Sahabat yang pergi tak kembali
Posting pada:  25 May 2007 ( 1033 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sudah lebih 10 tahun Imam Mohammad berkhidmat sebagai imam dan jurunikah di Masjid Sungai Pencala. Ramai yang menyukai belaiu. Saya mula berkawan baik dengan beliau mulai dari tahun 1998.


Keterangan gambar: Gambar Imam Mohamad yang diambil pada bulan Februari 2007 untuk kegunaan laman web masjid. Tapi belum sempat laman web tersebut mendapat kelulusan, Imam Mohamad telah mendahului kita

Dulu, Imam Mohamad memang suka bergaul rapat dengan jemaah. Jadi, sementara menunggu Maghrib dan selepas Isyak, Imam Mohamad bergaul sama ada di depan masjid atau minum teh di kedai kopi depan masjid. Tapi, disyaki salah seorang AJK masjid yang bahlul dan bengong telah menghantar surat kepada JAWI melaporkan Imam Mohamad suka lepak dan berhaluan kiri. Fitnah dari AJK yang bengong! Yang peliknya, tidak pula dilaporkan AJK lain yang suka membazirkan wang masjid, membina dan membeli yang tidak diperlukan!

Kini Imam Mohamad sudah tidak ada lagi. Allahyarham Imam Mohamad sudah bersemadi menghadap Allah. Seorang ustaz (sahabat rapat Imam) di sebelah saya berkata, "Bagaimanalah keadaan dia..." merujuk kepada Allahyarham yaang sedang dikambus. "Kita pun akan menghadapinya...." Saya menyahut kata ustaz itu.

Imam Mohammad memang baik orangnya. Suka berjenaka dan jenakanya spontan boleh membuat orang lain gelak dengan spontan. Contoh lawak Imam Mohamad: Pada bulan puasa 4 -- 5 tahun lepas, Imam Mohamad menganyam ketupat daun palas untuk dijual kepada pemborong. Jadi Allahyarham berpakat-pakat dengan sahabat-sahabat lain untuk menjual sendiri di Bazaar Ramadhan. Salah seorang sahabat mengesyorkan (dengan nada lawak) supaya menggunakan van jenazah untuk membawa bahan dagangan. Imam Muhamad (dengan loghat Utara) menambah, "Kalau langgar lampu merah kena saman habaq ini nak tanam cepat ni..." (kononnya bawa jenazah, terpaksa langgar lampu merah kerana jenazah tersebut perlu ditanam segera).

Imam Mohamad meminati teknologi. Beliau yang mengesyorkan supaya masjid mempunyai komputer. Bila sudah mempunyai komputer (dengan modem dalaman 54K) yang dibeli dari Azkom (syarikat yang menaungi Kelab IT Sungai Pencala) pada tahun 1999, saya membelikan prepaid Jaring dan membuat konfigurasi untuk 'dial-up' dan buatkan emel untuk Allahyarham. Emelnya sangat menarik: imam@la.com. Menarik tak? Pada tahun-tahun itu emel masih dianggap magic. Imam Muhamad berhubung dengan sahabat karibnya di Amerika dengan menggunakan emel.

Imam Muhamad mempunyai penyakit kaki sejak sekian lama. Sebelah kakinya membengkak dan membesar, hingga menyebabkan susah hendak bersolat, membaca khutbah dan berjalan. Penyakitnya itu pasang surut. Kadang membesar kadang mengecut. Tetapi sejak akhir-akhir ini ia makin membesar.

Seminggu lepas saya terserempak dengan Bilal. Dia beritahu Imam Mohammad demam, tanpa memberitahu Imam Mohammad ada di hospital menjalani pembedahan kaki. Selepas pembedahan itu Imam Mohamad meninggal dunia pada 23 Mei 2007, pukul 11 malam. Dapat dikeluarkan dari hospital pukul 6 pagi dan dikebumikan lingkungan pukul 10 pagi. Syukur Alhamdulillah, saya dapat turut sama mengusung jenazah Allayharham Imam Muhamad, turun dari van menuju ke liang lahad. Yang membaca talqin pun namanya Imam Muhamad -- imam yang bertugas sebelum Allahyarham Imam Muhammad.

Allahyarham tahu betapa pentingnya laman web untuk masjid, kerana itu beliau mengesyorkan kepada AJK masjid supaya membina laman web Masjid Sungai Pencala. Nama saya disebut. Saya mengesyorkan supaya dibina laman web interaktif seperti Ukhwah.com. Belum pun idea belaiu dilaksanakan, beliau telah mendahului kita. Streamyx juga telah dimasukkan ke dalam masjid tetapi harapan untuk melihat laman web tersebut tak kesampaian kerana kelulusan adalah dari AJK Masjid. Kelulusan yang terlalu lambat! Saya pun saudah seperti tawar hati hendak membina laman web tersebut walaupun bayarannya agak tinggi.

Kali terakhir bersembang dengan beliau di dalam pejabat masjid. Allahyarham Imam Mohamad bertanya tentang YM kerana anak sulungnya berkemungkinan besar akan melanjutkan pelajaran di Jordan, jadi bolehlah berhubung dengan murah. Pada hari tersebut, saya download YM dengan tujuan hendak menujukkan bagaimana cara menggunakannya tetapi talian sangat lembab, gagal untuk download YM.

"Nanti dah ada headphone, webcam, kita install lagi noo." Kata Imam Muhamad. Perkataan terakhir dari Allahyarham yang saya dengar ialah, "Tolong tutupkan laptop."

Selepas itu tidak bersembang apa-apa lagi, cuma melihat dan mendengar beliau membaca khutbah. Ada kelainan pada suara Allahyarham pada khutbah terakhir beliau 3 minggu lepas.

Al-Fatihah...

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Iman itu terdiri dari tujuh puluh cabang. Yang paling tinggi adalah ucapan “Laa ilaha illAllah” dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan. (Hadis Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

» Sabda Rasulullah s.a.w. «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu