Patah Sayap Terbang Jua
Posting pada:  12 Feb 2007 ( 1770 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Ada pilihan lain? Kalau tak ada pilihan lain, terbang saja, teruskan terbang walau patah sayap. Selalunya memang tidak ada pilihan lain selain terus terbang. Jadi, jangan jadikan patah sayap sebagai alasan. Ada lagi sebelah sayap. Teruskan terbang.

Tapi tak ramai di sekeliling kita ini yang mahu "patah sayap terbang jua" kerana sejak kecil, ramai di antara kita dididik untuk mencari alasan bukan penyelesaian. Menjadi tanggung jawab kita untuk mendidik diri sendiri dan generasi seterusnya supaya jangan mencari alasan sebaliknya mencari dan memfokus kepada penyelesaian.

Sudah sampai masanya kita mendidik generasi seterusnya supaya berhenti mendengar lagu-lagu yang berunsur kecewa, derita, sengsara, mengutuk diri sendiri yang dinyanyikan oleh artis Malaysia yang hampir kesemuanya rajin kelentong.

Tiga 'modality' utama manusia -- penglihatan, pendengaran dan perasan hendaklah dijauhkan dari kekecewaan, kemurungan, mengutuk diri sendiri. Juga memandang rendah dan hina kepada diri sendiri. Jika diteruskan, generasi berikutnya adalah generasi yang lemah dan lebih suka mencari alasan, sama dengan generasi sekarang dan sebelum ini.

"Kita memanglah insan yang lemah, jangan riak, jangan sombong." Orang yang berkata begitu kena pergi menuntut ilmu lagi, memahami betul-betul kedudukan manusia bersama manusia dan manusia bersama Allah SWT. Bahkan makna riak itu sendiri perlu difahami betul-betul. Sesungguhnya kita hanya boleh menghina diri kita sendiri di hadapan Allah SWT, bukan di hadapan manusia.

"Patah Sayap Terbang Jua" adalah antara judul karya penulis agung Tan Sri A . Samad Ismail. Pernah saya membacanya ketika di Tingkatan 3, saya ingat-ingat lupa akan ceritanya -- seperti ada persatuan, akhbar, demo dan sebagainya. Novel lain karya beliau adalah seperti, "Tembok Tidak Tinggi" "Sutinah" dan lain-lain lagi.

Jangan keliru antara A. Samad Ismail, A. Samad Said, Yahya Samah.



Keterangan gambar: Atas kiri: Bangunan asal Pustaka Antara yang bukan lagi Pustaka Antara sekarang. Sebelahnya (kanan): Pustaka Antara kini. Bawah: Buku-buku Hamka, juga buku-buku klasik dan Siri Hikayat 1001 Malam


Masih ingat dengan Pustaka Antara? Suatu masa dulu penerbit dan pengedar buku Melayu yang unggul dan menjadi ikon. Mulai sekitar tahun 70'an berdiri megah di Jalan Tuanku Abd. Rahman, orang Melayu tumpang bangga adanya bangunan milik Melayu, yang mana tidak keterlaluan dikatakan antara bangunan tinggi milik Melayu yang pertama di bumi Kuala Lumpur.

Zaman remaja, di bangunan inilah saya selalu pergi untuk melihat-lihat dan membeli buku. Di sinilah kalau nak mencari buku-buku karya penulis agung Indonesia seperti Hamka, Abdoel Muis, Marah Rusli dan yang lain-lain lagi. Di sinilah kalau nak mencari buku-buku lama yang sukar dicari di luar. Bahkan di sinilah saya menemui hikayat yang penuh khayalan, Hikayat 1001 Malam. Semasa Tingkatan 2 dahulu, memang inilah hikayat kegemaran, mungkin juga sama dengan budak-budak sekarang menyukai Harry Porter. Di sini jugalah mencari novel penulis terkenal seperti Frederick Forsthye yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia terbitan Gramedia. Saya sempat membaca novel terjemahan yang berjudul, "Fail Odessyi" dan "Anjing Perang".

Saya tak tahu apa sejarah atau mini sejarah Pustaka Antara. Seingat saya, pernah terbaca sekilas tentang Pustaka Antara. Ia milik Aziz Antara dan mengisahkan bagaimana beliau memulakan dengan mengedarkan surat khabar, buku-buku agama dengan basikal. Itu saja yang saya ingat, atau ingat-ingat lupa. Itu permulaannya. Kemudian, perniagaan penerbitan dan pengedaran buku makin membesar, begitu seingat saya hingga terbinalah Wisma Antara itu.

Tetapi, apa sebenarnya punca kejatuhan Pustaka Antara? Tidak saya ketahui. Tetapi seingat saya, ingat-ingat lupa, puncanya adalah menerbitkan akhbar Watan. Akhbar tabloid yang lama bertahan tetapi paling kerap bertukar tangan. Mungkin juga ada betulnya kerana penerbitan buku dengan penerbitan majalah apatah lagi akhbar mingguan atau harian adalah berbeza sistem pengurusannya walaupun asasnya adalah penerbitan.

Pada sekitar hujung 80'an atau mungkin awal, mungkin juga pertengahan 90'an, Wisma Antara itu sudah tinggal kenangan. Pustaka Antara berpindah ke Kompleks Wilayah yang suatu masa dulu memang meriah, kini seperti sepi dan damai. Pustaka Antara berpindah dari bangunan tinggi milik sendiri ke lot kedai di Kompleks Wilayah itu hanya yang saya ketahui pada tahun 1998 -- setiap kali pulang dari demo Reformasi akan singgah ke Pustaka Antara di Kompleks Wilayah itu. Atau sebelum pergi demo berkunjung dulu ke situ.

Apa yang ingin saya ketengahkan adalah -- PATAH SAYAP TERBANG JUA! Ia belum berakhir selagi belum berakhir. Walaupun sudah tidak mempunyai bangunan sendiri atau sudah tidak berniaga di ruang yang luas -- jangan cari alasan. Walaupun terpaksa mengecut, bukan mengembang, jangan ia dijadikan alasan.

Pustaka Antara kekal wujud sehingga hari ini kerana mengamalkan "Patah sayap terbang jua." Walaupun mungkin dilanda masalah -- logo "buku dan huruf PA" kekal wujud sehingga hari ini. Tidak ada masalah yang tidak boleh selesai. Semua masalah didatangkan dengan penyelesaian. Jawapan kepada semua masalah PASTI, GERENTI ada jika kita bergantung pada Allah SWT dan berusaha menyelesaikan masalah tersebut di kalangan manusia. Berusaha di kalangan manusia, bergantung hanya kepada Allah SWT sahaja.

Sekarang pilihan anda -- sama ada bila patah sayap akan terus terbang atau duduk diam-diam menunggu sayap baru yang mungkin tidak akan tiba. Bukan mungkin tetapi pasti tidak akan tiba.

Sepanjang yang kita tahu, hanya yang "patah sayap terbang jua" saja yang akan menemui kejayaan dalam apa saja bidang. Bila terasa hendak beralasan -- ingati Pustaka Antara yang berpindah dari bangunan sendiri yang tinggi kepada lot kedai tetapi masih lagi meneruskan. Yang terpaksa mengecut, walau sepatutnya mengembang. Bukan alasan yang dicari tetapi mencari penyelesaian.



Keterangan gambar: Le Tour De Langkawi yang juga membawa mesej "Patah Sayap Terbang Jua". Anak bongsu saya Ezika Armansur adalah peminat setia LTDL.


Seandainya mencari alasan, pasti pelumba basikal ini tidak sampai ke garis penamat dan akhirnya berpeluang menjuarai Le Tour De Langkawi. Halangannya memanglah begitu hebat sekali tetapi jika menyerah pada halangan, tidak mungkin sampai ke garis penamat.

Cabaran dan masalah pasti terlalu banyak tetapi jika memilih untuk duduk diam sambil menunggu "kepak tumbuh baru" memang tak mungkin sampai ke garis penamat. Patah sayap terbang jua kerana seungguhnya Allah SWT menjadikan manusia ini di dalam keadaan bersusah-payah. Jika segalanya mudah dan lancar, manusia akan menjadi bodoh dan pasif. Manusia juga adalah sebaik-baik kejadian -- tidak mustahil untuk terus terbang walaupun patah sayap.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Ubah kesengsaraan jadi kekuatan

» Dari filem New Police Story «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu