Siapa TAK nak jadi penulis terkenal?
Posting pada:  12 Mar 2007 ( 1268 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Pada suatu hari saya telah dijemput untuk memberikan ceramah singkat bagaimana saya menghasilkan penulisan dan bagaimana saya boleh membantu bakal penulis menghasilkan karya evergreen. Sangat singkat, lebih kurang 1/2 jam sahaja.


"Kenapa saya?" Saya menyoal

"Kenapa tidak?" Saya disoal kembali.

"Sebab ramai yang lebih hebat." Saya menjawab.

"Jawapan yang lazim. Hebat dari segi apa?" Saya disoal kembali. Soalan dijawab dengan soalan, paling tidak digemari oleh orang-orang yang belajar psikologi.

"Berapa kamu nak bayar saya?" Sesekali perlu 'demand' sebab yang percuma dan murah jarang dihargai. Kalau mahal, mereka akan menghargai dan menumpukan perhatian. Sebab itu bayaran untuk memasuki Akademi Jutawan adalah RM1,000 sehari (8 jam). Kalau tak nak, tak usah masuk.

---

Berdirilah saya di depan. Cuma disediakan papan putih dan pen marker. Tidak ada OHP atau slide. Di depan saya ada kira-kira 100 orang bakal penulis dan ada juga yang telah menghasilkan karya.

"Assalamualaikum... Nama saya... (saya menuliskan di papan putih nama Razzi dan Kang) ada dua. Dalam dunia penulisan nama saya Razzi Armansur dan di internet nama saya Kang atau dalam bahasa Jawa ialah Abang."

"Siapa yang TAK kenal saya angkat tangan" Tanya saya sambil mengangkat tangan. Tak ada seorang pun yang mengangkat tangan. "Semua kenal sayalah ni ya... Kiranya saya terkenallah ya..." Ada bergumam suara gelak yang tertahan.

Saya cuba 'memukau' mereka supaya mereka mendengar ceramah saya dan dalam masa yang sama menghargai setiap patah perkataan yang akan saya ucapkan selama 1/2 jam itu.

"OK. Apa yang akan anda lihat, dengar, rasa selepas ini akan mengubah cara dan kehidupan anda. Jadi, tumpukan perhatian sepenuh-penuhnya."

"Saya nak bertanya lagi. Siapa di sini yang TAK hendak menjadi penulis terkenal sila angkat tangan. Kalau TAK hendak menjadi penulis terkenal sila keluar dari dewan ini. Saya beri tempoh 10 saat. Ada? Kalau ada, sila angkat tangan dan keluar!" Tidak ada tangan yang diangkat dan tidak ada yang keluar.

Saya senyum dan berkata, "Jadi semua di sini nak jadi penulis terkenal. Betul?" Hanya kedengaran suara bergumam. Saya tak puas hati dan bertanya lagi dengan suara yang agak tinggi, "Betul!!??" Masih tidak jelas kedengaran suara menjawab. Akhirnya sekali lagi saya hampir melaung, "Betul??!!" kedengaranlah suara yang agak kuat. "BETUL!!" Sebenarnya saya menanamkan atau memukau mereka bahawa sebenarnya mereka boleh menjadi penulis terkenal. Kemahuan mereka datang ke seminar itu membuktikan mereka ada sebab untuk datang iaitu mahu menjadi penulis. Alang-alang menjadi penulis biarlah penulis yang terkenal, yang menghasilkan puluhan buku berkualiti dan diperlukan oleh masyarakat.

Saya buat-buat melihat jam tangan saya. "OK, saya tak boleh cakap banyak, sebab masa yang diberi kepada saya hanya setengah jam. Jadi, tolong tumpukan perhatian. Kalau nak angan-angan nanti, selepas setengah jam yang sangat penting ini."

Saya ke papan putih dan menulis perkataan "PENULIS TERKENAL" kemudian saya menepuk papan putih. "Ini matlamat anda. Betul?" Kali ini bunyi perkataan "BETUL" dari peserta lebih kuat kedengaran.

Saya diam (pause) ketika sambil memandang keliling. Itu 'trick' saya supaya peserta tertunggu-tunggu apa yang akan saya ucapkan seterusnya.

"Dalam buku saya yang terbaru, yang sedang saya tulis, yang berjudul RAHSIA AJAIB, ada saya tuliskan tentang keajaiban FOKUS. Bila kita memfokus kepada sesuatu, insyaAllah kita akan mendapatkannya. Kita akan bergerak mendapatkannya. Tapi, hanya yang logik saja. Kita orang lelaki fokus nak mengandung mana boleh. Itu tak logik. Tapi kalau fokus isteri kita supaya mengandung, ha itu boleh. Itu logik..." Ada yang gelak terbahak-bahak. Yang kepalanya botak di belakang sana kuat ketawa.

"Fokus di sini, maksud saya, lebih ramai yang memfokus kepada apa yang tidak dikehendaki. Betul? Selama ini memang kita memfokus kepada susah, payah, takut, miskin, jadi kita bergerak ke arah susah, payah, takut dan lain-lain. Pelik... kita pergi kedai tapi kita cari barang yang kita tak nak. Jadi, ke mana yang kita nak fokus bila kita nak jadi penulis terkenal?"

"Hanya ada dua saja fokus anda di sini. Susah atau senang. Anda hendak memfokus susah atau senang? Susah atau senang nak jadi penulis terkenal?" saya bertanya dengan meninggikan suara.

"Senang!" Kata sebahagian besar peserta.

"Sekali lagi, susah atau senang nak menjadi penulis terkenal?" Suara saya lebih tinggi.

"Senang!!!" Suara mereka lebih tinggi.

"Bagus! Anda sendiri yang kata ia senang. Saya tak kata apa." Saya berkata sambil diam (pause) sebentar.

"Senang?" Saya bertanya, "Kenapa kata senang?" Saya bertanya kepada salah seorang yang kuat sangat menyebut senang tadi. Peserta itu hanya senyum-senyum. "Kenapa senyum? Saya tanya, kenapa kata senang?"

"Sebab kita kena fokus pada senang." Kata peserta itu.

"Betul." Kata saya, sambil menuliskan perkataan SENANG di bawah perkataan PENULIS TERKENAL di papan putih.

"Memang menulis adalah senang. Kita saja yang memfokus pada susah. Cuba lepas ini kita fokus pada senang pasti senang yang kita perolehi. Memang senang sebab menulis sebenarnya ialah sama dengan berbual. Siapa yang tahu berbual sebenarnya tahu menulis kerana menulis adalah memindahkan perbualan ke jari. Dari jari ke keyboad. Siapa di sini tak ada jari angkat tangan." Tak ada yang mengangkat. "Semua ada jari, senang menulis." Saya bertanya lagi, "Siapa yang TAK tahu berbual angkat tangan." Tak ada satu pun yang mengangkat tangan. "Siapa kaki sembang kedai kopi, angkat tangan." Tak ada siapa yang mengangkat tangan. "Betul ke ni?" Saya bertanya sambil mencebik.

"Jadi, kesimpulannya, menulis itu senang sebab ia sebenarnya memindahkan perbualan yang tak nampak, kepada tulisan yang boleh dibaca. Susah ke senang?" Saya bertanya.

"Senang!!!" Mereka seperti melaung.

"Anda yang kata senang. Saya tak kata apa."

"OK, kalau nak jadi penulis terkenal, ada caranya. Bukan pakai Motivasi dan penglipurlara, tetapi ada teknik dan caranya. Saya bukan “Pakar Motivasi” nak bagi motivasi. Saya hanya boleh bagi fakta saja, bukan motivasi angin." Saya diam (pause) lagi seketika.

Saya meneruskan, "Siapa TAK tahu tentang NLP, Neuro Linguistic Progamming, Bahasa Memprogram Otak?" Tak ada peserta yang mengangkat tangan.

"Tak tahu?" Saya bertanya. Hanya kelihatan beberapa orang mengelengkan kepala. "Tak tahu belajar, dah tahu mengajar." Kata saya. "Dalam dunia serba maju hari ini, kita tak boleh senang-senang kata tak tahu."

"Dalam NLP ada menyebut, untuk mencapai matlamat kita hanya ada 2 langkah sahaja. Apa matlamat kita? Matlamat kita adalah hendak menjadi penulis terkenal dengan senang dan mudah." Saya pergi ke papan putih dan menuliskan:

1. Bukti
2. Stesen

Kemudian saya bulatkan kedua perkataan itu dan saya lukis garisan menyambungkan kepada perkataan PENULIS TERKENAL.

"OK, apa buktinya anda SUDAH menjadi penulis terkenal. Apa yang akan anda lihat, dengar dan bagaimana perasaan anda bila anda sudah menjadi PENULIS TERKENAL? Apa dia?" Tak ada yang menjawab.

Saya meneruskan, "Apa buktinya? Biasanya, jika sudah menjadi penulis terkenal kita MELIHAT buku kita sudah melebihi 20 judul di pasaran. Apa yang kita dengar? Kita MENDENGAR nama kita disebut-sebut sebagai penulis yang berkualiti. Apa PERASAAN kita? Sudah tentu kita gembira."

"Stesen pula sama saja dengan stesen komuter. Melalui stesen kita tahu sama ada kita sedang mendekati atau menjauhi matlamat. Kalau mendekati teruskan, kalau menjauhi, masuk balik ke dalam landasan. Siapa pernah tersilap naik komuter?" Saya bertanya. Tak ada yang menjawab.

"Saya pernah. Buat malu saja. Saya nak ke Port Kelang tetapi mengapa saya menghala ke Seremban. Saya berhenti di Batang Benar dan patah balik ke Kuala Lumpur. Batang Benar, batang yang tak benar tak ada ke?" Ada suara gelak-gelak kuat di belakang.

"Kenapa ketawa?" Saya bertanya. Makin kuat pula gelaknya.

"Satu lagi yang selalu disebut bahkan asas NLP ialah modeling -- jika orang lain boleh melakukan, kita boleh belajar melakukannya. Betul? Kerana itu, kita mesti meniru orang lain yang telah berjaya dalam penulisan. Kita mesti membaca buku orang-orang yang anda anggap bukunya berjaya. Suatu masa dulu seorang penulis best-seller berkata -- saya menjadi penulis best-seller setelah membaca 100 buku best-seller. Senang?"

"OK, berapa buku yang sanggup anda baca? 100? 200? Tak sanggup? Aik, kata nak jadi penulis terkenal, kenapa tak sanggup baca buku penulis terkenal?"

"Sanggup atau tak sanggup, sekurang-kurangnya anda mesti membaca 10 buku penulis terkenal, baru anda boleh modeling atau meniru penulis terkenal. Sanggup atau tidak?" Saya meninggikan suara.

"Sanggup!!" Mereka menjawab dengan kuat.

"Betul ni?" Tanya saya.

"Betul!!!" Jawab mereka.

Saya melihat jam tangan. Itu hanya 'trick' saya untuk menguji sama ada mereka suka saya berhenti atau meneruskan. Juga sebagai 'trick' supaya mereka berharap saya meneruskan dan memberi perhatian.

"OK. Mulakan di penghujung. Siapa yang mulakan teknik mulakan di penghujung? saya rasa Rasulullah SAW, sebab matlamat baginda ialah melihat, mendengar dan merasai agama Islam diterima dan berkembang. Itu matlamat baginda, betul? Jadi, mulakan di hujung sekarang. Tak faham ye?"

"Begini. Anda mesti boleh melihat, mendengar dan merasai bagaimana buku anda SUDAH terletak di rak buku di mana-mana kedai buku. Anda mesti boleh menggambarkan buku anda yang sudah siap dan berada di rak buku itu. Ini sangat penting sekali kerana dari situlah kita akan memulakan langkah pada hari ini. Itu fokus kita. Jika tidak difokus kita akan terbabas jauh. Hari ini anda mesti mula memfokus apa yang di hujung itu."

"Bagaimana?" Saya bertanya dan kemudian terus menyambung, "Apa yang saya lakukan selalunya, saya mencari judul buku terlebih dulu. Ini wajib. Berhari-hari bahkan berminggu-minggu saya mencari judul yang paling tepat. Mengapa? Sebab buku kita akan berasaskan judul tersebut. Selama ini itulah yang saya lakukan dan telah ramai yang saya ajar menggunakan teknik ini. "

"Catatkan saja. Catat dan terus catat, mungkin sampai 100 judul, selepas itu potong dan terus potong sampai hanya tinggal satu judul yang paling sesuai."

"Sudah dapat judul, buat cover buku kita itu dengan menggunakan Photoshop atau Ilustrator. Tahu guna Photoshop? Tak tahu belajar, dah tahu mengajar. Kita reka sendiri cover buku kita dan letakkan di tempat yang boleh dilihat setiap hari. Mungkin di sebelah komputer kita. Itulah fokus kita. Itu yang kita lihat dan mendengar suara memuji-muji kehebatan buku kita. Perasaan kita juga sangat gembira. Itulah yang dinamakan mulakan di hujung."

"Cover sudah ada, sekarang kita nak tulis isinya pula. Optimis sudah ada, tapi bila pula jari nak mula mengetuk keyboard? Bila?"

"Apa yang nak ditulis? Ini penting sekali. Ada dua jenis penulisan di dunia ini iaitu fiksyen dan non-fiksyen. Menulis fiksyen ada ilmunya tersendiri dan pastikan ia adalah tulisan yang diredhai Allah, tak ada cinta-cinta di luar batasan, pegang-pegang, belai-belai. Ingat, kita ada kehidupan kedua dan mesti sentiasa ingat, tulisan kita kekal walaupun kita sudah tak ada lagi di bumi ini." Saya berkata dengan tegas.

"Teknik menulis fiksyen perlu anda pelajari. Ada watak utama, watak sampingan, setting, prop, plot, klimak, anti-klimaks, trial ending, ending, dan berbagai-bagai lagi. Itu gunanya kita membaca buku orang lain terlebih dahulu. Ini ditambah dengan imaginasi kita yang boleh menjangkau apa yang belum pernah kita alami dan lawati. Ingat, otak kita ini hebat, jadi jangan perlekehkan otak sendiri, jangan memandang rendah kepada diri sendiri."

"Menulis non-fiksyen lebih sukar dari menulis fiksyen kerana ia perlukan kajian yang sngat mendalam jadi tulisan kita itu berguna dan tidak ada siapa yang boleh pertikai. Tulis apa yang kita tahu sahaja. Jangan sekali-kali main agak-agak, reka-reka sebab pembaca kita pelbagai. Jangan mencabar kebijaksanaan pembaca kerana ramai pembaca yang lebih pandai dari kita. Sebaik-baiknya anggap sama rata -- sebab manusia memang sama saja -- ada kelebihan dan ada kekurangan.

"Yang paling, sangat-sangat dihindari ialah menganggap pembaca bodoh dan kita lebih pandai dari mereka. Ini menyebabkan kita boleh main agak-agak, reka-reka, bukan fakta kerana kita menganggap mereka tidak tahu. Akibatnya? Kita sewenang-wenangnya menulis perkara merapu dan karut. Tak ada kajian. Buku kita kekal, bukan hanya sampai esok, tapi sampai 50, 100 tahun akan datang.

"Kalau menulis non-fiksyen, jangan sekali-kali menulis sebelum fakta anda lengkap. Sebelum kajian anda mendalam. Belakang hari orang akan mencebik kepada buku anda. Nama anda akan menjadi busuk kerana tulisan anda hanya layak sebagai penglipurlara bukan fakta."

"Seterusnya, sesudah itu anda hendaklah sentiasa bersedia dengan buku catatan walau ke mana saja anda pergi. Bila anda sudah medapat judul, tiba-tiba saja nanti anda akan mendapat berbagai-bagai lintasan di fikiran anda. Yang melintas terlalu cepat itu ialah ilham. Jika anda tidak mencatatnya segera, ia akan hilang. Catatkan segera. Kerana itulah penting sekali anda membawa ke mana saja buku catatan anda. Dan ini rahsianya -- bila anda membawa buku catatan ke mana-mana, bermakna anda bersedia. Bila anda bersedia begitu, makin banyaklah ilham yang datang bertalu-talu untuk dicatatkan."

"Makin lama, catatan anda makin banyak dan ia tidak teratur, berterabur. Mana yang hendak diletakkan di depan dan mana pula yang belakang, tengah? Saya akan tunjukkan caranya."

Saya berhenti seketika (pause) dan berjalan ke belakang kelas kemudian ke depan semula. 'Trick' lagi.

"Kita teruskan dengan mula di penghujung. Nak saya teruskan tak?" Saya memancing.

"Nak!!.." Ramai yang menjawab.

Saya pergi ke papan putih dan mula mencotengkan 3 huruf: P T H.

"Ini dia cara nak memulakan dari hujung. P T H. Ambil H dulu mewakili Hujung. T pula ialah Tengah dan P ialah Permulaan. Untuk mudah mengingati saya letakkan dua huruf 'a' menjadi PaTaH."

"Apa hujung cerita anda kalau anda menulis fiksyen. Apa hujung buku anda jika anda menulis non-fiksyen. Selepas itu menyusur balik ke belakang. Dari hujung menyusur ke belakang dengan bertanyakan "Sebelum itu". Sebelum itu apa terjadi, sebelum itu apa terjadi sampailah kepada Tengah. Dari tengah menyusur kepada pangkal atau Permulaan." Saya berhenti seketika menarik nafas.

"Sebagai contohnya, katalah anak atau adik kita menjulang piala menang lumba lari. Itu penghujungnya. Sebelum itu apa yang berlaku. Sebelum menjulang piala itu apa yang dilakukan? Sudah tentu dia berlumba lari dan menang. Sebelum berlumba lari itu apa yang dilakukan? Dia bersiap sedia dengan penuh debaran dan keyakinan. Sebelum itu? Sebelum itu? Sampailah ke Tengah. Katalah di Tengah ialah kesusahan-kesusahan yang dialami untuk berlatih sukan. Sampaikan misalnya, di satu ketika dihalang dari berlatih sukan. Dari Tengah, menyusur ke Permulaan. Apa sebelum itu, apa sebelum itu, sebelum itu apa yang terjadi."

"Sekarang, ambil catatan anda dan susun semula apa yang anda catat secara berterabur itu. Mulakan seperti tadi -- mulakan dari HUJUNG, menyusur ke TENGAH dan akhirnya menyusur ke PERMULAAN."

"Sekarang anda sudah mendapat PERMULAAN. Dari situlah anda akan mula menulis PERMULAAN."

"Menulis PERMULAAN ini ibarat mengorek empangan. Bila empangan telah mula bocor, air akan menderu, empangan pecah, anda tidak boleh menahan lagi. Kerana itu, sesudah anda memulakan huruf pertama, perkataan pertama, ayat pertama, perenggan pertama, ia diibaratkan mengorek lubang pada empangan. Ia akan melimpah. Tapi kalau anda tak mula mengorek, bila empangan itu akan melimpah?"

"Ramai yang bertanya bagaimana memulakan." Saya pergi ke papan putih dan melukiskan tanda "right". "Apa ini?" Saya bertanya. Sebelum ada yang menjawab, saya meneruskan, "Ini lambang NIKE. Slogannya? Lakukan Saja! Tulis saja, lakukan saja. Ketuk keyboard dan mulakan. Itu saja petuanya. Apa yang nak dimulakan? Mudah saja, sekali lagi saya ulangi, mulakan saja, nanti dengan sendirinya anda tahu apa yang nak ditulis."

"Kalau misalnya anda masih lagi tak boleh nak mulakan, pergilah ke MPH, Borders, Popular atau mana-mana kedai buku. Buka buku yang best-seller, baca perenggan pertama. Letakkan dan baca yang lain pula. Nanti akhirnya anda akan mendapat seperti satu persamaan dalam memulakan perenggan pertama. Kalau saya lihat sekarang, trend yang digunakan ialah terus memperkenalkan watak utama. Terus terjah, tak payah bunga-bunga. Tak payah nak lembayung petanglah, di bawah sinaran cahayalah, ufuk timurlah... Tak payah. Itu zaman purbakala. Terus kepada watak utama dan apa yang terjadi. Juga, jangan sekali-kali Permulaan yang menerangkan atau seperti membuat ulasan. Seboleh-bolehnya paragraf permulaan hendaklah pendek, tak lebih dari 4 baris."

Sekali lagi saya ke papan putih dan menuliskan contoh paragraf permulaan, "AHMAD BAKI berlari pantas kerana memang dia perlu berlari. Dia sudah terlewat seminit. Tidak ada alasan untuk lewat kerana sebagai usahawan yang berjaya Ahmad Baki sangat menepati masa. Sepatutnya dia sudah duduk di dewan seminar AKADEMI JUTAWAN. Tapi kini masih berlari di tempat letak kereta."

"Itu contoh pembukaan atau Permulaan paragraf atau mengorek empangan. Boleh buat macam contoh ini?" Saya bertanya.

Saya berhenti seketika sambil melihat jam tangan. Kali ini benar-benar melihat jam, bukan 'trick'. Hanya tinggal 8 minit saja lagi saya bercakap.

"Bila dah ada permulaan, memang senang sangat flow berikutnya. Tambah lagi kita dah buat catatan. Bagaimanapun, selalunya, sambil kita menulis, idea datang bertalu-talu masuk ke dalam otak kita. Apa kita nak buat? Tadi saya beritahu supaya bawa ke mana saja buku catatan. Semasa anda menulis, bila ada lintasan-lintasan idea, berhenti dan catat segera. Kerana itulah semasa mernulis, buku catatan dan pen sentiasa di sebelah. Wajib!"

"Siapa kaki pancing di sini?" Ada dua orang mengangkat tangan. "Jangan kawan dengan kaki pancing sebab dia kaki kelentong. Bukan yang dalam dewan ini, di dewan lain. Yang dalam dewan ini tak kelentong." Gelak lagi.

"Apa yang saya maksudkan, anda hendaklah memancing. Begini: Ayat pertama hendaklah memancing ayat kedua, paragraf pertama hendaklah memancing paragraf kedua. Seterusnya, muka surat pertama hendaklah memancing muka surat kedua dan, bab pertama hendaklah memancing bab kedua dan seterusnya. Memancing di sini maksudnya, sambil menulis sambil menarik pembaca untuk membaca ayat, paragraf, muka surat, bab berikutnya. Letakkan diri anda sebagai pembaca barulah anda boleh memahami apa yang dikehendaki oleh pembaca." Saya berkata dengan tegas.

Sekali lagi saya melihat jam. Kali ini adalah 'trick' supaya peserta lebih berharap untuk saya meneruskan bukan berhenti.

"Satu lagi panduan menulis ialah menggunakan teknik PERLUKAH INI? Semasa menulis, sentiasa bertanya soalan itu. Kalau perlu teruskan, kalau tak perlu jangan tulis. Saya nak tambah satu lagi soalan yang mesti sentiasa ditanya kepada diri sendiri -- BERKUALITIKAH INI? Jika anda rasa berkualiti teruskan, jika rasa tidak berkualiti, padam dan gantikan dengan yang lain."

"Lagi... sentiasa ingat, sepanjang anda menulis, ingatlah, orang mengeluarkan wang untuk membeli buku, tulisan, cerita, idea anda. Jadi, berikan mereka yang terbaik. Tidak ada istilah cincai dan santai kemudian buku tersebut ditebalkan dengan gambar-gambar yang tidak penting. Orang beli buku hendakkan ilmu bukan hendak melihat gambar. Gambar tidak utama, yang utama ilmunya. Kalau nak sangat tengok gambar, lebih baik beli majalah atau tengok TV."

"Bolehkah saya sambung sedikit saja lagi." Saya bertanya kerana masa 1/2 jam sudah habis.

"Boleh!! Tak habis lagi" Ada suara kuat.

"Apanya yang tak habis? Kalau boleh saya nak sambung sikit fasal disiplin dan punca gagal menulis."

Saya memandang sekilas kepada peserta. Wajah mereka memang seperti mengharap saya meneruskan.

"Punca gagal menulis ada mudah iaitu banyak sangat alasan dan tak ada disiplin. Itu saja."

"Disiplinnya mudah saja. Kalau sehari boleh menulis 1 helai, dalam setahun sudah ada 365 helai. Katalah kita ambil separuh sahaja -- 130 helai, ia sudah menjadi satu buku yang tebal. Itu kalau anda menetapkan masa setahun untuk menghasilkan satu buku. Kalau 100 hari? Katalkah sehari 2 muka surat, maknanya anda boleh menghasilkan 200 muka surat. Ia akan menjadi buku yang sangat tebal."

"Displinnya: anda mesti menulis setiap hari. Jangan cari alasan, cari penyelesaian. Jangan sekali-kali sebut NANTILAH. Itu racun untuk penulis. Ada orang suka minum racun di sini? Kalau tak suka kenapa selalu sangat sebut NANTILAH, lepas Raya, lepas Raya Cina, lepas Raya Keling, lepas mandi Safar, lepas kahwin, lepas kahwin satu lagi... 3 hari sahaja anda tidak menulis bermakna anda sedang menuju ke Batang Benar sedangkan tujuan anda adalah hendak ke Port Kelang. Hanya 3 hari sahaja anda tak menulis, bermakna anda sedang berada dalam bahaya. Jadi, jangan seperti orang lain asyik cari alasan saja. Alasan yang dicari, alasanlah yang ditemui dan dipakai. Alihkan fokus anda kepada penyelesain. Cari penyelesaian, anda akan menemui penyelesaian untuk menulis setiap hari."

"Melainkan anda tak ada jari, barulah hari itu anda boleh berhenti menulis. Itu pun alasan. Tak ada jari alasan semata-mata. Pernah baca novel Overload oleh Arthur Hailey? Dalam cerita itu ada seorang perempuan cacat yang kudung tangan tetapi mampu menghasilkan puisi. Bagaimana perempuan itu menulis? Dimasukkan pensel dalam mulut dan digunakan untuk menekan mata mesin taip elektrik. Ada alasan lagi? Bagaimana kalau tak ada mulut? Gunakan jari kaki. Siapa sini yang tak ada mulut angkat tangan..."

"Bila saya kata setiap hari, maksud saya ialah setiap hari 7 hari seminggu demi untuk menjaga stail dan flow. Kerana itu saya syorkan, sebelum mula menulis untuk hari ini, baca dulu karya semalam untuk menjaga flow, stail, rentak, stroke."

"Akhirnya, setiap penulis ada kelaziman masing-masing. Contohnya Sidney Sheldon suka menceritakan kepada sekretari dan kemudian sekretarinya mencatat. Sesudah ditaip beliau akan membaca semula dan memotong hampir separuh apa yang telah ditaip. Dan Brown suka bangun pukul 4 pagi dan mula menulis. Dia memberitahu, lebih banyak yang dipadam dari yang dibukukan. Alex Haley suka menulis di atas kereta api. Harold Robbins suka menulis sendirian di dalam hotel -- kira macam bertapalah. Ada orang suka menulis di tempat bising. Ada yang suka menulis di tempat ramai orang seperti di Food Court KL-Sentral. Ada yang suka menulis di tempat sepi, di taman-taman. Kenal Kang Razzi Armansur? Kalau menulis dia melekatkan headphone di telinganya, mendengar lagu lama. Hanya satu saja jenama keyboard yang sesuai untuknya. Jenamanya "Tsunami" sebab bunyinya yang bising ketak-ketuk-ketak-ketuk dan lasak, boleh dihentam sekuat hati. Kalau sudah tidak ada jenama itu dia akan berhenti menulis. Alasan lagi..."

"Baiklah, saya mohon berhenti di sini dan sekali saya nak tanya kepada anda semua. Susah atau senang untuk menjadi penulis? Sebut kuat-kuat." Sambil menepuk papan putih.

"SENANG!!!" Jawab mereka serentak.

"Tak cukup kuat, tak meresap betul-betul dalam otak. Lagi sekali. Susah atau senang nak menjadi penulis terkenal?" Sekali lagi menepuk papan putih.

"SENANG!!!!!"

(Saya tersentak dan tersenyum. Seumur hidup belum pernah saya memberi ceramah tentang penulisan. Hanya khayalan sahaja )

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Untuk melancarkan kapal besar, anda perlukan pelabuhan yang besar

» Conrad Hilton «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu