Bukan Sate Kajang
Posting pada:  16 Mar 2007 ( 1294 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sekiranya saya membuka "Satay House" akan saya tulis dengan terpampang besar, "BUKAN SATE KAJANG".

Kalau nama kedainya SATE ARMANSUR.COM atau SATE WALASRI, di bawahnya tertulis BUKAN SATE KAJANG. Begitu juga dengan kenderaan dan sebagainya, semua terpampang BUKAN SATE KAJANG. Salah? Siapa yang bodoh sangat mengatakan salah? Sememangnya bukan sate Kajang, jadi saya letak BUKAN SATE KAJANG.

Sate Kajang adalah branding. Saya nak 'rebranding' sebab ramai sangat yang merosakkan branding sate Kajang sampaikan kebanyakan orang, sekarang ini bila disebut sate Kajang ramai yang seperti mencebik dan perkataan pertama yang tersembul ialah, "Tak sedap." Sudah berlalu zaman, "Kalau nak makan sate pergi ke Kajang."

Memang tak sedap sebab ramai sangat yang ambil kesempatan, tumpang nama sate Kajang, sebab itulah perlunya rebranding. Sate Kajang yang original dan sedap hanya ada satu atau dua sahaja. Yang lain memang tak sedap sebab hanya menumpang di Kajang atau sate di Kajang. Mat Indon pun ada yang menjual sate di Kajang.

Sate yang masin, mentah, tawar, hangus, kotor pun ada di Kajang. Jadi linking sate Kajang itu sedap sudah tidak boleh digunakan lagi. Suatu masa dulu ada penyiar atau DJ radio yang menyebut, "Tak kira siapa pun yang menjual sate, asalkan ia di Kajang, memang sedap." Saya rasa kenyataan yang membodohkan orang. Kenyataan tanpa bukti dan dipercayai DJ tersebut tidak pernah makan sate di Kajang.

Lagipun soal sedap atau tidak adalah soal universal. Setiap orang ada tekak masing-masing. Kalau ada orang mengatakan sate Kajang itu sedap, itu adalah sedap berdasarkan tekaknnya sendiri. Belum tentu ia sedap untuk tekak anda. Lagi satu -- sate Kajang itu umum sangat. Ada berpuluh, bahkan mungkin beratus gerai, mini gerai sate (tumpang depan restoran) yang terdapat di Kajang. Kajang itu sendiri pun luas. Di mana? Bagaimana pula dengan kertas Kajang dan Kajang Pak Malau kajang berlipat? Sama branding dengan bandar Kajang?

Branding sate Kajang itu sedap sudah pupus sama dengan branding pramugari. Pada tahun 70'an dan 80'an bila sebut pramugari terbayanglah yang cantik jelita dan senyum manja. Pada masa itu, "Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan hendak diduga" Kalau tak kaya atau berjawatan tinggi tak payahlah berangan-angan nak kahwin pramugari. Memenatkan saja.

Pada masa itu, pramugari sendiri boleh berbangga kerana seolah-olah mereka adalah "insan terpilih". Dengan title "Pramugari" adalah ibarat "Sate Kajang" 20 -- 30 tahun dulu -- tersendiri, elit, hebat, dicari-cari, walaupun hakikatnya pramugari sebenarnya hanyalah pelayan restoran yang terapung di angkasa. Kelebihannya: pelayan yang cantik jelita.

Kini sukar nak melihat pramugari yang cantik. Pramugari yang muka terompah pun ramai. Bahkan kerjaya pramugari sudah tidak perlukan yang cantik sahaja. Perhatikan sendiri. Sebab yang benar-benar cantik tak nak kerja pramugari.

Yang peliknya -- di luar kawasan Kajang ada juga yang meletakkan (dengan bangganya) perkataan Sate Kajang. Satu strategi bisnes yang silap. Kalau 20 atau 30 tahun dulu mungkin boleh semasa belum ramai yang mengambil kesempatan terhadap satu atau dua sate yang benar-benar sedap (yang ori) di Kajang. Sekarang, sebaiknya letakkan "Bukan Sate Kajang" -- sebagai rebranding dan strategi (untuk menimbulkan tanda tanya).

Strategi seperti ini tidak ada salahnya. Kita tidak pernah memburuk-burukkan sate Kajang. Tak ada pun sebut, "Jangan makan sate Kajang." Yang terpampang hanya, "Bukan Sate Kajang" kerana sememangnya bukan sate Kajang. Sememangnya boleh ditanya, "Kalau sate Kajang kenapa? Dan kalau bukan sate Kajang, kenapa?"

Suatu masa dulu, produk di luar negara tertulis, "Tidak mengandungi minyak sawit." Ada seorang menteri yang tak berapa pandai kemudian berkokok -- katanya itu kempen memburuk-burukkan minyak kelapa sawit Malaysia. Tunjukkan satu ayat yang memburukkan. Tak ada. Melainkan, kalau tertulis, "Jangan beli produk yang mengandungi minyak sawit dari Malaysia" barulah dikatakan kempen memburukkan-burukkan minyak sawit Malaysia. Tak ada satu perkataan pun yang memburukkan, sebaliknya itu adalah strategi untuk melariskan minyak keluaran mereka seperti minyak bunga matahari, minyak jagung, minyak biji kapas tanpa perlu memburuk-burukkan minyak sawit.

Pendek kata, sebab-musabab yang tidak lagi menyebabkan berbangga dan boleh dikaitkan (linking) dengan sate kajang adalah kerana imej sate di Kajang yang semakin buruk. Jadi, untuk 'rebranding' letak saja, "Bukan Sate Kajang."

Persaingan sangat penting dalam bisnes. Ia semestinya persaingan yang sihat seperti KFC dan McD bersaing (walaupun di Singapura ada persaingan tidak sihat antara KFC dengan McD) tapi nampaknya di Malaysia begitu sihat -- sebelah menyebelah, sama-sama maju. Saya selalu bercerita dengan dengan sahabat -- kalau kedai Melayu sebelah-menyebelah seperti ini, menjual produk yang sama kategori -- yang senyum bukan pekedai tersebut tetapi bomoh. Mereka akan menggunakan khidmat bomoh penipu untuk melariskan kedai. Tak percaya? Memang begitu menteliti peniaga Melayu generasi sebelum kita. Semoga generasi baru menjadi usahawan yang berilmu dan bijak. Generasi yang mencari penyelesaian menggunakan ilmu perniagaan bukan khidmat bomoh gila.

Bila tiba musim puasa, muncullah peniaga bermusim yang rata-rata mengalami kerugian kerana singkatnya masa berniaga -- hanya lebih kurang 25 hari sahaja. Dalam masa 25 hari, memang sukar untuk mengetahui untung atau rugi. Lebih dari itu, bahkan -- tanyalah setiap orang yang berjualan itu, jawapannya sama saja -- mereka tidak ada kira-kira. Tak payah cakap pasal 'double entry' cukuplah bertanya pasal catatan belian dan jualan -- pasti akan hanya nganga. Bagaimana hendak mengira duit hingga angka juta jika catatannya pun tidak ada, Bagaimana hendak jadi jutawan bising kalau duit hanya bergumpal di dalam beg pinggang? Bagaimana hendak tahu jumlahnya sudah mencecah RM1,000,000.00?

Tiba-tiba saja di bulan puasa, ramai yang menjual murtabak. Di Sungai Pencala tidak kurang dari 5 orang. Mengapa murtabak senasib dengan kurma yang hanya dikaitkan dengan bulan puasa?

Salah seorang yang menjualnya ialah kawan saya. Dia bertanya bagaimana nak melariskan jualannya dan mengatasi penanding tanpa menyakiti sesiapa. Saya hanya minta dia menggantung kertas bercetak tertulis MURTABAK MALAYSIA (BERSIH). Apa mesejnya? Murtabak lain bukan buatan orang Malaysia dan kebersihannya diragui. Memang ada Mat Indon yang menjual dan kebersihannya memang diragui. Saya tak nampak, adakah perkataan itu memburuk-burukkan penjual lain? Tidak, sama-sekali kerana tulisan itu tidak menyebut "Murtabak Indon (Kotor)".

Tapi, oleh kerana saya memberikan idea dengan percuma, idea yang amat berharga itu tidak digunakan dan saya anggap pertanyaannya sekadar mengada-ada sahaja dan membuang masa saya sahaja.

Bagaimana pula dengan buku saya? Oleh kerana motivasi adalah perkataan yang paling mengelirukan termasuklah kekeliruan yang sering ditimbulkan oleh TV3 yang gemar sangat menyebut "Pakar Motivasi" tanpa mengetahui apa sebenarnya makna motivasi, saya akan melakukan perubahan. Saya pun agak pelik mengapa TV3 galak sangat dengan perkataan "Pakar". Contohnya "Pakar Motivasi" "Pakar Psikologi". Nasib baik tidak ada, "Pakar Urut Lemah Tenaga Batin".

Akan datang buku saya akan membawa label "Bukan Buku Motivasi".

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Setiap kebaikan akan dicari keburukan dan cacat celanya. Malangnya, setiap keburukan tidak dicari kebaikannya.

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu