yang lebih besar. Fokus pada penyelesaian!

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu