Sebodoh lembu korban
Posting pada:  10 Jan 2006 ( 1210 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Malang nasib lembu, sudahlah diberi gelaran "bodoh", dijadikan sasaran utama untuk korban. Bodohkah lembu? Kalau bodoh tentulah diam saja bila hendak disembelih. Lembu meronta-ronta dan menanduk mana yang patut ditanduk menandakan ia bijak dan sedia bertindak balas.

Sedikit masa dulu, dalam tempoh sekejap, percubaan korban unta (diimport dari Australia) benar-benar menarik perhatian. Oleh kerana unta ada kaitan dengan Islam, maka puak-puak "merah putih keris bogel" pun membuat andaian bodoh mengenai daging unta yang mana keseluruhannya, kesimpulannya: tak payahlah nak gunakan unta sebagai korban. Unta dikaitkan dengan Islam? Bagaimana dengan kuda? Rasullullah menunggang kuda bila berperang. Kenapa tak mengkritik import kuda yang digunakan untuk perjudian lumba kuda. Siapa sebenarnya yang sebodoh lembu? Siapa sebodoh lembu bila mengatakan "Pokemon" ada kaitan dengan Yahudi, sedangkan makna sebenar ialah "Pocket Monster." Siapa yang sebodoh lembu bila membenarkan karya Yahudi / Israel disiarkan di TV1. Power Rangers adalah terbitan Haim Saban dan Shuki Levy, orang Yahudi / Israel.

Pagi Aidiladha, sejak sekian lama saya bawa anak-anak saya, sejak masih boleh didukung melihat lembu disembelih. Melihat dengan tujuan. Setengah orang pengsan melihat darah tetapi Alhamdulillah anak-anak saya seronok melihatnya. Suatu masa nanti jika perlukan jihad senjata, mereka sudah tidak hairan lagi dengan darah.

Bagi saya pula setiap tahun, ibadah korban di tempat saya memang agak memuakkan. Streotaip dan semakin berat hati saya untuk berkorban di sini. Kalau saya hendak berkorban, akan saya lakukan di negara yang menghargai daging lembu. Misalnya di Kemboja atau di Indonesia.

Niat Robin Hood memang murni, tetapi caranya salah. Adakah matlamatnya sampai? Niatnya sampai? Niat saya hendak berkorban, matlamat saya ialah berkorban kerana Allah, tetapi cara saya mungkin tak kena, jadi sampaikah matlamat saya? Niat, cara, matlamat mestilah betul.

Saya muak dengan petugas-petugas yang menunjuk lagak semasa bertugas dalam ibadah korban. Baru menjadi petugas lembu. Bagaimana kalau menjadi petugas yang lebih besar? Kalau saya tanya satu per satu, apa itu ibadah korban sebenarnya, jawapan mereka pasti pelbagai disimpulkan sebagai korban itu setakat menyembelih lembu.

Umat Islam sepatutnya tahu kisah di sebalik tuntutan korban. Yang tahu memang tahu, yang tak tahu memang tak nak tahu. Tapi kita mesti fikirkan sebaliknya: apa sebenarnya, mesej yang hendak disampaikan dalam peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail. Bagi saya amat mudah: pengorbanan dan mestilah apa yang dikorbankan itu adalah yang terbaik, yang paling disayangi. Boleh? Apa-apa yang kita korbankan (yang terbaik dan mestilah ikhlas) kepada Allah, sudah semestinya Allah SWT akan menggantikan dengan yang lebih baik. Jika diamat-amati kisah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya adalah semata-mata ujian Allah SWT. Allah SWT hendak menguji, siapakah yang lebih disayangi? Allah atau anak sendiri?

Bagi saya yang hidup berjuta-juta tahun selepas Nabi Ibrahim cuba mencari-cari mesej yang hendak disampaikan dalam ibadah korban. Bukan sekadar riuh rendah bersenda-gurau menumbangkan lembu. Bagi mereka, rasanya itulah yang ibadah korban, kerana itu dari setahun ke setahun tidak ada sebarang perubahan baik dari segi iman atau prestasi.

Sesudah sekian lama memerhati dan mencari, bagi saya inilah mesej yang hendak disampaikan:

Bantu-membantu antara yang kaya dan miskin. Dulu, kini dan selamanya, jurang antara yang kaya dengan miskin makin jauh, makin tidak dipedulikan. Setahun sekali ibadah korban adalah peringatan dan tarbiyah agar mencari mesej yang hendak disampaikan dan digunakan dalam kehidupan seharian.

Kerjasama. Ada orang yang menyembelih lembu korban sendirian? Walaupun Nabi Ibrahim menyembelih anak baginda bersendirian, namun hari ini, adalah mustahil menyembelih lembu korban sendirian. Sejak dahulu lagi, mana-mana pertubuhan yang mengamalkan kerjasama akan mencapai kejayaan cemerlang.

Adil. Daging korban ditimbang dan dibahagi sama rata. Bolehkah manusia berlaku adil? Sukar. Tapi sekurang-kurangnya berusaha sedaya-upaya untuk menjadi adil. Adilkah kalau pembahagian daging korban pun menggunakan kronisme dan nepotisme?

Utamakan yang utama, demikian pesan Imam Ghazali. Keutamaan daging korban adalah untuk yang miskin, bukan yang berkedudukan. Dalam kehidupan harian -- bila kita sentiasa mengutamakan yang utama, insyaAllah kita akan sentiasa menemui kejayaan demi kejayaan. Solat zohor pukul 4? Mana yang lebih utama? Solat atau sembang?

Jangan membazir. Dulu ada pak imam cerita, di Kelantan, kulit lembu pun dibahagikan kepada orang, sebab kulit lembu itu ada harga. Setiap inci badan lembu korban hendaklah dimanfaatkan, sebab setiap inci ada gunanya.

Itulah mesej yang hendak disampaikan. Bukan menayang jumlah korban setiap tahun ("Tahun ini saya korban lagi") tanpa memahami apa sebenarnya yang hendak disampaikan dalam ibadah korban.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Cakap-cakap tidak menghasilkan beras

» Peribahasa Tionghua «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu